Thursday, August 25, 2011

:: Universiti Ramadhan-21 (Edisi Khas) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Hari ini sudah pun menjejaki 25 Ramadhan.Ramadhan yang ke 1432 kali selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.Apa khabar semua?

Pagi tadi di tempat kerja,satu perhimpunan khas telah dibuat oleh pihak syarikat bersempena dengan cuti Hari Raya yang bakal menjelang 2 hari lagi.Pengarah Urusan syarikat juga telah turut hadir untuk memberikan ucapan dan beberapa pesanan ringkas.Di akhir ucapan beliau,beliau mengingatkan lagi agar semua pekerja menjaga keselamatan ketika berHari Raya.

Mengambil kesempatan ini juga,saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan kawan-kawan di luar sana tentang,

Trivia : Gembira di sini gembira di SANA.

Alhamdulillah,secara dasarnya kita telah hampir berjaya sampai ke penghujung Ramadhan tahun ini.Ia adalah satu nikmat yang cukup besar kurniaan Allah SWT kepada hambaNya.

Rata-rata dari kita pula telah mula memasuki fasa membuat persediaan untuk menyambut Hari Raya.Di sana-sini telah berkumandang lagu raya yang menandakan Hari Lebaran memang sudah betul-betul dekat dengan kita.Semua ummat Islam,tidak kira kecil atau besar,tidak kira di mana jua berada sedang dalam mood bergembira untuk menyambutnya.

Kanak-kanak adalah antara golongan yang
paling bergembira ketika Hari Raya.

5 hari dari sekarang,InsyaAllah,kita akan menyambut Hari Raya Idul Fitri di kampung halaman kita yang tercinta bersama ahli keluarga yang tersayang.Kita merayakan Hari Raya Idul Fitri sebagai tanda kesyukuran kerana telah berjaya menunaikan Rukun Islam yang ketiga disamping merayakan hari di mana kita kembali kepada fitrah.

Disamping bergembira bersama ahli keluarga dan sanak saudara ketika Hari Raya,jangan lupa juga beberapa perkara yang kadangkala kita terlepas pandang dek kerana sibuk leka melayan tetamu dan berkunjung tamu.

1.Solat berjemaah.

Solat fardhu secara berjemaah adalah dituntut di dalam Islam.Walau apa jua keadaan,di mana jua kita berada,apa juga yang sedang kita lakukan,apabila berkumandangnya sahaja azan,maka solat perlu ditunaikan di tempat azan diazankan.

Oleh itu,apabila kita merancang untuk berziarah ke rumah saudara mara/menuju ke sesuatu destinasi,ambil kira jugalah masjid/surau mana yang kita perlu singgah untuk solat berjemaah.Selain ia mengajar kita menjaga waktu yang lebih utama kita perlu menunaikan kewajipan kita sebagai seorang Islam.

2.Menutup aurat.

Berpakaian baru adalah begitu sinonim dengan Hari Raya.Namun pakaian baru sahaja tidak sempurna sekiranya ia tidak menutup aurat seperti yang di ajar di dalam Islam (menutup aurat tapi sendat juga masih tidak mencukupi syarat).Ingatkan juga pada anak-anak,adik-beradik,anak saudara iaitu ahli keluarga terdekat kita akan kepentingan menutup aurat,tidak kiralah samada mereka perempuan ataupun lelaki.

3.Bersalam-salaman.

Berjumpa sanak-saudara terutama yang duduk berjauhan hanya bisa dilakukan pada Hari Raya.Kita dapat kunjung mengunjungi antara kita sambil kita bertanya khabar disamping mengambil kesempatan memohon maaf di atas kesilapan yang lalu.

Bagi yang bukan ajnabi,cukuplah sekadar menuturkan kata-kata memohon maaf sahaja dengan perkataan tanpa perlu disertakan dengan berjabat tangan.Jika mereka yang menghulurkan tangan terlebih dahulu,cukuplah sekadar dibalas dengan senyuman dan terus melafazkan permohonan maaf.Ia adab yang perlu betul-betul dijaga dan dipraktikkan.

4.Adab berkunjung.

Terlalu banyak adab ketika berziarah.Cukuplah sekiranya diingatkan agar kita memulakan berkunjung dengan memberi salam dan disudahi juga dengan perkara yang sama.Disamping itu kita niatkanlah ziarah kita itu sebagai mengeratkan tali silaturrahim.Sesungguhnya ingatlah pesan Rasulullah SAW,

Dari Umar bin Al-Khathab radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : "Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya." (HR. Bukhori: 1)

5.Doa-mendoakan.

Doa adalah senjata ummat Islam.Apabila kita berdoa memohon kepada Allah SWT,ia juga tanda kita ini sebagai hambaNya di atas muka bumi ini.

Amalan doa-mendoakan sesama ummat Islam juga adalah salah satu kebaikan yang ada di dalam Islam.Doakanlah yang baik-baik ke atas saudara-mara serta kenalan kita,samada kita kenal rapat atau kenal biasa-biasa sahaja.

Maka apabila kita bertemu saudara sesama Islam,doakanlah mereka.Jikalau kita berjumpa dengan Ustaz atau guru-guru kita yang lama,mintalah kepada mereka agar mereka mendoakan kebaikan atas kita.Moga amalan doa ini disuburkan dikalangan kita.

6.Doa perjalanan.

Bila bermusafir atau berjalan ketika Hari Raya,mohonlah doa sekurang-kurangnya doa naik kenderaan.Bacalah beramai-ramai jika di dalam kenderaan kita ada penumpang lain.Kembangkanlah syiar Islam biar ia kembali gemilang seperti dahulu kala.

7.Solat sunat dhuha.

Ia solat sunat yang hanya 2 rakaat 1 salam dan hanya memakan masa tidak sampai 5 minit,namun fadhilatnya amat besar.Cubalah luangkan masa kita di pagi hari sehingga sebelum waktu zohor untuk menunaikannya.InsyaAllah ia amat mujarab untuk mengubati jiwa.

.....kita bukan sakit jiwa,tapi jiwa juga perlukan makanan.

8.Sedekah.

Bukan yang kaya sahaja dituntut bersedekah.Selagi kita berharta,walaupun sedikit sumbangkanlahnya kerana Allah.Mungkin boleh dimulakan dengan bersedekah ditabung masjid selepas solat raya.Kita masukkan walau 10 sen pun tiada siapa yang tahu.Sekiranya ia adalah ikhlas,nilainya tetap ada di sisi Allah SWT.Apatah lagi kalau nilainya lebih banyak,diberikan pula kepada anak-anak yatim atau fakir dan miskin,tentu ia akan berlipat kali ganda ganjarannya,InsyaAllah.

9.Jaga pemakanan.

Akhir sekali,bila menyambut Hari Raya yang memang kaya dengan pelbagai juadah yang sedap-sedap dan jarang-jarang kita jumpa pada hari-hari biasa,ingatlah,kita baru sahaja selesai berpuasa selama sebulan.Perut baru sahaja selesai diservis dan kembali kepada fitrah.Menyumbat segala macam makanan ke dalam perut kita tanpa mengira kadar kemampuan perut kita untuk menghadamkannya adalah suatu penyeksaan pada diri sendiri.Yang lebih kita risaukan,makan sedap yang kita nikmati akhirnya cirit-birit/muntah-muntah pula yang kita hadapi kemudiannya.Yang menghidapi kencing manis dan mempunyai gaot,lebih-lebihlah lagi perlu berjaga-jaga.

Cukuplah sekadar itu,moga mendapat menafaat dan dapat difikir-fikirkan.

Bersempena dengan Lebaran yang hampir menjelang dan cuti panjang sempena Hari Raya yang bakal kita nikmati,saya dan keluarga mengambil kesempatan untuk mengucapkan
"Selamat Hari Raya,Maaf Zahir dan Batin."
dan jadilah kita ummat Islam yang Cemerlang,Gemilang dan Terbilang.

Doa dari kami sekeluarga -
"Taqaballahu Minna Wa Minkum-Moga Allah menerima amal ibadah kita
Wa Ja’alanallahu Minal Aidin Wal Faizin-(Semoga kita) termasuk orang-orang yang kembali kepada yang fitrah dan (semoga kita) menjadi orang yg beruntung dengan mendapatkan rahmat, pengampunan dari segala dosa, serta terhindar dari api neraka"



Wak,
TDI.

No comments: