Friday, August 19, 2011

:: Universiti Ramadhan-18 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian bagi Allah SWT,Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Berikut dikongsikan catatan dari Kuliah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Ustaz Khusairi Hamthan (SAA-19 Ramadhan).

Ustaz Khusairi Hamthan-SAA
19 Ramadhan 1432H
Merdeka Raya.

Kala ini segala macam media massa baik TV,radio,majalah suratkhabar semuanya sedang sibuk (dengan pelbagai gaya dan cara) mempromosikan bagaimana hendak memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang akan menjelang tinggal beberapa hari sahaja lagi.Maka kita dan ramai lagi golongan manusia yang memang sedang giat membuat persediaan raya juga terpengaruh dan termakan dengan promosi yang hebat ini.Pada masa yang sama,kita terasa pula yang persiapan untuk raya kita belum cukup hebat,maka kita menambah lagi tahap persiapan kita seiring dengan promosi yang kita lihat itu.

Akhirnya,

Manusia yang sibuk (siang dan malam) dengan persiapan hari raya itu akhirnya mengabaikan dan meninggalkan amal ibadah yang sepatutnya mereka jaga dan perbanyakkan terutama di 10 malam terakhir Ramadhan.

Sunnah Nabi.

Apa yang Nabi SAW lakukan pada 10 malam terakhir Ramadhan?

"Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ramadhan adalah bulan Al Quran.

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan bathil) .." (Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Apa yang berlaku kala ini?

Manusia bila ia lupa pada Allah SWT,maka mereka akan membiarkan hukum Allah SWT tidak ditunaikan dan dilaksanakan.

Zina dan anak luar nikah.

Surat khabar semalam (17 Aug 2011) membuat liputan tentang seorang pelajar 17 tahun telah melahirkan anak di dalam tandas sekolah.Tidak pasti samada gadis itu berzina secara sukarela ataupun dirogol.Tetapi walau apapun caranya,anak luar nikah dari hubungan tersebut telah pun lahir ke dunia.Bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini?

Tegur.

Bangsa melayu bukanlah bangsa yang menjuarai budaya tegur-menegur ke arah kebaikan.Kebanyakkan kita terkadang tidak sampai hati untuk menegur atas sebab-sebab tertentu.Kalau yang mampu menegur pun hanya sekadar mengguna bahasa kiasan yang selalunya tidak sampai maksud yang hendak di sampaikan.

Sebaliknya pula,kita lebih gemar sifat hasad ,dengki,irihati menyuburi hati kita berbanding sifat tegur menegur.Ini terbukti bila ada jiran tetangga yang menegur kesalahan kita sebaliknya kita menyalahkan mereka kembali dengan mengatakan mereka sibuk menjaga tepi kain orang.Bila ada saudara-mara yang menegur kita pula berkesudahan yang kita berkerat rotan berpatah arang dengan mereka.Malah apabila isteri kita yang menegur kita pula bila didapati kita ada melakukan kesilapan,sepak terajang pula yang kita beri sebagai ganjaran.

Jadi di mana tempat yang teguran boleh diberikan bagi membetulkan masyarakat yang semakin hari semakin bejat.

2K (Khutbah dan Kuliah).

Apabila hendak menegur sesuatu kesilapan/mengajar manusia agar mengikut dasar dan peruntukkan yang telah diberikan oleh Islam,antara tempatnya adalah di meja kuliah-kuliah (samada di surau atau masjid) yang disampaikan oleh para Ustaz ataupun di mimbar-mimbar masjid,apabila khutbah dibacakan oleh para Khatib.

Sibuk.

Kita sedia maklum,masyarakat kita yang sibuk dengan kerja seharian malah dengan tekanan dalam menyelesaikan permasalahan urusan keduniaan yang tidak kunjung putus,tentu sahaja mereka mempunyai kelonggaran masa yang agak terhad.Dengan sebab inilah,mimbar-mimbar masjid perlulah terus memberikan input dan peringatan agama kepada jemaah yang datang sebaik mungkin,kerana inilah sahaja peluang terbaik yang ada memandangkan yang datang juga ribuan orang jumlahnya.

Namun,jika peluang (kuliah dan khutbah) yang ada tidak di gunakan,malah kebebasan untuk menyampaikan seruan Islam juga disekat-sekat,lebih teruk dari itu,golongan yang ikhlas menyebarkan agama ini juga turut di beri amaran untuk tidak meneruskan usaha dakwah yang sedemikian (atas sebab tertentu),maka sudah tentulah permasalahan yang melanda masyarakat (zina,rogol,bunuh anak,anak luar nikah,minum arak,murtad) akan berterusan berlaku sehingga bila-bila.

Islam itu selamat.

Islam,Allah SWT turunkan ke dunia dan disebarkan kepada hambaNya melalui perantaraan Rasulullah SAW.Islam selain dari mengajar penganutnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan ia juga membawa penganutnya ke jalan yang selamat.Untuk itu,Al Quran dan isinya perlulah dibaca dan diamalkan setiap masa tidak kira apa situasi.Apabila manusia menuju ke jalan selamat ini adalah salah satu tanda kemenangan sebagai salah seorang hambaNya.

Kemenangan yang sebenar.

Seorang kontraktor yang berasal dari Sabah telah singgah di sebuah masjid untuk solat asar.Setelah selesai berwudhu,kontraktor tadi solat sunat Tahiyatul Masjid sementara menunggu waktu asar tiba.Ditakdirkan Allah,ketika kontraktor itu sedang solat,dia telah terjatuh lalu terhantuk pada pintu sliding door.Dan akhirnya kontraktor itu tadi meninggal dunia disitu.

Imam masjid yang berdepan dengan peristiwa di atas menceritakan kembali,ketika hendak diangkat mayat kontraktor tersebut,Imam dapati seperti ada tompokan air pada tubuh kontraktor berkenaan.Sedang Imam berkira-kira samada tompokan air itu air kencing ataupun tidak dan sedang memikirkan bagaimana cara hendak mengankat mayat berkenaan,tiba-tiba Imam mendapati tompokan air tadi telah kering.Bahkan,suatu bau yang harum semerbak dapat dihidu oleh Imam ketika Imam berada di sisi mayat berkenaan.

Meninggal dunia dalam keadaan berwudhu,di dalam masjid dan sedang bersolat.Apa lagi yang kita boleh kecapi lebih baik dari penghujung hidup kita dalam Husnul Khatimah.

Penutup.

Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
"(Pada hari pengadilan kelak) akan dikatakan kepada orang al-Quran, “Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca."
(Hadith riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban dalam sahihnya.)

Moga mendapat menafaat.

Wak,
TDI.

No comments: