Saturday, February 26, 2011

:: takhTA dan HarTA ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Diberitakan seorang Raja begitu suka mengumpul harta dan mempunyai harta simpanan yang begitu banyak.Oleh kerana terlalu mencintai hartanya,Raja berkenaan telah membuat satu tempat khas di dalam istananya bagi menyimpan segala harta-hartanya.Tempat khas itu pula mempunyai satu pintu yang cukup tebal dan kukuh bagi mengelakkan sebarang pencuri dari memasukinya.Kunci tempat khas itu pula hanya Raja sahaja yang berhak memegangnya.

Di antara kegemaran lain Raja berkenaan adalah bersendirian di tempat khas menyimpan harta berkenaan sambil me'nikmati' segala hartanya.Bila memandang sahaja segala harta kekayaannya (emas,perak,mahkota dll.) hatinya kembang,senyuman terukir menandakan kepuasan yang tidak tergambar.Raja berkenaan berasa bangga dengan segala harta dan kekayaan yang dimilikinya.Raja juga berasa megah kerana tiada siapa di dalam negeri pemerintahannya mempunyai kekayaan seperti yang dimilikinya.Dengan kekayaan yang telah terkumpul itu,Raja berpendapat bahawa dia telah memiliki segalanya.

Entah bagaimana,tidak semena-mena pintu bilik khas itu tertutup dengan sendirinya.Raja telah terkurung di dalam bilik khas berkenaan kerana kunci bilik berkenaan tertinggal di muka pintu.Raja mencuba itu membuka pintu bilik berkenaan dari dalam,apakan daya pintu itu benar-benar kukuh.

Di luar sana

Segala isi istana mencari-cari Raja.Mereka menyedari akan ke'hilangan' Raja apabila meraka mendapati Raja tidak ada di mana mana.Pencarian giat dijalankan,namun Raja masih belum dapat dijumpai.

Perdana  menteri melintasi bilik khas Raja.Dia mendapati kunci bilik khas melekat pada tombol di muka pintu.Dia segera mengambil kunci berkenaan dan menyimpannya dengan tanggapan mungkin Raja lupa untuk mengunci bilik khas tersebut tanpa menyedari sebenarnya Raja sedang terkurung di dalam bilik berkenaan.

Setelah sekian masa usaha mencari Raja masih lagi menemui jalan buntu,para menteri bersepakat untuk melantik Putera Mahkota sebagai Pemangku Raja.Sejak dari itu,pentadbiran Negara telah di ambil alih oleh Putera Mahkota.

Oleh kerana Putera Mahkota (PM) mempunyai sifat yang mirip seperti ayahnya yang amat mencintai harta,antara perkara pertama yang PM lakukan selepas naik takhta adalah melihat dan melawat bilik khas milik bapanya.Dengan perasaan yang cukup ingin tahu apakah isi bilik khas milik bapanya itu,PM telah segera ke sana setelah mendapatkan kunci bilik berkenaan dari Perdana Menteri.

Tiba di hadapan bilik khas,dengan hati yang berdebar-debar,PM membuka pintu bilik berkenaan.Hatinya terdetik sesuatu apabila mula membuka pintu.Mengapa bilik simpanan harta dan emas mempunyai bau yang menusuk hidung.Lalu alangkah terperanjatnya PM,bila melangkah beberapa tapak ke dalam,di dapatinya mayat bapaknya yang hampir reput terbaring di atas lantai.Di sisi mayat bapanya ada tertulis :

"Sesungguhnya aku mati dikelilingi oleh segala harta kekayaan ku.Emas dan perak ini menjadi saksi bahawa harta tidak boleh memberi manafaat kepadaku ketika aku kehausan dan kelaparan terperangkap di dalam bilik ini.Akhirnya aku mati kebuluran sedangkan harta-harta yang melimpah ruah ini tidak mampu berbuat apa-apa."

..........dan tulisan itu di tulis oleh Raja dengan darahnya sendiri di atas lantai bilik khas tersebut.

Maka termanggu lah PM membaca nota terakhir dari bapanya.

Pengajaran :
1.Harta juga makhluk ALlah SWT.Makhluk tiada kuasa untuk memberi menafaat ataupun mudarat melainkan dengan izin Allah SWT.

2.Antara kerisauan Nabi SAW adalah bila ummatnya diuji dengan kekayaan.

Wak,
Taman Desa Ixora.
N9.

Friday, February 25, 2011

:: 63....Adakah kita mampu menggapainya? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kesibukkan/kesuntukkan masa kadangkala menyebabkan saya diberi keizinanNya untuk memerah idea dan idea lebih laju mengalir berbanding dalam kadar biasa (tidak kesibukkan/kesuntukkan masa).

Kadangkala kesibukkan/kesuntukkan masa yang terlampau,menyebabkan idea yang hendak diperah tidak mampu keluar kerana asbab yang tertentu.Sebagai terapi,melawat ke blog yang saya langgan secara tidak rasmi adalah pilihan jalan yang paling serasi buat saya.Di sana nanti akan saya perolehi serba sedikit informasi/motivasi/kata-kata perangsang yang boleh mengaktifkan daya pemikiran.Terima kasih yang tidak terhingga kepada blogger-blogger yang ada di luar sana.

Pagi tadi saya berkunjung di sini (Prof Hj Kamil).

Kebetulan semalam ada sedikit perbincangan dengan salah seorang ahli keluarga saya sekitar kerisauan kami akan kesihatan abah di kampung.Di samping mendoakan kesihatannya agar sentiasa dalam keadaan yang baik,namun terdetik jua dalam hati akan kerisauan sekiranya abah meninggal dunia.Apa akan jadi selepas itu?

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang ada,apabila ibu dan bapa bagi sebuah keluarga telah pergi meninggalkan dunia,peluang/kebarangkalian untuk adik-beradik bersatu/berkumpul di bawah satu bumbung (di rumah kampung) agak tipis.Ini kerana faktor penyatu yang besar (menziarahi emak dan abah) sudah tiada.Lantas apabila saya membaca entri dari Prof Hj Kamil,serta merta saya tersedar dari lamunan dan kerisauan.Lantas,saya mencoretkan sesuatu di ruang komen blog beliau :

"Saya selalu bimbang akan kesihatan bapak saya di kampung.Selalu terfikirkan apa akan jadi selepas bapak saya meninggal.Mungkinkah kami adik beradik akan dapat berkumpul lagi bersama-sama di kampung untuk berhari raya atau berkenduri kendara,memandangkan sudah tiada siapa di kampung kerana emak saya pun sudah lama meninggalkan dunia ini.

Lalu,

Apabila saya membaca artikel prof,baru tersedar yang dalam minda saya berpendapat,hanya yang berumur lebih tua,merekalah yang lebih dekat dengan saat kematian.Sedangkan berkebarangkalain umur bapak saya mungkin masih lagi panjang,mungkin ALlah menjemput saya lebih awal lagi.Wallahua`alam."

Moga ALlah menetapkan tapak kakiku untuk taat perintah dan suruhanNya.
Moga ALah memberikan aku peluang dan kekuatan untuk beribadah sebaik/sebanyak mungkin sebelum ajalku tamat.
Moga ALlah memberikan aku peluang untuk menamatkan ajalku dalam Khusnul Khotimah.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang N9.

Saturday, February 19, 2011

:: Moga berjumpa di Syurga nanti..... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

9 tahun dahulu,ketika aku memulakan karier sebagai pekerja kilang tegar,Batu Pahat telah menjadi pilihan destinasi memandangkan lokasinya tidak jauh dari kampungku di Muar.Walaupun tempat kerja tidak jauh dari kampung,aku tetap memilih untuk hidup berdikari dengan menyewa sebuah rumah taman di Tongkang Pechah,yang jaraknya tidak sampai pun 5 minit berjalan-kaki dari tempat kerja.

Suatu hari setelah menjadi warga Batu Pahat,buat kali pertamanya aku berjalan-jalan sekitar kawasan bandar untuk meninjau-ninjau sambil mencari serba-sedikit barang keperluan.Entah bagaimana,setelah selesai segala urusan,kaki terus sahaja menekan pedal minyak dan kereta dihala tujukan sehingga ke Dataran Batu Pahat dan terus sahaja ke arah jalan ke Tanjung Labuh.Memandangkan pemandangan sepanjang jalan yang agak tidak menarik dan tidak tahu apakah yang ada di penghujung jalan,aku bertekad untuk berpusing balik dan terus pulang ke rumah.

Dataran Batu Pahat.
(sekadar gambar hiasan)

Setelah beberapa bulan bekerja,aku diperkenalkan oleh seseorang yang aku kenalinya sejak aku berada di Jepun,dengan seorang gadis yang berasal dari Rengit.Di ringkaskan cerita,setelah berbincang dengan keluargaku,kata sepakat dibuat untuk kami sekeluarga pergi 'merisik' gadis berkenaan.Apabila tarikh telah ditetapkan dan tanpa memberitahu tujuan sebenar kunjungan kami,akhirnya kami telah sampai juga ke rumah keluarga gadis berkenaan.Walaupun Rengit adalah satu tempat yang begitu asing bagiku dan aku pun buat kali pertama sampai ke sana,tapi Alhamdulillah,Allah SWT telah memudahkan perjalanan kami.Rupa-rupanya tanda-tanya aku terjawab jua akhirnya tentang persoalan apakah yang berada di penghujung jalan ketika aku merayau-rayau tanpa hala tuju di Tanjung Labuh tempoh hari.Rupa-rupanya yang ada di penghujung jalan itu adalah rumah sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak gadis yang suatu hari nanti akan kami sekeluarga datang merisik.

Di ringkaskan cerita lagi,genap beberapa bulan setelah merisik,kami sekeluarga datang berkunjung lagi untuk proses pertunangan dan kemuncaknya adalah proses pernikahan dan sambutan walimah kami.Cumanya sedikit kekesalan yang terasa kerana walaupun pada permulaan proses (merisik) emaklah yang menjadi salah seorang watak utamanya,tapi Allah lebih menyayangi emak dan emak telah dijemput seruan Ilahi sebelum sempat kami bertunang lagi.Jadinya kekesalan dirasai kerana emak tidak dapat menatap kami berdua di akad nikahkan tambahan pula inilah satu-satunya peluang emak pergi merisik dan menguruskan segalanya kerana aku seorang sahajalah anak lelakinya.

Alhamdulillah walaupun pada peringkat awal ada sedikit masalah tentang rancangan kami untuk berkhawin awal,(memandangkan waktu itu bakal isteriku sedang menamatkan tahun akhir pembelajarannya) akhirnya Allah izinkan jua untuk kami menjadi sepasang suami-isteri yang sah.Buat kali pertama isteriku mencium tanganku,terasa begitu terharu ketika itu.Walaupun aku yang berasa terharu namun kelihatan air mata yang bergenang adalah pada sepasang mata isteriku.Entah apa agaknya perasaan isteriku kala itu.

Selesai sahaja di akad nikahkan,salah seorang antara yang terawal aku temui ialah ibu mertuaku.Aku datang dekat padanya untuk bersalaman dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana mengizinkan kami menjadi sepasang suami isteri.

Kini setelah lebih kurang 7 tahun perkhawinan,aku dan isteri telah dikurniakan 4 orang cahaya mata yang cukup comel.Ya,keempat-empat orang anak ku itu semuanya isteriku menghabiskan masa pantangnya di kampung bersama ibu mertuaku.Maka ketika itu,hampir setiap hari/minggulah aku berulang alik ke Rengit dari tempat kerja ku.Tidak terhad pada waktu berpantang sahaja,kadangkala bila ada kelapangan waktu kami sekeluarga pasti meluangkan masa untuk menziarahi emak mertuaku terutamanya bila pada hujung minggu tertentu.
Isteriku bersama ibunya ketika waktu berpantang
selepas kelahiran Ain Sofiah,anak ketiga kami.
Kala ini mereka bersiap untuk kujemput pulang ke Senawang.

Memang banyak aktiviti yang boleh aku lakukan sekiranya aku pulang ke Rengit.Abang iparku adalah seorang pengusaha tauhu sejak turun temurun.Jadinya pada sebelah pagi sekiranya berkesempatan aku akan menolong abang iparku memotong tauhu yang sudah keluar dari acuan menjadi segi yang lebih kecil.Turut membantu adalah isteri dan ibu mertuaku.Biasanya setelah selesai memotong tauhu dan menyusunnya ke dalam bekas untuk sedia dihantar,aktiviti akan berterusan ke bahagian dapur untuk aktiviti membungkus air tauhu dan tauhu yang akan dijaja dari rumah ke rumah pula.Selepas itu barulah kami bersarapan bersama-sama di ruang dapur yang sama.Menu yang pasti dan mesti ada tentulah tauhu goreng panas (yang dipotong kecil-kecil) dan dicecah dengan sambal kicap bersama-sama air tauhu panas menjadi pelepas lelah sepagian.

Sambil bersarapan emak mertuaku pasti akan berkongsi serba sedikit cerita denganku.Selalunya cerita adalah berlatarbelakangkan pengalaman hidupnya yang lepas-lepas mahupun cerita semasa yang berlaku dihadapan matanya.Emak mertuaku seperti tidak pernah jemu berkongsikan pengalaman hidupnya denganku.Cerita bagaimana kisah susah senang hidupnya diperantauan kerana emak mertuaku berasal dari Singapura.Kisah bagaimana jerit perih berkhawin diusia yang muda.Kisah bagaimana keadaan hidup dimana bapa mertuaku terpaksa bekerja jauh sehingga ke Singapura sedangkan ibu mertuaku di Rengit.Kisah bagaimana keadaan sebenar membesarkan anak seramai 13 orang dan banyak lagi kisah yang mungkin aku sendiri sudah terlupa untuk dikongsikan di sini.
Kenangan 'Idul Fitri 2008.
(selepas majlis tahlil arwah dan bermaaf-maafan di pagi hari raya)

Selain kisah pengalaman kehidupan,ada juga kisah-kisah lucu yang emak mertuaku kongsikan.Kisah bagaimana Abang Jopri yang tersesat di atas kapal ketika menghantar bapa mertuaku menunaikan haji (hampir-hampir sahaja abang Jopri ikut berlayar kerana tiada siapa pun perasan abang Jopri ketika itu masih di atas kapal sedangkan sanak saudara yang lain sudah mula melambai tangan ketika kapal haji mahu berlepas).Kisah bagaimana emak mertuaku belajar menunggang basikal curi-curi di waktu malam hari (yang akhirnya terbongkar jua rahsia itu dengan anak-anaknya).Kisah bagaimana emak mertuaku terjerumus ke dalam parit kecil ketika pergi menjual barang dari rumah ke rumah.Dan yang paling tidak dilupakan bagaimana emak mertuaku menceritakan bagaimana kesungguhannya mempelajari bahasa jawa yang akhirnya dia berjaya menguasainya.

Cerita-cerita di atas kadang-kalanya di ulang cerita tanpa jemu oleh emak mertuaku, terutama sekalinya kisah abang Jopri sesat di atas kapal.Walaupun di ulang cerita namun emak mertuaku begitu tekun menceritakan sesuatu dan aku pula tekun mendengarnya.

Satu lagi sifat terpuji emak mertuaku adalah tentang sifat pemurahnya.Emak mertuaku memang seorang yang pemurah,terlalu pemurah.Sifat pemurah itulah yang membuatkan barang jajaan emak mertuaku selalu sahaja laku dan habis dijual.Aku selaku anak menantunya pun merasakan dia terlalu pemurah.Kadangkala sewaktu aku pulang ke Rengit,aku pula yang diajak makan diluar dan emak mertuaku jualah yang membayarnya.Begitu juga kalau ke pasar,apa sahaja akan diborong oleh emak mertuaku.Kalau membeli ikan tidak cukup sejenis,pasti akan dipilihnya beberapa jenis,itu belum termasuk ikan yang ber’JENAMA’.Pernah sekali emak mertuaku berkunjung ke rumahku,lalu diajaknya aku ke pasar,lalu aku membawanya ke Pasar Tani di TTJ.Habis satu pasar di tawafnya saehinggakan tidak cukup tangan aku membimbit beg plastik barang yang sudah bertukar tangan dari pelbagai gerai.Akhirnya emak mertuaku menemui paku-pakis perak dan pelam muda disebuah gerai,katanya dia sudah lama teringin untuk makan ‘urap’ paku-pakis dengan pelam muda.Setelah puas memilih dan membeli kami pun pulang ke rumah.Apa lagi,isteriku pun mulalah menyingsing tangan selaku chief utama di rumah.Petang itu kami sekeluarga puas kekenyangan menjamu selera berkat dari hasil 'BELANJA' emak mertuaku.

Ya,baru ku ingat,tika itu emak mertuaku sedang menghabiskan cuti hujung minggunya kerana emak mertuaku sedang menjalani rawatan radioterapi di Hospital Besar KL (HKL) di bawah seliaan dan pemantauan Dr Zabedah Othman pakar onkologi HKL yang juga merupakan anak Pn Hjh Anisah Saap,ibu mertuaku.Oleh kerana hujung minggu tiada jadual rawatan,kami membawa emak mertuaku ke rumah kami.Bukan main gembira dia melayan keletah dan kerenah cucu-cucunya yang memang sedang lasak membesar.Kata isteriku,riak muka emak mertuaku sedikit tidak bercahaya ketika kakak iparku ingin menghantarnya pulang semula ke HKL,mungkin agaknya ada sedikit kehilangan ketika berada di suasana persekitaran hospital.

Agak sedikit terkejut ketika aku berbual dengan birasku tentang keadaan kesihatan emak mertua kami pada suatu hari.Ketika itu emak mertuaku dikhabarkan sudah tidak mampu berjalan jauh,sedangkan baru 2/3 minggu yang lepas aku membawanya berjalan-jalan menawafi PASAR TANI di TTJ.Perubahan yang amat mendadak.Sungguh drastik.

Bulan lepas ketika aku menziarahi emak mertuaku,keadaannya memang agak kurang bermaya.Makannya sudah agak sedikit,banyak masa dihabiskan dengan berbaring di atas tilam.Berbual dengan anak-anak pun amat sedikit buah butir perkataannya.

Pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas,tika aku menziarahi emak mertuaku di kampung,keadaan emak semakin tidak stabil.Hendak ke bilik air sudah perlu dipapah.Hampir kebanyakkan masanya dihabiskan di atas pembaringan.Namun dalam keadaan sebegitu solat masih mampu ditunaikan walaupun dalam keadaan berbaring.Kami meninggalkan emak di kampung dalam keadaan begitu dengan perasaan yang sungguh berat hati kerana kami ada keperluan yang perlu ditunaikan ditempat lain.Namun begitu tugas kami diambil alih oleh anak-anaknya yang lain.

Tanggal 10 Februari,jam 4 pagi isteriku mendapat panggilan dari salah seorang abangnya menkhabarkan tentang status emak mertuaku yang tika itu sudah menampakkan tanda-tanda awal.Sebelum subuh sekali lagi isteriku mendapat panggilan telefon dan kala itu isteriku terus sahaja mengajakku untuk segera balik ke kampung.Tanpa berlengah aku segera menunaikan solat dan terus bersiap untuk pulang ke kampung.Kami tiba di kampung lebih kurang jam 10 setengah pagi.Tiba sahaja di kampung,kami terus sahaja bersegera masuk ke dalam rumah.Keadaan emak mertuaku agak kirtikal,nafasnya sudah sedikit berombak dan sedikit berbunyi.Anak-anak dan anak menantu sudah berada dikelilingnya.Ada yang membaca Yaasin dan ada pula yang silih berganti menalkinkan emak mertuaku di telinganya.Tepat jam 11 setengah pagi,emak mertuaku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan penuh ketenangan.Aku yang kala itu hampir menghabiskan beberapa ayat lagi bacaan surah Yaasinku memandang jasad emak mertuaku dengan penuh sayu,syahdu dan penuh rasa cemburu.Emak mertuaku telah selesai tugas dan tanggungjawabnya nya di alam dunia dengan penuh ketenangan dikelilingi oleh anak dan menantu tercinta di suasana yang penuh damai.Aku pula secara tiba-tiba cuba membayangkan bagaimanakah saat akhir ajalku kelak.Aku mendoakan agar roh emak mertuaku diletakkan di antara roh-roh yang diRahmati dan diBerkati oleh Allah SWT dan dalam masa yang sama aku berdoa agar dipenghujung usiaku kelak,aku dapat menamatkan ajalku dengan keadaan yang penuh Husnul Khotimah.Amin.

Kini,sudah seminggu lebih ibu mertuaku meninggalkan kami semua.Saat-saat kegembiraan antara kami masih lagi terkenang dan terbayang.Moga-moga saat-saat itu masih boleh kami kecapi di sana nanti.

Buat isteriku yang tercinta,

"Janganlah bersedih janganlah berduka.Usahlah diucap selamat tinggal kepada ibumu,ucapkanlah moga bertemu kembali,jika tidak di alam barzakh,moga di SYURGA Allah nanti."

Al Fatihah.......

Wak,
19 Februari 2011.
Taman Desa Ixora,
Senawang N9.

Wednesday, February 9, 2011

:: Mencari titik kemanisan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kolah tempat wudhu.
Kebanyakkan masjid/surau lama masih mengekalkan
kewujudannya.Wajar dikekalkan selain dapat menjimatkan air
ia juga mempunyai simboliknya sendiri.
(sekadar gambar hiasan)

Sebuah kolah besar yang air penuh berisi,sekiranya dituang dengan sekilo gula sudah pasti kita belum dapat mengecapi manis airnya.Begitu juga sekiranya di tambah sekilo lagi,pasti rasa asal air kolah tersebut masih lagi belum berubah.Tapi sekiranya seorang demi seorang datang lagi ke kolah berkenaan membawa gula,lalu dituangkan ke dalamnya,tidak kiralah berapa banyak jumlah yang mereka bawa masing masing,sudah tentu akan sampai satu tahap/peringkat,air dalam kolah itu akhirnya akan bertukar menjadi manis.Dan sekiranya orang yang selepas itu membawa sesudu gula sekalipun,lalu ditambahkan sesudu gula berkenaan ke dalam air kolah tadi,ia juga akan berasa manis.Akhirnya apabila semakin banyak gula yang ditambah,kemanisan air kolah itu akan sampai ke satu tahap di mana kemanisannya sudah ke tahap tepu.Itulah kemuncak tahap kemanisan.Sehinggakan sesiapa yang datang tanpa membawa gula sekalipun,akan dapat merasakan kemanisan air kolah tersebut.

Tamsilan itulah yang dapat digambarkan tentang curahan sumbangan dari awal pengembangan Islam di bumi Mekah dan Madinah yang dibuat oleh para sahabat r.anhum.Mereka sedikit demi sedikit membuat pengorbanan samada dari segi material,tenaga,titik peluh,idea dan pelbagai lagi sumbangan demi menegakkan syiar Islam di atas muka bumi yang asalnya ‘tawar’ dari sebarang rasa.Pengorbanan yang mereka buat bersama-sama Rasulullah SAW sedikit demi sedikit memberikan kepada mereka kemanisan Iman yakni keyakinan tentang kebenaran Islam yang timbul dari dalam diri mereka.Hinggalah satu peringkat di mana keImanan yang teguh yang mereka rasai itu sampai kesatu tahap kemuncaknya.Sehinggakan sesiapa sahaja melihat perilaku dan tingkah laku Rasulullah SAW dan para sahabat,mereka boleh mendapat hidayah lalu mereka sama-sama memeluk agama Islam.

Bagaimana dengan tahap sumbangan kita?

Sempena bulan Rabiul Awal (bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW) ini marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Baginda SAW.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang N9.