Bulan Puasa adalah bulan manusia.....(ah,tersasul lagi bulan puasa).
Bulan Ramadhan adalah bulan manusia menjadi baik-taqwa (InsyaAllah).Saya juga ingin melatih anak saya supaya menjadi insan yang boleh menjadi baik pada diri sendiri dan boleh mengajak orang lain untuk sama-sama menjadi baik.Itu satu tekad.
Abdul Aziz.
Tahun ini Abdul Aziz,anak saya yang sulung berumur 7 tahun.Ini tahun ke tiga dia berpuasa.Alhamdulillah dia tidak menunjukkan kerenah yang pelik-pelik bila dilatih untuk berpuasa sejak awal lagi.Namun tahun ini saya dapat mengagak yang dia mungkin akan berasa lebih mencabar sebab dia akan berasa pula berpuasa di alam persekolahan.Tahu-tahu sajalah,apa yang lebih menyeronokkan pelajar tahun 1 di mana-mana sekolah sekalipun selain dari berkejaran sana-sini bersama rakan-rakan.Sampai ke satu tahap ia pasti meletihkan badan dan tekak akan terasa kering dan dahaga.Ditambah dengan cuaca yang memang panas terik kala ini bila tengahari menjelma.
Wajah ceria di 1 Ramadhan 2011M.
(ketika ini jam 19:00)
Apa pun,tahun ini saya anjakkan latihan untuknya ke satu tahap yang baru.Saya baru melatih dia untuk solat Jumaat dan solat terawikh secara berjemaah.
Abdul Hadi.
Abdul Hadi,anak saya yang kedua berumur 5 tahun.Ini tahun kedua dia berpuasa.Tahun lepas bila hari pertama dia berpuasa,cukup mencabar dugaan untuk melayan kerenahnya.Kata uminya,"sampai nak cair taik telinga mendengar dia merengek nak minta minum."
Namun bila saya pulang dari kerja,kerenahnya semakin menjadi-jadi.Untuk mengelak taik telinga saya juga turut mencair,saya pujuk dia mengelilingi kawasan taman perumahan kami dengan menunggang motosikal.Sempat juga kami singgah di gerai menjual kuih dengan membeli beberapa juadah berbuka sebagai hadiah kepada orang yang mula belajar puasa pada hari ini.
Selepas puas meronda,kami sampai semula di rumah agak lewat petang.Memang saya sengaja berbuat begitu agar dia tidak lagi terasa terlalu lama untuk menunggu waktu berbuka.Namun kejadian selepas itu sungguh tidak diduga.Sampai sahaja di tempat letak motor,Abdul Hadi terus sahaja meluru berlari ke dalam rumah menuju ke peti sejuk.Hampir sahaja dia dapat meneguk air yang memang tersedia khas untuk berbuka.Mujur dapat diselamatkan,kalau tidak.......
Tamat cabaran/dugaan hari pertama,hari seterusnya nampaknya dia sudah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk membuat kerenah yang mencabar kesabaran kami.Alhamdulillah,dalam sebulan Ramadhan tahun lepas,hanya 2 hari sahaja dia meninggalkan puasa.Itupun sebab terlalu penat bermain dengan sepupunya ketika berada di kampung sebelum Hari Raya.
Itu cerita tahun lepas....
Tahun ini,hari pertamanya berpuasa ada sedikit kemajuan.Tiada lagi adegan kejar mengejar.Tapi biarlah gambar yang menceritakan segalanya.
1 Ramadhan 2011M-Sedikit tidak bermaya.
Habis dikumpul makanan di depan mata.
Dalam peti sejuk disumbatnya pulasan
dan manggis (takut basi katanya)
Ain Sofiah.
Ain Sofiah,adalah satu-satunya anak perempuan saya buat masa ini.Umurnya baru menjangkau 3 tahun lebih.Tahun ini adalah tahun pertama dia belajar berpuasa.
1 Ramadhan-hanya bertahan sehingga ke tengahari.Sahur pagi hanya dengan meminum susu secawan.
2 Ramadhan-Alhamdulillah,bertahan puasanya sampai ke waktu berbuka setelah kami terpaksa melayan pelbagai macam kerenah dan rengekkan yang mendayu-dayu.
1 Ramadhan 2011M.
Hanya mampu bertahan hingga ke tengahari.
Sambil itu terpaksa juga saya mengotakan janji dengan membawanya ke taman permaianan (untuk bermain papan gelongsor dan buaian-walaupun petang semalam saya terpaksa berkejar ke suatu majlis di Jalan Jelebu) sekiranya dia berjaya menahan puasa hingga ke petang.Tapi seperti juga di zaman Abdul Hadi mula belajar puasa,semakin dekat dengan waktu berbuka,semakin besar dugaan untuk menahan kerenah si anak dara seorang ini.Namun,berjaya menahan lapar dan dahaga seharian (+ dapat menahan dugaan melihat adiknya minum susu) adalah satu pencapaian yang cukup memberangsangkan.Alhamdulillah.
Apa pun,saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana mengurniakan kami anak-anak yang amat mendengar kata walaupun kadangkalanya amat cukup mencabar kesabaran untuk mendidik mereka.Mungkin ini salah satu jalan untuk diri kami sendiri di tarbiyah.
"Ya Allah,kurniakanlah kekuatan dan kesabaran di dalam diri kami ini.Amin."
(edisi esok : Melayan kerenah diri sendiri di bulan Ramadhan)
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment