Friday, August 5, 2011

:: Universiti Ramadhan-5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bacalah dengan hati yang terbuka.

Beberapa bulan yang lepas apabila saya melalui persimpangan jalan Matahari Height,saya telah dapati 1 banner untuk sesiapa yang ingin menempah tapak Bazaar Ramadhan (BR) telah digantung di sisi jalan.Semarak dan aura bulan Ramadhan telah mula terasa ketika itu.Alhamdulillah.Ia peringatan yang cukup baik saya kira.

Selepas itu pada hari ini........

1 Ramadhan.

1 Ramadhan baru-baru ini,ketika pulang dari tempat kerja,saya sempat berpusing sekitar Taman Teratai,Taman Desa Dahlia dan Taman Matahari Height,untuk melihat keadaan BR di sana.Keadaan BR di Taman Teratai tidak jauh berbeza dari tahun lepas,jumlah kedai juga tidak banyak berbeza.Mungkin pelanggan sahaja yang kelihatan bertambah.Sesak jadinya jalan yang sepatutnya 1 hala berkenaan.Mungkin BR menjadi sesak sebab awal Ramadhan tahun ini jatuh pada awal bulan,poket masih lagi tebal.Warga Senawang baru sahaja mendapat imbuhan gaji.Wallahua`alam.

Keadaan BR di Taman Desa Dahlia agak meriah,kedainya melimpah sehingga ke Taman Kobena di seberang jalan.Ia menjadikan kanan kiri jalan menuju ke Pekan Senawang Lama bagaikan pesta.

Keadaan BR di Taman Matahari Height lagi hebat.Berpadanan dengan letaknya di jalan utama.Lagipun bangunan rumah kedai yang baru di hadapan Matahari Height telah hampir siap dan di situ kelihatan pelanggan BR menjadikkannya tempat parking kenderaan mereka.Makin mudah untuk parking kereta makin ramailah yang mahu menyinggah ke BR.

2 Ramadhan.

Hari kedua berpuasa,seorang rakan pejabat saya merungut bila datang kerja pada pagi itu.Katanya harga kuih-muih yang dijual di BR tidak berpadanan dengan saiznya.Kuih-kuih biasa (karipap,koci,buah melaka,ketayap...) dijual dengan harga baru RM2-5 keping (berbanding tahun lepas RM1-3 keping).Namun dengan harga yang telah dinaikkan manakala saiz kuihnya pula yang semakin mengecil,tentu sebagai pelanggan ia dianggap sebagai harga yang mahal.Bagi saya ada logiknya mengapa rakan saya berpendapat sebegitu.

3 Ramadhan.

Seorang rakan saya yang baru sahaja mendirikan rumahtangga pada tahun ini tinggal di kawasan Rembau.Untuk menjimatkan masa,mereka hanya membeli juadah di BR untuk berbuka puasa berdekatan dengan kawasan mereka tinggal.Komen mereka tetap sama,'MAHAL'.Manakan tidak,satu bekas tupperware taufu fa yang kecil berisi bubur jagung dijual degan harga RM2 setengah.Seekor ikan kembung (bersaiz sederhana) dimasak sambal berharga RM3.Begitu juga dengan harga juadah yang lain.Rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai mahal.

Akhirnya,kata kawan saya berbanding dengan hari pertama,pengunjung yang datang ke BR berkenaan pada hari kedua dan ketiga semakin berkurangan.Mungkin mereka juga beranggapan tidak berbaloi kalau mereka memperuntukkan wang mereka untuk membeli juadah yang pada mereka harganya tidak setimpal dengan apa yang mereka dapat.

Namun bukan itu sebenarnya yang saya ingin ketengahkan.

Pernah ke tidak kita perasan di tepi-tepi jalanraya,atau di tempat laluan umum akan ada banner dan papan tanda yang berbentuk mengajak manusia agar berbuat sesuatu.Contohnya mengajak warga Malaysia untuk menjelaskan cukai tanah/pintu/taksiran-ini salah satu ajakan agar manusia mengikut saranan (baca : perintah) kerajaan.

Di satu sudut pula,terutamanya di hadapan masjid akan ada papan tanda yang agak besar saiznya yang mengajak warga Malaysia yang berugama Islam untuk membayar zakat (emas/pendapatan/perniagaan dll)-ini salah satu contoh ajakan agar manusia mengikut saranan (baca : perintah) agama.

Nampak seimbang kan keadaan di Malaysia ni.

Untuk nampak lebih seimbang lagi,harap-harap ada pihak yang selepas ini dapat membuat apa sahaja banner/papan iklan yang mengajak manusia bukan sahaja untuk membuka tapak di BR (untuk kepentingan dunia) tapi agar mereka juga diajak agar menutup aurat sesempurna mungkin,tidak kira  kaum lelaki ataupun perempuan (untuk kepentingan akhirat).

Moga dengan mesej yang pendek ini,Ramadhan tahun hadapan saya tidak lagi perlu menjawab dengan anak saya mengapa ada pakcik yang memakai seluar pendek ketika berada di BR.

Saya doakan sungguh-sungguh hal ini.

(edisi esok : Iftar bersama Sukarelawan)

Wak,
TDI.

No comments: