Friday, September 30, 2011

:: Terkesan di hati ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Nihon (日本).

Saya tinggal sebagai pelajar di Jepun selama 3 tahun (1999~2002).Kawan-kawan sebatch saya ada yang lebih lama dari itu.Ada yang menyambung lagi selama 2 tahun di Universiti lain.Ada yang terus bekerja di sana.Malah ada yang berkhawin dengan warganegara Jepun dan terus tinggal di sana.Ada sesetengah dari mereka yang sudah duduk di Jepun 10 tahun lamanya.Mereka sudah menganggap Jepun sebagai kampung halaman mereka yang kedua selepas Malaysia.Lidah mereka juga sudah serasi dengan masakan Jepun yang rata-ratanya kita tahu sangat healthy walaupun rasanya tidaklah dilengkapi dengan pedas/masin/manis seperti makanan kebiasaan di Malaysia.

Nabe...
Salah satu jenis makanan musim sejuk.
(kalau di Malaysia mungkin steamboat)

Apalah agaknya tarikan yang mereka dapat rasai yang menyebabkan mereka boleh bertahan untuk duduk terus di Jepun begitu lama berbanding saya?

Namun dalam 3 tahun berkenaan,saya kongsikan sekelumit pegalaman yang saya perolehi sepanjang saya di sana.

Mencari dana.

Suatu hari saya ditugaskan untuk mencari dana bagi menampung tabung keperluan persatuan kami,IPIJ.Jadinya ketika pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas,saya telah pergi mencari beberapa supplier kaset ceramah untuk mendapatkan stok.Akhirnya bertemu jugalah saya dengan seorang Ustaz yang sememangnya pengedar kaset ceramah. Dan yang menariknya Ustaz berkenaan menawarkan harga yang amat berpatutan.Pilihan saya tentulah kaset-kaset kuliah Ustaz Haji Shamsuri,yang memang sedang top ketika itu.

Salah satu koleksi kaset ceramah
Ustaz Hj Shamsuri Ahmad.
Setelah mendapatkan stok dan membayar harga keseluruhan hampir 100 buah lebih kaset berkenaan,saya pun membungkusnya di dalam kotak khas supaya mudah untuk saya bawa bersama ketika pulang ke Jepun kelak.

Kembali ke Jepun.

Tiba di Kansai Airport Jepun,ketika hendak keluar dari kaunter kastam,saya di tanya oleh Pegawai Kastam yang bertugas mengenai isi kotak yang mungkin menarik perhatiannya itu.Dengan jujurnya saya menyatakan yang di dalamnya adalah kaset sebagai rujukan agama dan untuk kegunaan sendiri,lalu Pegawai berkenaan melepaskan saya pergi berserta dengan ke semua bagasi saya.

Pengembaraan bermula.

Untuk pulang ke Okayama,saya perlu mengambil keratapi dari Kansai Airport dan kemudian transit di Osaka-eki dan kemudian barulah menaiki bas ekspress ke Tsuyama-eki.

Osaka eki.

Di pertengahan perjalanan ketika transit,saya menempuhi saat-saat sukar untuk menguruskan bagasi saya.Bergerak ke sana-sini dengan 1 beg pakaian,1 bag pack yang sarat dengan stok bahan makanan kering ditambah dengan 1 kotak penuh berisi hampir 100 lebih kotak kaset tentu amat menyukarkan.Bertambah kesukaran bila terpaksa menempuh untuk menaiki tangga yang tinggi tanpa bantuan eskalator.

Sekuat mana pun kederat seorang lelaki,pasti ada limitnya,saya pasrah.Kini,peluh sudah mencurah-curah membasahi badan.Siapa yang pernah tinggal di Jepun pasti akan dapat membayangkan bagaimanakah rasanya bila tibanya musim panas.Badan akan berlekit-lekit dan ia mengundang perasaan yang amat tidak selesa.

Lenguh.

Akibat berjalan jauh,urat-urat kaki sudah mula berasa tegang,otot tangan pula sudah mula lenguh dek membawa beban yang berat.Badan pula sudah amat letih setelah lebih 14 jam menempuh perjalanan dari kampung-KLIA-Kansai Airport-Osaka-eki.Lalu saya mengambil keputusan untuk menaiki tangga berkenaan dengan membawa 2 buah beg dan meninggalkan sebentar kotak berisi kaset di bawah.Risiko meninggalkan kotak di bawah terlebih dahulu memandangkan 2 beg yang saya bawa penuh dengan barang berharga.Tetapi bila tiba di tingkat atas nanti,saya perlu turun semula untuk mengambil pula kotak yang berada di bawah.2 buah beg kesayangan saya perlu ditinggal sementara saya turun ke bawah.Apa akan terjadi di antara selang masa itu.Sudahlah saya travel berseorangan.Itulah kekurangannya bila berjalan jauh seorang diri.

Tiba,tiba...

Sedang saya berfikir-fikir dan berkira-kira,tetiba ada seorang makcik yang sudah agak berumur menegur saya dengan muka yang agak serius.Tanpa banyak soal dan mungkin agaknya makcik berkenaan dapat menduga apa yang berada di dalam minda saya,makcik berkenaan terus sahaja menawarkan bantuan untuk membantu saya.

Mengantuk dan disorongkan bantal.

Mendengar sahaja tawaran berkenaan,saya terus sahaja menyerahkan kotak yang berisi kaset kepada makcik itu,memandangkan antara 3,kotak itulah yang agak 'ringan'.Makcik berkenaan bersama-sama dengan saya menaiki tangga yang tinggi itu.Walaupun sudah agak berumur,tetapi gerak makcik itu masih begitu cergas.Rasa bersalah juga membebankan makcik berkenaan,tetapi apakan daya,keadaan juga memaksa.Sampai di tingkat atas,makcik itu segera ingin beredar.Saya hanya sempat mengucapkan terima kasih tanpa dapat bertanyakan apapun,walaupun sekadar namanya.Makcik itu terus berlalu pergi dan menghilang disebalik celah-celah manusia di Osaka-eki itu yang memang terkenal dengan kepadatan orangnya.

Bersyukur.

Saya hanya mampu bersyukur ke hadrat Illahi.Masih ada rupanya manusia di tengah bandaraya sebesar Osaka ini yang masih lagi perihatin dan ringan tulang,walaupun kepada warga asing seperti saya.

Kepada makcik berkenaan,saya doakan agar hidupnya di dunia ini dipermudahkan walau di mana jua dia berada.

Tsuyama eki.
(penuh nostalgia)

One-man.
Oleh kerana tiada talian letrik di atas landasan
keretapi yang menuju ke Tsuyama Eki hanyalah
gerabak kecil yang di panggil One-Man.

Tsuyama-eki mae.
Di sinilah bas ekspress akan menurunkan penumpangnya.
Ia bersebelahan dengan stesyen keretapi Tsuyama (Tsuyama-eki).

Home Sweet Home!
Tsuyama National College of Technology,Japan.

Moga bertemu lagi.

Nota : Gambar-gambar adalah dari ehsan wikipedia dan sumber internet yang lain.

Wak,
TDI.

Thursday, September 29, 2011

:: Silaturrahim ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berikut dikongsikan catatan dari kuliah subuh yang telah disampaikan oleh USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI (pengasas darul fuqaha)-pada 24 Sept 2011 (Masjid Negeri,Shah Alam)
USTAZ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
(pengasas Darul Fuqaha)

Dari Abu Hurairah r.a,Rasulullah SAW bersabda,“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tamu-tamunya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah menjaga hubungan silaturrahimnya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik (benar) atau lebih baik diam.” [HR. Bukhari Muslim]

1. memuliakan tamu-tamunya - urusan antara manusia dengan manusia.
2. menjaga hubungan silaturrahimnya - urusan manusia dengan manusia yang dekat hubungannya.
3. berkata baik (benar) atau lebih baik diam - melibatkan diri sendiri.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
(Masjid Negeri Selangor)
Masjid Negeri dan kebanyakkan masjid dan surau di Selangor
sejak 3 tahun kebelakangan ini dihidupkan dengan
bermacam majlis ilmu dan aktiviti yang berjaya menarik ramai ummat Islam
untuk kembali menghidupkan rumah Allah.

Kata pinjam.

Banyak istilah dalam bahasa melayu adalah merupakan kata pinjam dari bahasa tertentu dan di antara kata pinjam berkenaan adalah dari bahasa arab. Ada kata pinjam yang dikekalkan maknanya dan ada pula kata pinjam yang diubah maknanya.

Perkataan sama,maksud sama-Rabb,Ilaah.

Rabb-ditafsirkan sebagai Tuhan begitu juga dengan Ilaah. (merujuk tafsir Surah An Naas)

Tetapi ada juga perkataan walaupun dalam bahasa melayu yang sama tetapi mempunyai tafsiran yang berbeza.

Contoh 1.

Timba : Bagi orang Trengganu ia bermaksud gayung.
Timba : Bagi orang Kedah ia bermaksud baldi.

Contoh 2.

Tuak : Bagi orang Trengganu ia bermaksud air nira kelapa.
Tuak : Bagi orang Selangor ia bermaksud air arak.

Perkataan sama,maksud berbeza-Silaturrahim.

Silaturrahim bila diterjemahkan secara umum di Malaysia ia memberi pengertian ukhwah atau persaudaraan Islam.Sedangkan kalimah ( الصلة )-silah bermaksud sambung manakala kalimah ( الرحم ) bermaksud rahim iaitu tempat bayi dikandungkan.Dengan erti kata lain maksud tuntutan menjaga/menyambung silaturahim adalah keperluan menjaga/menyambung ikatan persaudaraan yang dijalin disebabkan ada ikatan rahim.

Berselawat (Marhaban) ke rumah-rumah ketika Hari Raya
adalah sambutan rasmi di kampung saya di Muar.
Ia adalah tali pengukuh ukhwah sesama saudara Islam.
(Gambar Kenangan Marhaban dalam Kampung-2011)

Jenis-jenis ikatan rahim.

1.Rahim yang mahram :
a.Adik beradik,mak,bapak,datuk dan ke atas.
b.Anak,cucu,cicit dan ke bawah.

2.Rahim yang tidak mahram :
a.Sepupu,2 pupu,3 pupu,saudara bau-bau bacang.

3.Tidak rahim tetapi mahram :
a.Ada hubungan susuan (Anak susuan,adik beradik susuan,pakcik susuan,makcik susuan).

Hari Raya dan kunjung mengunjung adalah amat sinonim.
Ia adalah langkah terbaik untuk menyambung rahim.
(Keluarga Allahyarham Haji Ali bin Haji Muhammad
-Edul Fitri 2011)

Hukum Silaturrahim.

1.Rahim yang wajib sambung : Rahim yang mahram (sepakat ulama)

2.Rahim yang sunat sambung : Rahim yang tidak mahram

3.Manakala bukan rahim tetapi mahram,khilaf ulama mengenai hukumnya iaitu sunat atau wajib.

Iman.

Iman adalah membenarkan dengan hati,melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota.

Ulama tafsir merumuskan bila ada sahaja ayat Al Quran yang dimulai dengan "Wahai orang-oarang yang beriman…" perlu diberi perhatian ayat seterusnya,kerana ayat-ayat seterusnya merupakan ayat-ayat yang penting,samada ayah perintah ataupun ayat larangan.

Contoh ayat perintah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah 2:183)

Contoh ayat larangan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya." (A-li'Imraan 3:130)

Dari ayat di atas secara pemahamannya,bila seseorang itu beriman,golongan ini akan rasa terpanggil untuk beramal.

Contohnya begini,

Sekiranya di hadapan kita ada ramai khalayak yang mereka datangnya dari Shah Alam,tiba-tiba kita seru, "Wahai orang-orang Bangi!" tentu sahaja mereka langsung tidak menghiraukan seruan itu.Tetapi apabila kita seru, "Wahai orang-orang Shah Alam!" tentu seruan itu berjaya menarik perhatian mereka dan mereka akan mendengar apa yang hendak dituturkan oleh orang yang hendak membuat seruan itu.

Contoh beriman hanya pada hati.

Najashi adalah seorang Raja Habsyah.Raja Najashi memeluk Islam tetapi tidak istihar pada rakyatnya.Akhirnya apabila Raja Najashi meninggal dunia lalu Rasulullah SAW bersama sahabat telah melakukan solat ghaib untuk Raja Najashi.Mengapa Rasulullah menunaikan shalat ghaib untuk Raja Najashi,kerana di tempat Raja Najashi meninggal dunia,tidak ada yang melakukan shalat jenazah untuknya.

Hakikat silaturrahim.

1.Sambung rahim bukan kerana balas.

Sesetengah dari masyarakat kita,mereka menyambung rahim kerana tanda membalas.Contohnya jikalau adik yang berumur 25 tahun datang menyambung rahim kepada kakaknya yang berumur 45 tahun,barulah kakaknya itu akan turut menyambung rahim.Tetapi kakak itu sendiri tidak berinisiatif untuk menyambung rahim kerana bagi tanggapannya,yang mudalah yang perlu terlebih dahulu menyambung rahim.

2.Sambung rahim kena ada pendirian bukan Pak Turut.

Terkadang,oleh kerana bapa kita berkrisis dengan adik-beradiknya (pakcik dan makcik kita) maka kita telah turut sama di larang untuk berbaik-baik dengan pakcik dan makcik kita.Dalam hal sebegini,kita haruslah berpendirian,biarlah kita sebagai anak saudara yang menyambung rahim dengan pakcik dan makcik kita.

Kebaikan/fadhilat sambung rahim.

Dari Abu Hurairah r.a Maksud: Sesiapa yang suka untuk diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim (hubungan kekeluargaan). - Sahih Bukhari.

Kisah menyambung rahim.

Kisah 1.

Saidina Abu Bakar r.a adalah seorang yang kaya.Saidina Abu Bakar r.a mempunyai seorang saudara yang bernama Musattah bin Anasah.Saidina Abu Bakar r.a juga telah menanggung Musattah bin Anasah dengan membantunya dari segi kewangan.Oleh kerana Musattah pernah bercakap dusta sehinggakan Saidina Abu Bakar r.a bersumpah akan berhenti memberi nafkah seperti biasa kepada saudaranya itu.

Sehinggalah Allah menurunkan perintah yang berbunyi, "Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya, bersumpah tidak mahu lagi memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah. Dan sebaliknya hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu." ( An-Nur: 22)

Dan sebaik-baik sahaja perintah itu diberitahu kepada Abu Bakar, dia segera insaf dan patuh reda dan menebus kembali sumpahnya itu.

Kisah 2.

Anas bin Malik berkata : “Dulu ada dua orang bersaudara pada masa Rasulullah. Salah seorang mendatangi (menuntut ilmu) Rasulullah,sedangkan yang lainnya bekerja. Lalu saudaranya yang bekerja itu mengadu kepada Rasulullah (lantaran ia memberi nafkah kepada saudaranya itu), maka Baginda bersabda,“Mudah-Mudahan engkau diberi rezeki dengan sebab dia”. (HSR.Tirmidzi dan Al Hakim, Lihat Shahih Sunan Tirmidzi)

Nota: Di tulis dari apa yang diingat dan apa yang didengar.

Moga mendapat menafaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, September 28, 2011

:: Mengeratkan Ukhwah (pasca Ramadhan) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Syauwal sudah tiba ke penghujungnya.Kala ini sebahagian dari rakyat Malaysia sedang sibuk bersiap untuk menjadi tetamu Allah bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu Menunaikan Haji.KT1 dijangka akan bertolak ke Jeddah pada 29 September 2011.

Sebelum itu,

Ketika saya membuat jamuan sempena Hari Raya yang lepas,saya telah dijemput oleh Ustaz Romzi-Penasihat Pasti al-Mumtaz untuk sama-sama memeriahkan jamuan sempena Hari Raya di Pasti al- Mumtaz,Taman Bukit Chedang pada 15 September yang lepas.Sebagai menghormati dan memenuhi jemputan,kami sekeluarga telah pergi ke majlis berkenaan,di mana dibuat secara pot-luck.

Kami tiba di tempat majlis disambut dengan kemeriahan suasana kanak-kanak yang merupakan sebahagian dari pelajar Pasti berkenaan.Seperti semua sedia maklum,kegemaran kanak-kanak seusia 4,5 dan 6 tahun adalah berlari berkejaran ke sana dan ke sini,tidak kira lelaki atau perempuan.Kemeriahan keadaan yang dicipta oleh mereka sebenarnya menaikkan suasana petang tersebut.

Setelah meletakkan pencuci mulut (barli,sagu rendang dan jagung yang dicurah dengan susu cair dan air gula merah) yang telah ditempah oleh Ustaz Romzi di atas meja yang disediakan,kami mengambil kesempatan untuk berkenal-kenal dan beramah mesra dengan beberapa ibu bapa pelajar Pasti berkenaan yang hadir ketika itu.

Bila masuk sahaja waktu maghrib,Ustaz telah mengarahkan salah seorang pelajar Pasti berkenaan melaungkan azan.Saya dan isteri pula mengambil kesempatan untuk berbuka puasa dengan bekal air yang kami bawa dari rumah.Sambil meneguk air,saya sempat berbisik kepada isteri,”Ini betul-betul diraikan ni.” Sebenarnya hari tersebut kami berdua baru sahaja dapat menyelesaikan puasa sunat Syauwal,dan kesyukuran dapat menunaikan tuntutan itu ditambah dengan jamuan yang dianjurkan,walaupun bukan bersempena untuk kami.

Selepas sahaja menunaikan solat fardhu maghrib berjemaah,para hadirin mula menjamu selera dengan juadah yang mereka bawa masing masing dari rumah.Punyalah banyak jenis makanan,dari nasi impit,lontong,nasi putih berlauk ayam masak kari,mee rebus,mee laksa,spagheti,kuih-muih hinggalah kebuah-buahan,semuanya ada.Jenuh jugalah enzim-enzim di dalam usus berkerja malam itu untuk menghadam makanan.

Para hadirin mula menjamu selera.

Sambil melayan kerenah anak-anak sendiri dan anak-anak Pasti,sempat juga saya bertanyakan pada Abdul Hadi tentang persekitaran Pasti yang kami ziarahi pada hari itu.Alhamdulillah,respon Abdul Hadi agak baik.Respon itu perlu,memandangkan tahun depan,InsyaAllah giliran Abdul Hadi pula untuk mendaftar di Pasti Al Haazim,Taman Desa Ixora.

Melayan anak-anak dan anak-anak PASTI.

Sambil menjamu selera,tanpa saya sedar kehadiran Cik Nuar,juga salah seorang jiran lama saya,telah menegur sapa saya.Apalagi,memandangkan kami sudah agak lama tidak bertemu muka,maka banyaklah sesama kami bertukar berita.Katanya dia sekarang sudah berjaya mendapat lesen memandu teksi setelah hampir bertahun lamanya memohon sejak dia pencen dari berkhidmat dengan ATM."Alhamdulillah,tidak susahlah saya untuk berulang alik ke KLIA selepas ini," usik saya.

Jam menunjukkan hampir 9 malam.Hadirin yang datang masih ada yang menjamu selera dan ada juga yang sedang beramah mesra antara mereka.Saya juga sempat berborak panjang dengan Abang Mad Nor,jiran lama saya.Sambil-sambil itu,saya menyempatkan mata untuk melihat jam ketika itu.Oleh kerana belum ada kelihatan tanda solat Isya’ hendak didirikan,saya menguatkan diri untuk bertanyakan kepada Ustaz Romzi tentang agenda program malam itu.Alhamdulillah,sebaik sahaja saya bertanyakan mengenai hal berkenaan,Ustaz terus sahaja mengajak hadirin yang ada untuk menunaikan solat Isya` secara berjemaah.Azan telah dikumandangkan dengan lancar dan bersemangat oleh adik Khairuddin,anak lelaki kedua Abang Mad Nor yang berusia 6 tahun.

Muazzin muda-Adik Khairuddin.

Setelah selesai solat,tetamu jemputan dari Labu,Negeri Sembilan,telah sudi meluangkan masa untuk memberi sumbangan yang merupakan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.Cukup gembira mereka.

Beratur! Beratur!

Majlis selesai dengan jayanya kira-kira jam sepuluh malam.Saya pun meminta diri setelah membantu mengemas semula tempat majlis mana yang termampu.

Pengajaran.

1. Pendidikan awal anak adalah amat penting.Ia bukannya sesuatu yang boleh di try and error kan.Pilihlah dan telitilah isi pembelajaran yang diajar kepada anak kita.
2. Berukhwah dan menjaganya adalah salah satu tuntutan beragama.
3. Dedahkan anak dengan suasana beragama.Ia juga salah satu dari usaha dakwah iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada keburukan.
4. Berkerjasama dan berganding bahu sesama kita adalah salah satu usaha untuk mengeratkan ukhwah sesama kita.Kita hidup di dunia diajak untuk hidup berjemaah bukannya hidup hanya dengan mementingkan tempurung kelapa dan periuk nasi kita sahaja.
5. Kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah dilihat dari segi GAHnya sahaja,pengisian di dalam menuju kejayaan itu sebenarnya lebih penting.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Ustaz Romzi-Penasihat Pasti Al Mumtaz (berbaju ungu).
Berbaju kemeja adalah Tetamu Jemputan dari Labu
(maaf,tidak sempat bertanyakan nama)

Terima kasih semua.Jumpa lagi nanti.

Wak,
TDI.

Thursday, September 15, 2011

:: Genekologi Wanita-Dr Nur Intan Zainal Shah (siri 1) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Atas beberapa alasan,setelah sekian lama saya meneliti segala data yang tercatat di merata halaman di internet,maka saya telah mencapai ganggang telefon dan terus mendail nombor telefon Hospital Colombia Asia lebih kurang dua bulan yang lepas.Oleh kerana talian tidak terlalu bagus ketika itu telah menyebabkan suara dihujung talian kedengaran agak terputus-putus.Lalu lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Melvin itu telah meminta nombor telefon saya untuk dia menelifon kembali saya kelak.

Beberapa jam selepas itu,seperti yang telah dijanjikan,Melvin telah menelifon saya kembali dan menjawab beberapa persoalan saya berkaitan proses untuk bersalin di hospital berkenaan.Setelah saya berpuashati dengan jawapan yang diberikan dan amat berpuashati dengan cara jawapan yang dikongsikan kepada saya,saya pun memulakan pencarian maklumat tambahan bagi menyokong dan meyakinkan diri saya sendiri untuk menghantar isteri saya ke sana untuk proses melahirkan anak saya yang ke lima ini,InsyaAllah.

Google.

Untuk mencari maklumat tambahan,maka saya pun mengGOOGLE 'Dr Intan Colombia Asia' di internet.Nama Dr Intan saya perolehi ketika saya mencari-cari maklumat gynecologist wanita di dua hospital swasta di Seremban iaitu KPJ dan Colombia Asia (tidak termasuk Chinese Maternity Hospital-Seremban,Salam-Senawang dan yang terbaru Klinik Bersalin Sukhilmi-Senawang).Maka Dr Intanlah yang di short-listedkan dalam senarai itu.

Testimoni @ Forum.

Rujukan seterusnya adalah forum-forum di dalam internet berkaitan Dr Intan (atau nama penuh beliau ialah Dr Nor Intan Zainal Shah).Banyak testimoni yang saya boleh dapati dan baca di banyak forum yang telah mereka buat di internet.Ada juga testimoni yang saya baca dari blog-blog yang mengisahkan pengalaman mereka bersalin di bawah penjagaan Dr Nor Intan.Ia cukup berguna.

Kata sepakat.

Segala data yang saya perolehi dan saya kumpul mengenai Dr Intan adalah untuk meyakinkan diri saya bagi langkah seterusnya untuk saya menyerahkan tanggungjawab dan kepercayaan kepada doktor yang saya pilih dalam proses isteri saya bersalin kelak.

Maka setelah saya solat Istiharoh beberapa kali untuk mendapat petunjuk dan keyakinan tentang pilihan yang ada (bersalin di GH-Hospital Tuanku Jaafar,KPJ atau Colombia Asia) maka saya kongsikan apa yang ada di dalam fikiran saya dengan isteri.Setelah berbincang dan mendapat kata sepakat,maka pada sekitar minggu lepas saya telah menelifon pihak hospital Colombia Asia untuk membuat appointment dengan Dr Intan dan tarikh yang dipersetujui adalah 14 September 2011.

Appointment @ Colombia Asia.

Setelah membuat double confirmation dengan pihak hospital pada hari Isnin (12 September) maka sekitar jam 10 pagi,14 September saya telah sampai di Hospital Colombia Asia dan terus menuju ke kaunter pendaftaran.Oleh kerana kami pertama kali ke sana,ada sehelai borang yang perlu diisi.

Selesai mengisi borang,kami diberikan sekeping kad untuk ditunjukkan kepada nurse yang bertugas di bawah Dr Intan di Nurse Station,tidak jauh dari kaunter pendaftaran.Setelah menunjukkan kad berkenaan,nurse yang bertugas telah memberikan perkakas untuk isteri saya membuat ujian air kencing.Selepas isteri saya ditimbang beratnya,kami dikehendaki menunggu giliran untuk bertemu dengan Dr Intan pula.Bila kami tiba ditempat menunggu di hadapan bilik Dr Intan,ada 2 orang pateint Dr Intan bersama kami ketika itu.

Nurse Station.
Abdul Hadi sedang berpossing sambil
kami menunggu giliran.

Senarai Doktor Resident
OnG di Colombia Asia Seremban.

Di hadapan bilik Dr Intan.
Di sini debaran isteri bermula.

Bertemu muka.

Setelah sekian lama mencari maklumat di alam maya,akhirnya dapat bertemu muka juga dengan Dr Intan secara LIVE pada hari berkenaan.Untuk pengetahuan semua,Dr Intan juga adalah salah seorang doktor panel dalam majalah Pa&Ma.

Komen pertama dari Dr Intan adalah isteri saya kelihatan pucat.Maka Dr Intan bertanyakan sejarah-sejarah yang lepas berkaitan anemia (tekanan darah rendah-Hb rendah) terutama ketika bersalin kepada isteri saya.

Setelah bertukar-tukar soalan dan jawapan,maka pemeriksaan seterusnya adalah proses scan baby.Alhamdulillah,baby dalam keadaan yang sihat dan berat sudahpun menjangkau 1.8 kg.Dijangkakan tarikh bersalin adalah 5 November,tetapi ada kebarangkalian mungkin baby akan lahir 2 minggu lebih awal.

Assalamualaikum baby :)
Baby sedang nyenyak tidur.
Jantina??
Wallahua`alam.

Next appointment.

Setelah mencari tarikh yang sesuai maka untuk pemeriksaan berikutnya,25 September menjadi pilihan.

Iberet Folic-500 (Abbot)
Buah tangan dari Dr Intan untuk
menambah tekanan darah.

Aksi Ain Sofiah ketika
menunggu turn di hadapan bilik Dr Intan.

Abdul Hadi.
Kebujangannya sudah terserlah.
Rambutnya sudah tidak mahu di 'gondol' kan.

Abdul Halim.
Adakah adiknya kelak akan menambah ramaikan
team Futsal ataupun..... 

Jumpa lagi doktor.....

Wak,
TDI.

Tuesday, September 13, 2011

:: Tips bila diserang cirit-birit ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di kala kanak-kanak meriah dan bergembira menyambut Lebaran sambil tersenyum lebar kerana menerima sejumlah sampul yang berisi duit raya,saya pula 'meriah' menyambut Lebaran dengan diserang cirit-birit.Ya saya 'diziarahi' dengan penyakit itu seawal raya kedua.

Bagi mereka yang senasib dengan saya,pasti lebih arif bagaimana cabarannya ketika diserang cirit-birit dimusim perayaan.Bayangkan sahaja,makanan yang melimpah ruah dan bermacam jenis ada di hadapan mata,tetapi anda tidak mampu untuk menikmatinya walaupun sedikit.Jika pantang ini dilanggar,pasti serangan cirit-birit akan berterusan sehingga langsung menghidratkan kandungan air di dalam badan.Dan yang lebih pasti,anda tidak mampu berhari raya langsung (baca : menziarahi rumah saudara-mara) kerana anda lebih setia menunggu 'panggilan alam' di rumah.

Lalu pada pagi raya ketiga,saya meminta adik saya membuatkan teh pekat tanpa gula untuk saya.Ia merupakan petua orang lama yang pernah saya pelajari untuk mengubati cirit-birit.Saya tidak pasti sejauh mana kemujarabannya.

Kerana sudah agak reda dengan serangan 'panggilan alam' yang saya hadapi,maka pada tengahari hari raya ketiga saya gagahkan diri untuk memenuhi jemputan Wak Ngah untuk jamuan Hari Raya di rumahnya.Walaupun dengan juadah yang begitu banyak dan pelbagai rasa,sedikit pun saya tidak berani untuk menjamahnya memandangkan saya masih lagi trauma.Akhirnya saya hanya mampu melihat dari jauh rojak petis,laksa,nasi minyak,daging kurma dan entah apa lagi juadah pada hari itu dan yang pasti makanan itu semua adalah antara makanan kegemaran saya.Mencabar sungguh untuk menahan nafsu.

Petang itu saya meneruskan destinasi raya saya ke Yong Peng melawat Mak Uda saya di sana.Selain dari ziarah raya,ia juga merangkap ziarah kesyukuran selepas Mak Uda saya selamat pulang dari umrah dan merangkap juga ziarah hormat kerana tidak dapat menghadiri majlis perkhawinan anak perempuannya pada 11 Syawal ini.Ketika di sana,saya dijamu dengan sup tulang.Oleh kerana mengambil kira saya masih belum menjamah sebarang bentuk makanan untuk sepanjang hari,ditambah dengan semerbaknya bau sup tulang,saya menjamah sedikit hidangan sebagai alas perut.Alhamdulillah,perut saya tidak meragam sehinggalah saya sampai semula ke kampung isteri saya di Rengit.

Di Rengit,memandangkan saya rasa perut saya sudah agak stabil,langsung saya agak berani sedikit untuk makan pada malam itu.Rasanya tidak banyak yang saya jamah malam itu,namun akibatnya saya menjadi pengunjung setia tandas sejak awal pagi hinggalah hampir masuk waktu subuh.Namun sebelum saya masuk tidur,saya sempat berpesan kepada isteri agar menggoreng sedikit beras tanpa minyak sehingga kehitaman.Beras itu seperti yang dipesan oleh pakcik saya,seorang pensyarah UiTM Shah Alam,perlulah direndam dengan sedikit air dan airnya perlu diminum.Kandungan karbon pada beras yang kehitaman itu akan dapat membunuh bakteria yang telah menyerang sistem di dalam usus dan perut.

Menurut pakcik saya lagi,pil chi kit teck aun yang cukup sinonim dengan cirit-birit sebenarnya hanya berfungsi untuk menyerap kandungan air dalam najis supaya najis kita menjadi ketulan,tetapi bakteria di dalam perut dan usus masih lagi tertinggal aktif.Untuk itu,orang tua-tua dahulu menggunakan petua dengan menggoreng beras.Jika ia masih tidak mujarab,pil karbon boleh diambil sebagai ikhtiar seterusnya.

Mengambil saranan dari pakcik saya,pada perjalanan pulang ke Muar saya telah singgah di kedai ubat seng seh (kedai ubat cina) di Rengit dan bertanyakan tentang ubat cirit –birit.Ternyata,pakcik di dalam kedai seng seh itu menyarankan untuk memakan pil karbon.Dengan harga RM5,pil berjumlah 24 butir itu telah bertukar tangan.Malah pakcik itu sempat memberikan tips tambahan iaitu sebelum memakan ubat berkenaan,ada eloknya terlebih dahulu meminum air 100Plus untuk membuang gas di dalam perut.Saya mengambil saranan pakcik berkenaan.

(opss!...sebelum terlupa,kurangkan dahulu gas yang ada di dalam air 100Plus berkenaan sebelum diminum)

Selepas meminum air 100 Plus saya meneruskan perjalanan untuk ke Senggarang,rumah kakak ipar saya berada di sana.Sampai di sana saya terus dipelawa untuk makan.Namun sebelum itu saya telah terlebih dahulu menelan pil karbon yang telah saya beli.Kerana takut panggilan alam malam tadi berulang lagi,saya hanya mampu menahan nafsu untuk menjamu lauk tempe kegemaran saya sahaja.Ia mengambil kira dengan jarak perjalanan yang masih jauh untuk ditempuh sebelum sampai kembali ke Muar.

Alhamdulillah,perjalanan amat lancar pada petang itu tanpa gangguan 'panggilan alam'.Malah saya sempat singgah ke Parit Amat di Tongkah Pechah,melawat sahabat lama sekilang saya yang kini telah berhijrah menetap di Kajang.Ia merupakan pertemuan selepas terpisah sekian lama (baca : bertahun).

Tiba kembali di Muar,saya meneruskan untuk memakan pil karbon yang berbaki.Tinggal beberapa butir,saya kongsikan pil berkenaan dengan kakak saya yang juga diserang cirit birit.Alhamdulillah,selepas itu 'panggilan alam' yang kerap sudah tidak lagi membunyikan alarmnya.Saya rasa saya sudah sembuh 100%.

Setibanya kembali ke Senawang selepas cuti raya yang panjang,saya terus sahaja melihat di internet perihal penyakit cirit-birit.Ternyata pil karbon menjadi bahan perbualan/forum bagi mereka yang pernah diserang penyakit itu.Selain dari itu,dari informasi yang saya baca,air 100Plus juga adalah pengganti garam mineral dan air yang banyak hilang akibat terlalu kerap ke bilik air.Malah sebagai tambahan,saya ada terbaca,sekiranya diserang cirit –birit kita hendaklah mengelak untuk makan makanan yang berkarbohidrat tinggi seperti nasi dan roti.Sebaliknya banyakkan memakan makanan berprotein tinggi seperti daging dan ikan.

Tips dari seorang biras saya yang merupakan seorang cikgu Sekolah Menengah di Senggarang : Hanya makan makanan yang panas-panas ketika berziarah di musim perayaan.Makanan yang telah sejuk,yang telah disentuh oleh banyak tangan,amat berisiko akan dijangkiti bakteria.Yang paling wajib diingat,jauhkan sebarang minuman bergas.

Ah…saya sudah tahu antara penyebab saya diserang penyakit cirit-birit itu.

Wak,
TDI.

:: Sekitar Edul Fitri 1432H/2011 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bertemu kita dalam edisi Pasca Ramadhan.

Jom tengok apa yang berlaku pada Edul Fitri yang lepas.

Bertakbir.

Malam raya saya berada di kampung isteri di Rengit sehingga waktu Isya’ sebelum saya bertolak balik semula ke kampung saya di Muar selepas itu.Sempatlah saya serta anak-anak yang turut sama bersolat berjemaah Isya’ di masjid dan bertakbir bersama-sama dengan jemaah Masjid Kg. Bagan pada malam itu.Namun malangnya hanya beberapa orang sahaja jemaah yang turut serta,yang lainnya mengambil pilihan untuk pulang ke rumah,mungkin ada urusan yang perlu diselesaikan barangkali.

Sejurus sahaja siap berkemas,kami memulakan perjalanan ke Muar.Di dalam kereta,anak-anak begitu teruja untuk bertakbir kembali.Habis seluruh siaran radio yang mengumandangkan takbir raya disuruhnya saya mencarinya.Mereka ingin turut sama-sama bertakbir walaupun sudah berada di dalam kereta.Alhamdulillah,ia suatu semangat yang baik.

Sampai di pekan Parit Sulung,kami terperangkap di dalam kesesakan kereta yang luar biasa.Kereta hampir tidak dapat bergerak hampir setengah jam lamanya.Dalam keadaan arus kereta yang mengesot-ngesot pergerakkannya,saya dapat melihat kelibat manusia yang lalu-lalang di kiri dan kanan jalan.Ada yang masih sibuk mempromosikan barangan jualan mereka (dodol,kuih raya,baju raya dll) dan ada pula segolongan lagi yang sibuk memilih barangan yang di jual di pekan tersebut.Parit Sulung memang terkenal dengan Bazaar Hari Rayanya,lagi-lagi pada akhir-akhir Ramadhan di mana manusia berlumba-lumba untuk melengkapkan persiapan Hari Raya mereka.

Alahai…sempatkah mereka bertakbir pada malam itu.

Setelah hampir 45 minit tersangkut di dalam kesesakan lalulintas,dapatlah saya meneruskan perjalanan dengan lancar selepas itu.

Sampai di kampung,pelita terpasang di sepanjang jalan.Di tambah dengan gegak-gempita bunyi bunga api seperti ala-ala Sambutan Tahun Baru jadinya.Tetapi tiada langsung kedengaran bunyi takbir dari corong-corong pembesar suara surau mahupun masjid.Sudah hilangkah tradisi bertakbir pada malam raya seperti dahulu kala?

Di manakah generasi pengidup syiar Islam kala ini.Tidak sedarkah mereka akan fadhilat bertakbir pada malam hari raya.Sedangkan takbir raya untuk Edul Fitri hanyalah sehingga sebelum khatib membaca khutbah.Ia adalah masa yang cukup singkat.

Sambutan Hari Raya.

Tahun ini Khutbah Hari Raya di baca oleh Ustaz Shukor Kirmon,lepasan dari Universiti Madinah.Bergema corong surau dengan suara Imam muda berkenaan.Ia merupakan sesuatu kelaianan.Khatib yang menyampaikan khutbah melantunkan dengan suara yang penuh semangat,manakala jemaah juga dapat mencelikkan mata dek kerana mendapat tamparan kehangatan suara khatib.Begitulah hendaknya untuk tahun-tahun berikutnya.Kedua-dua pihak saling memanafaati peluang memberi dan mendengar khutbah raya.

Selepas selesai solat,khutbah dan tahlil arwah,
tiba giliran Ketua Masyarakat,En Asror Kadi
membuat ucapan dan memberi penerangan tentang
aktiviti sempena Hari Raya.


Imam Muda.
Berjubah putih paling kanan dalam gambar.

Hari kedua seperti kebiasaan sambutan Hari Raya yang lepas-lepas,Marhaban dari rumah ke rumah masyarakat Kampung Parit Haji Zain akan dijalankan.Cumanya tahun ini perjalanan Marhaban dibuat sedikit rombakan.Kalau sebelum ini rumah En Eraman di penghujung kampung merupakan rumah pertama yang akan dikunjungi,tetapi pada tahun ini rumah abah yang berada di muka kampung pula yang menjadi rumah pertama.

Apapun satu pujian kepada masyarakat kampung dan para ahlinya terutama sekali kepada barisan pemuda yang berjaya menjayakan majlis Marhaban berkenaan.Dalam desus-desus masyarakat di kampung sebelah meluahkan masalah berkenaan marhaban kampung mereka yang kekurangan ahli malah terpaksa bermula lewat,penduduk Parit Haji Zain berjaya memulakan majlis seawal jam 7 setengah pagi bahkan ahlinya juga amat memberangsangkan.Ianya satu perkara yang baik dan ia patut di puji.

Kumpulan Marhaban di rumah abah (rumah pertama).
Jemaah yang datang melimpah sehingga ke luar ruang tamu.
Ketika ini sekitar jam 8 pagi.

Abdul Aziz dan Abdul Hadi (berbaju coklat)
bersemangat untuk sama-sama berselawat.

Abdul Hadi.
Possing sekejap dari rumah Imam Masjid Batu 15.

Abdul Aziz.
Bersemangat menikmati Mee Bandung dari
rumah Ketua Kampung 14-16.

Gambar kenangan jemaah marhaban 2011.
(di rumah ketua pemuda)
ini dari lens jurufoto amatur.

2 orang jurufoto professional.

Tahniah!

Moga tahun hadapan,ia berkekalan dan tempat-tempat yang boleh ditampung dan dibaiki ia sebolehnya dibaiki dengan segera.

Jumpa lagi tahun hadapan,InsyaAllah.

Wak,
TDI.

Monday, September 12, 2011

:: Mengumpul Semula Para Kenalan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Segala puji-pujian tertentu kepada Alllah SWT.
Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,para saudara-mara dan pada para sahabat Baginda.

Update Pasca Ramadhan 1432H.

Oleh kerana terlalu banyak update yang hendak ditulis bersempena kedatangan Syawal baru-baru ini,sehinggakan satu entry pun tidak berjaya di upload ke dalam blog gara-gara jalan cerita yang bercampur aduk di dalam kotak fikiran.

Dengan erti kata lain,ilham itu datang dari Allah,dan segala ketentuan juga datang dari Allah.Kita merancang tetapi Dia yang menentukan.

Saya mohon doa agar dipermudahkan segala proses penulisan untuk entry-entry berikutnya.

Jamuan Rumah Terbuka 2011.

Setelah sekian lama (baca:bertahun) tidak menjemput saudara-mara dan rakan taulan untuk datang ke rumah bagi meraikan mereka bersempena kedatangan bulan Syawal,maka pada penghujung Ramadhan yang lepas saya telah membuat sedikit perancangan untuk membuatnya pada tahun ini.

Lalu saya ajukan cadangan saya ini kepada isteri (baca:chef utama) untuk mendapat kata sepakat.

Alhamdulillah,setelah pihak chef bersetuju dan pihak catering pun bersetuju untuk membekalkan sebahagian makanan untuk jamuan dengan sebut harga yang amat berpatutan,saya mula mencari tarikh yang sesuai untuk perlaksanaan majlis.Setelah mengambil kira faktor adik-beradik (baca:PA kepada chef utama) maka 10 September rasanya adalah antara tarikh yang paling sesuai difikirkan.

Mencari sponsor.

Gara-gara ketiadaan alatan yang cukup (meja,kerusi,set catering) untuk digunakan pada hari untuk Majlis Jamuan Hari Raya maka saya mula mencari-cari sumber dimanakah saya boleh mendapatkannya.Akhirnya dengan bantuan Haji Razali (Taman Desa Ixora) dan Kak Ton (Taman Paroi Jaya) segala masalah telah dapat diselesaikan.

Menjemput tetamu.

Setelah mengambil kira tetamu yang hendak dijemput,maka dengan menggunakan teknologi yang ada (sms,e-mail,telefon) kami suami isteri mulalah menjemput mengikut senarai tetamu yang telah dibuat.

E-Kad Jemputan.

Meraikan anak yatim.

Mencari anak yatim bukan senang rupanya.Akhirnya baru teringat Kak Ina dan anaknya Habib dan Maisarah.Alhamdulillah mereka bersetuju meluangkan masa untuk majlis kami.

Majlis bermula.

Majlis telah bermula pada sekitar jam 2 petang dengan sepupu saya Irwan Syah sekeluarga dari Kajang merupakan antara tetamu terawal yang sampai.Diikuti dengan tetamu-tetamu yang lain.

Antara tetamu yang hadir.
Merangkap majlis re-union antara
isteri saya dan rakan seFakulti-UKMnya
yang telah hampir 7 tahun tidak bertemu.

Keluarga Ustaz Romzi dan Abang Mad Nor
(Jiran lama dari Bukit Chedang)

Majlis berakhir.

Majlis berakhir sekitar jam 7 petang dengan Kak Yati sekeluarga yang juga merupakan rakan sepejabat menjadi antara tetamu terakhir yang memeriahkan majlis kami.

....Alhamdulillah.

Ucapan penghargaan yang tidak terhingga.

Akhir sekali,saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang telah menjayakan majlis pada kali ini,terutama pada Isteri (Zaiton Othman),Kakak dari Bangi,Adik dari Shah Alam,seluruh jemputan yang hadir dan tidak lupa juga penghargaan kepada iringan doa dari tetamu yang tidak dapat hadir.

Moga bertemu lagi nanti....InsyaAllah.

Wak,
Taman Desa Ixora.
Syawal 1432H.