Bismillah hirrahman nirrahim.
Setiap orang mempunyai cita-cita dan angan-angan.Ada yang mengangankan begitu dan begini.Ada yang bercita-cita besar.Ada yang bercita-cita sekadar kemampuan.Ada yang mengangankan sesuatu disebabkan melihat orang lain telah menikmati apa yang mereka telah perolehi.Ada pula yang mengangankan sesuatu disebabkan ia sukar diperolehi.Begitu juga dengan saya.
Cita-cita Ramadhan.
Biasanya bila masuk Ramadhan dari dahulu hingga sekarang ini adalah di antara cita-cita saya :
1. Mengkhatamkan bacaan Al Quran 30 Juzuk.
Ia suatu yang amat berat sebenarnya.Walaupun ada sifir mudah 1 hari 1 juzuk (iaitu selepas setiap solat fardhu membaca 2 helai lembaran Al Quran) ia tetap tidak banyak membantu saya sebenarnya.Manakan tidak,selepas solat fardhu subuh,setiap kali membaca baru setengah muka,mata sudah diserang penyakit mengantuk dan akhirnya tewas begitu sahaja.Kononnya apabila tersedar nanti ingin kembali menyambung bacaan namun apabila tersedar,mahu bersiap untuk pergi bekerja pula (sudah hutang 1 setengah lembaran).
Apabila sudah tiba di tempat kerja,sudah tentu amat payah untuk dapat membaca 2 lembaran selepas solat zohor dan asar memandangkan waktu yang diperuntukkan oleh syarikat untuk solat begitu singkat (sudah tambah lagi hutang 4 lembaran).
Konon-konon dapat balik awal dari tempat kerja pada bulan puasa (sekitar jam 5 setengah),dapatlah kiranya melangsaikan hutang bacaan Al Quran sambil menunggu waktu berbuka di rumah,namun dek sibuk melayan anak,tahu-tahu dah azan Maghrib.Tinggallah angan-angan sahaja.
Bila selesai sahaja solat fardhu maghrib,yang sepatutnya perlu membaca 2 lembaran lagi,sebaliknya sibuk pula mencari nasi dan lauk pauk yang belum sempat di rasa ketika waktu berbuka tadi.Sedar-sedar kerana leka meratah lauk,azan Isya’ sudah berkumandang (tambah lagi hutang 2 lembaran).
Bergegas pula ke surau untuk solat fardhu Isya’ dan solat sunat Terawikh.
Setelah selesai solat di surau,disebabkan bebanan hutang yang banyak,barulah terkial-kial menghabiskan bacaan Al Quran lembaran demi lembaran.Tapi banyak mana sangatlah yang dapat dihabiskan bacaan tersebut dengan keadaan tubuh badan yang letih setelah seharian membanting tulang di tempat kerja.Paling maksimum pun sekadar 3 atau 4 lembaran (itupun sudah memakan masa 10 minit).Ditambah lagi dengan keadaan perut yang sudah sarat kekenyangan (selepas moreh),tentu sahaja sekali lagi penyakit mengantuk akan cepat datang menyerang.
Jadi,masa apa yang tinggal?
Bila disemak-semak balik,dengan mengambil kira tambah dan tolak,tinggallah peluang untuk menyambung bacaan bagi mencukupkan 1 hari 1 juzuk iaitu di waktu sahur.Itupun sebenarnya masa yang ada cukup terhad.Paling maksimumpun mungkin 2~3 lembaran.Dan apabila dicongak-congak semula,setelah seharian berhempas pulas mencuri masa yang ada,baru sekadar menghabiskan bacaan sebanyak 5 lembaran setengah (masih berhutang 4 lembaran setengah).Sedangkan hari baru telah muncul dan bacaan perlu diteruskan.
Tolak tepi sebentar keluangan masa pada hari bekerja bagi menyedapkan hati.....
Dengan mengambil kira pula keluangan masa yang ada di hujung minggu,rasa-rasanya banyak lembaran yang boleh di baca (pada masa yang sama cuba untuk melangsaikan hutang bacaan untuk sepanjang hari bekerja-4 lembaran setengah x 5 hari bekerja = hampir 2 juzuk lebih).
....boleh tahan juga jumlahnya tu.
Cukuplah membuat kira-kira dan congak-mencongak sampai di tahap itu.Ia sebenarnya satu delima bagi saya.Keazaman yang tinggi tapi pada hakikatnya displin yang tidak seimbang akhirnya azam hanya tinggal azam.Bila berakhir Ramadhan,hanya menumpang gembira orang lain dapat mengkhatamkan Al Quran,tapi bukan diri kita.
"Ya Allah! Berilah aku kekuatan dan izinkanlah untuk aku mengkhatamkan bacaan Al Quranku pada bulan Ramadhan tahun ini.Amin"
Begitulah doa yang saya panjatkan setiap kali bila tiba waktu bersahur. (Itupun setelah saya baru tahu yang pada waktu sahur adalah antara masa yang digalakkan untuk memohon doa)
2. Bangun qiam setiap malam.
....ini juga salah satu cita-cita besar saya.
Seperti yang ramai di antara kita sedia maklum,di dalam Bulan Ramadhan ada suatu malam (Malam Lailatul Qadar-MLQ) yang merupakan malam yang lebih baik dari 1000 bulan.Dan yang pastinya dengan bersandarkan banyak hadith yang berkaitan dengan MLQ,tidak dinyatakan dengan jelas bilakah masanya MLQ akan berlaku.Ingin mendapatkannya bagaikan satu pemburuan dan ia perlu disertakan dengan usaha dan perlu dibuat (bangun Qiam dan beramal ibadah) setiap hari di awal pagi.
....dengan nilai yang sebegitu tinggi,hanya dengan beramal dalam 1 malam,tentu ia menjadi rebutan bagi yang tahu akan nilainya.Namun cabarannya,kita tidak tahu bila ia akan berlaku.
Sebagai hamba Allah yang begitu sedikit amalannya,tentulah saya antara yang terangsang dengan tawaran sebegini.Bertekadlah saya dari awal Ramadhan (setiap tahun) untuk bangun Qiam dan membuat amal,sekurang-kurangnya ada masa yang diperuntukkan untuk tujuan itu sebelum bersahur.Dan sebagai manusia biasa,saya suka menunggu sehingga last minute (malam 10 terakhir) untuk memulakan pemburuan mencari MLQ.Mampukah?
"Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui yang hambaMu ini selalu sahaja bangun lewat untuk bersahur.Masa yang terhad itulah diperuntukkan untuk menjamah makanan dan minuman.Ya Allah! Berilah aku kekuatan untuk bangun awal dan dapat beramal sebelum aku bersahur."
3. Memperbanyakkan sedekah.
Bersedekah mengikut kefahaman saya adalah mengeluarkan harta (duit,makanan,pakaian dll) yang kita ada untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Bulan Ramadhan adalah peluang yang besar untuk menabur sedekah.Terutamanya dengan menjamu orang untuk berbuka puasa.
Sabda Rasulullah SAW,"Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun." (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)
"Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui yang hambaMu ini terlalu berkira untuk bersedekah,dengan beralasan takut harta sendiri akan berkurang.Ya Allah! Berilah aku kekuatan untuk bersedekah dengan hartaku yang Engkau pinjamkan ini."
(edisi esok : Melayan kerenah masyarakat di bulan Ramadhan)
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment