Tuesday, August 2, 2011

:: Universiti Ramadhan-2 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Di akhir Syaaban.

Hujung minggu yang baru ini saya telah pulang ke kampung di Muar,Johor.Hajatnya ingin menyambut puasa hari pertama di kampung tetapi rupanya tidak kesampaian.Tidak seperti warga di negeri Johor dan Melaka,awal Ramadhan merupakan cuti umum bagi mereka,bagi Negeri Sembilan ia tidak digazetkan sebagai cuti umum.

Tidak ternilai.

Walau tidak dapat menyambut puasa di kampung,namun dapat pulang ke kampung halaman sendiri sambil dapat bertemu keluarga adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya.Tambahan pula tika ini musim buah sedang memuncak sekali.Buah durian masih lagi belum putus-putus untuk gugur ke bumi,rambutan pula sudah mula menguning dan memerah.Buah langsat,duku,manggis,pulasan semuanya baru sahaja memasuki fasa masak ranum.Ia tentu begitu menggoda nafsu makan bila melihatnya di kala bulan Ramadhan ini.

Punggahan.

Punggahan adalah istilah jawa yang bermaksud kenduri dan tahlil arwah bersempena untuk menyambut Ramadhan.Ia dilakukan hampir di setiap rumah.Hujung minggu yang baru ini saya berkesempatan menghadiri dua majlis kenduri dan tahlil arwah pada hari yang sama.

Ia majlis yang cukup meriah walaupun simple.Selepas maghrib majlis di buat di surau kampung manakala selepas isya’ majlis dibuat di rumah ketua masyarakat yang merupakan penutup segala punggahan.Memandangkan saya sudah agak lama tidak dapat menyertai majlis yang sedemikian,serba sedikit ia membangkitkan memori ketika zaman kanak-kanak dan awal remaja (di mana ketika itu,majlis kenduri sahajalah peluang untuk kami dapat makan berlauk ayam,subhanaLlah-Allah melimpahkan rezeki melalui kenduri).

Bertemu pimpinan masyarakat.

Tanpa saya sedari,ketika majlis kenduri berkenaan saya duduk berdekatan dengan Hj M (Ketua Kampung) dan Hj A (aktivis masyarakat).Sambil makan mereka berdua sempat bertanyakan kepada saya tentang status kesihatan abah.Sambil itu juga sempat mereka berdua menceritakan beberapa masalah yang sedang melanda masyarakat kini.Saya yakin mereka bercerita dengan ikhlas tanpa memikirkan kecenderungan masyarakat tentang hala tuju politik masing-masing.

Kata mereka,

"Masalah yang timbul di kalangan masyarakat kita sekarang banyaknya tidak ditangani dengan cara yang betul.Pemimpin masyarakat yang dipilih rata-ratanya dipilih berdasarkan faktor tertentu.Namun kebanyakkannya faktor agama pula diletak ke tepi,jauh sekali untuk dibuat kayu pengukur bagi melayakkan mereka menjadi pemimpin masyarakat."

"Lihat sahaja dalam organisasi yang ada.Walupun dalam Perlembagaan Malaysia,Agama Islam diletak cukup tinggi sebagai Agama Rasmi namun pada hakikatnya ia tidak begitu.Yang menjawat Jawatan Agama,mereka tidak menjadi decision maker.Sepatutnya dengan kedudukan Agama Islam yang tinggi di dalam Perlembagaan Malaysia,maka ia patut digunakan sepenuhnya terutama sekali dalam menyelesaikan masalah masyarakat yang semakin hari semakin meruncing dan amat membimbangkan peningkatannya."

......Itu kata orang yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran dan perihal masalah masyarakat.

Bulan Ramadhan menyatukan semua.

Bulan Ramadhan sebenarnya bukan sekadar bulan puasa,yang biasa kita sebut-sebut selama ini.Bulan Ramadhan adalah bulan penyatu.Lihat sahaja surau-surau dan masjid-masjid ketika ini.Jemaah yang datang melimpah ruah melebihi hari biasa.Yang datang ke rumah Allah dari pelbagai golongan,kanak-kanak,dewasa,lelaki,perempuan,kaya,miskin,rendah,tinggi,gemuk,kurus,mereka semuanya datang untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan membuat amal ibadah.

Selain dari itu,bila tiba bulan Ramadhan,pasti akan ada sahaja majlis berbuka puasa bersama-sama.Samada ia dianjurkan untuk sesama mereka mahupun untuk menjamu golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim,fakir miskin mahupun ibu tunggal.

Bulan Ramadhan jugalah ummat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.Menurut sumber yang saya perolehi,ramai di antara kita juga selain dari membayar zakat fitrah,mereka mengambil kesempatan pada Bulan Ramadhan ini untuk membayar zakat-zakat yang lain (zakat pendapatan,zakat perniagaan,zakat emas dll).

3 situasi di atas membuktikan adanya kerjasama,usaha untuk bersatu dan bantu membantu antara sesama ummat Islam demi untuk menghidupkan syiar Islam di muka bumi Allah ini.Contoh di atas menggambarkan sekiranya sikap dan usaha ini dapat diterapkan dalam menyelesaikan masalah masyarakat yang ada kala ini,pasti sedikit demi sedikit masalah yang ada dapat ditangani dan diatasi.Dan yang paling penting sekali,ia dilakukan bukan untuk mendapatkan sokongan ataupun nama.

Moga Allah membuka hati-hati semua ummat Islam agar mempertahankan agama yang kita anuti ini dari terjahan-terjahan pihak musuh yang memang sentiasa mencemburui kualiti dan kejayaan agama Islam.

(edisi esok : Melayan kerenah anak-anak di bulan Ramadhan)

Wak,
TDI.