Monday, August 8, 2011

:: Universiti Ramadhan-6 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Berbincang.

12 Julai 2011 saya telah menghadiri Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim di Masjid Paroi Jaya.Pada sebelah petangnya saya telah menghantar 1 sms kepada Ustaz Haji Abdul Halim.Saya menyatakan yang saya akan menyerahkan surat jemputan untuk mengisi slot ceramah Hari Keluarga Alumni IPIJ kepada Ustaz selepas kuliah tamat.Beliau bersetuju.

Selesai ceramah saya duduk diruang legar masjid sambil menunggu kelibat Ustaz lalu.Memang tempat saya duduk itu merupakan laluan utama Ustaz untuk menuju ke tempat kereta beliau diparking.Rupanya ustaz sedang berbual dengan seorang pemuda di dalam dewan solat yang mungkin bertanyakan kemusykilan kepada ustaz menyebabkan kelibat ustaz tidak muncul-muncul di hadapan saya.

Selepas saya lihat ustaz telah selesai berurusan dengan pemuda tadi,saya terus pergi menemui ustaz.Pada masa yang sama juga ada lagi seorang yang berhajat untuk menemui ustaz ketika itu.Lantas ustaz ketika itu mengajak kami semua untuk pergi ke warung berhampiran Stadium Paroi dan berbincang di sana.Kami bersetuju.

Sampai di warung,ustaz meminta kami memesan makanan.Seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal,saya yang kebetulan masih lagi berseragam kerja,yang keadaan perut pun sudah berkeroncong terus sahaja memesan makanan seperti apa yang dipesan oleh ustaz,char kueh teaw dan air carrot susu.

Sambil menunggu makanan siap,saya terlebih dahulu membuka cerita.Saya serahkan kepada ustaz surat jemputan yang berkenaan dan menerangkan serba sedikit apa yang terkandung di dalam surat berkenaan.Sebaik sahaja makanan yang kami semua pesan tiba,saya pun telah selesai memberi penerangan kepada ustaz dan tiba masanya untuk menikmati hidangan.

....betapa nikmatnya menjamah makanan dikala perut memang dalam keadaan lapar.

Berbincang lagi.

Sedang kami menjamu selera,datang lagi beberapa orang rakan ustaz.Mereka turut menjamu selera.Rupa-rupanya mereka memang merancang untuk berbincang perihal majlis iftar yang akan diadakan pada Ramadhan tahun ini bagi meraikan para sukarelawan yang baru sahaja mendaftar beberapa minggu lepas.Saya turut serta (lebih kepada pendengar) dalam perbincangan tersebut memandangkan saya juga antara sukarelawan yang baru mendaftar.Sekitar jam 11 malam perbincangan pun selesai dan saya pun meminta diri.

Petang 2 Ogos (2 Ramadhan).

Tiba-tiba 1 sms masuk ke dalam telefon saya.Kandungan sms adalah jemputan untuk majlis iftar bagi meraikan para sukarelawan yang baru sahaja mendaftar.Ia jemputan ke majlis yang telah dibincangkan sebelum ini Cuma tarikhnya sahaja yang berganjak ke hadapan.Ia dibuat pada hari bekerja berbanding apa yang dibincangkan dahulu,ia dirancang untuk dibuat pada hujung minggu.

Lalu saya terus menghantar 1 sms kepada Ustaz Abdul Halim bertanyakan perlukah membawa bersama 'potluck' bersama-sama ketika majlis di atas,seperti yang telah dibincangkan dahulu.Kata ustaz,ia bukan kemestian,tetapi dapat hadir bersama-sama ke majlis adalah lebih dialu-alukan.

Bangunan Baru.

Saya tiba di bangunan baru ISMA di Jalan Jelebu agak lewat petang itu disebabkan melayan kerenah 2 orang anak saya yang sedang belajar berpuasa itu.Setelah membawa mereka bermain gelongsor dan buaian di taman permaian yang berdekatan,saya terus bergegas ke tempat majlis.Alhamdulillah saya selamat tiba.

Saya naik ke tingkat atas bangunan berkenaan dan saya dapati Ustaz Abdul Halim sedang menerangkan aturcara majlis pada hari itu.Saya duduk disisi bilik berkenaan.Sambil itu saya telah ditegursapa oleh salah seorang urusetia majlis.Kami berbual mesra (manakan tidak,orang jawa bertemu orang jawa-meriah jadinya).

Iftar.

Tidak lama kemudian,azan berkumandang dan kami semua pun mulalah berbuka puasa.Juadah yang ada walaupun kelihatan simple,tapi segalanya lazat belaka.Malah ia adalah 'potluck' pada hari itu.

Tazkirah ringkas.

Selepas solat maghrib berjemaah,Ustaz Abdul Halim telah memberikan tazkirah ringkas kepada semua jemaah yang hadir.
Ustaz Abdul Halim sedang menyampaikan tazkirah.

Berikut antara isi pentingnya :

1. YDP Agung/Raja-Raja,apabila hendak mengurniakan pingat,Baginda memilih hari yang paling istimewa iaitu pada hari kelahiran YDP Agung.
2. Allah SWT apabila hendak mengurniakan anugerah (Kitab Al Quran) pada hambaNya,Allah SWT memilih hari yang istimewa iaitu pada bulan Ramadhan.Al Quran diturunkan ke langit dunia pada bulan Ramadhan,iaitu pada amalam Lailatul Qadar.Wahyu yang pertama turun kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada juga pada bulan Ramadhan (17 Ramadhan).
3. Al Quran diturunkan kepada ummat manusia bukan sekadar untuk dibaca bahkan isi kandungan Al Quran sendiri menjadi pembeza antara hak dan bathil.
4. Baru-baru ini New York-NY (negeri yang paling popular di US) telah membenarkan perkhawinan antara gay.Apabila ia merupakan perkhawinan yang dibenarkan,maka secara otomatik mereka akan layak menerima social benefit.Sekiranya NY telah membenarkan perkara di atas,pasti negeri-negeri yang lain juga akan mengikut jejak.Ini bukti apabila sesebuah negeri/negara yang tidak mengikut Al Quran,mereka akan berkelakuan sonsang dari fitrah kejadian manusia.

Contoh kebejatan akhlak dan sosial
apabila Al Quran tidak dijadikan panduan hidup.

5. Bila melihat sejarah,perang adalah titik tolak bagi permulaan sejarah baru.Contohnya apabila kerajaan Soviet kalah perang,negara mereka kembali kepada kerajaan Rusia.Negara kecil yang lain telah bebas mentadbir negara mereka sendiri.Perang Badar berlaku pada bulan Ramadhan,perang pertama bagi ummat Islam.Apabila ummat Islam menang,ia sebenarnya menaikkan populariti Nabi Muhammad SAW dan menurunkan keupayaan dan kegagahan Kaum Quraish di medan perang.
6. Rom dan Parsi jatuh ke tangan ummat Islam pada bulan Ramadhan di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khatab,ketika itu Nabi SAW telah wafat.Antara pengajaran di sini,untuk menjatuhkan kuasa besar tidak semestinya memerlukan Nabi di sisi tapi yang lebih penting adalah dengan mengikut sunnnah Nabi SAW.
Antara jemaah yang hadir.

Solat Isya dan Terawih.

Selesai ustaz memberi tazkirah,kami terus sahaja solat Isya’ diiringi dengan solat Terawih secara berjemaah.Setelah selesai solat kami menjamu selera dengan juadah yang masih banyak terhidang.Sambil itu Ustaz Abdul Halim menerangkan kepada jemaah yang hadir tentang 1 aktiviti yang akan dijalankan pada 5 dan 12 Ogos 2011 iaitu 'Program Beli dan Derma'.Ia tugasan pertama bagi sukarelawan pada bulan Ramadhan 2011.

Mohon Doa semua.

(edisi 7 : Iftar bersama keluarga)

Wak,
TDI.

No comments: