Wednesday, July 18, 2012

:: Jom berpesta! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Syaaban.

Antara yang biasa kita dengar bila tiba bulan Rejab dan Syaaban adalah doa berikut,

"Allahuma Bariklana Fi Rajaba Wa Sya'bana Wa Balighna Ramadhan."
-Ya Allah berkatilah Bulan Rejab dan Bulan Syaaban dan ketemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.

Bagi saya pula ada memori tambahan bila masuk sahaja bulan Syaaban.Ia membawa memori saya kepada ruwahan.Ruwahan adalah bahasa jawa yang bermaksud kenduri arwah.Dan ruwahan ini adalah amat sinonim dengan bulan Syaaban.

Bila bulan syaaban menjelma,hampir setiap rumah di kampung saya akan membuat ruwahan.Dan kemuncak ruwahan adalah punggahan di mana setiap rumah akan membawa nasi ambeng.Lalu ruwahan perdana atau tahlil perdana akan di buat di surau kampung kami.Ia di panggil punggahan.

Apa pun,ruwahan dan punggahan,ia membawa memori yang 1,kenduri arwah dan nasi ambeng.Lalu nasi ambeng berkenaan akan dibahagi bahagikan untuk dibawa pulang sebagai bungkusan bontrot atau bungkusan berkat.

Berkat.

Tempohari saya ada mendengar kuliah dari seorang ustaz tentang berkat.

"Rezeki yang berkat itu bila sedikit ia mencukupi,bila banyak ia tidak membazir."

Ya,biasanya berkat dikaitkan dengan rezeki.

Rezeki.

Ada seorang lelaki di suatu kampung yang telah lama tidak mempunyai pekerjaan.Lalu dia telah diberikan kerja oleh seorang lelaki yang lain.Kerjanya adalah sebagai penebang pokok.

Dek kerana terlalu bersemangat,lelaki tadi tadi membuat kerjanya iaitu menebang dari 1 pokok ke pokok yang lain.Di hujung hari bekerjanya dia berjaya menebang banyak pokok.Majikan lelaki itu amat sukakannya.

Namun hari demi hari,majikannnya mendapati jumlah pokok yang ditebang oleh pekerjanya itu semakin sikit jumlahnya.Apabila diselidik akhirnya tahulah majikan itu apakah sebabnya perkara itu terjadi.Rupa-rupanya,memang benar pekerjanya menebang dengan sepenuh hati tapi kadar kepenatan dari hari ke hari semakin bertambah dek kerana kapak yang digunakan menjadi tumpul kerana tidak diasah.

Asah.

Bukan kapak sahaja perlu diasah,iman dan amal juga perlu diasah supaya tajam.Hanya tinggal beberapa hari sahaja pesta ibadah akan bermula.Jom asah iman dan amal kita.

Allahuma Balighna Ramadhan.

Wak,
TDI.

No comments: