Wednesday, March 16, 2011

:: Maju Kebelakang (Siri 3) ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Segala puji-pujian hanya pada Allah SWT yang telah memberikan kesempatan untuk kita terus hidup di atas muka bumi ini dengan nikmat Iman dan Islam.Selawat dan salam buat junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW serta kaum keluarganya.

Merenung nikmat pemberian Allah.

Sepanjang hidup di atas muka bumi ini,sekiranya hendak dikira satu persatu nikmat kurniaan Allah swt tentu sahaja tidak akan terbilang kerana banyaknya pemberian dariNya.Jika kita berpakat beramai-ramai untuk menyenaraikan nikmat tersebut sekalipun,tentu dan pasti ia masih belum mampu untuk kita menyenaraikan segalanya.

Lihat sahaja kejadian siku,duduknya betul-betul di bahagian tengah antara lengan bawah dan lengan atas.Apa jadi sekiranya siku berada hampir dengan pergelangan tangan ataupun hampir dengan bahagian ketiak? Tentu sukar untuk kita melakukan kerja-kerja harian seperti menyuap nasi ke dalam mulut.Samada kita terpaksa menunduk yang teramat kerana siku terletak terlalu jauh dari bahu ataupun kita terpaksa menelengkan kepala kerana siku terlampau dekat dengan pangkal tangan.

Kejadian siku.Tanda Kebesaran Yang Maha Esa.
Ia bukan secara kebetulan.

Itu baru 1 nikmat pemberian Allah swt,yang kadang-kadang kita sendiri pun tidak menghiraukannya.

Rahmat Allah.

Dari Jabir r.a katanya,dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,"Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata Rahmat Allah S.W.T belaka." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith dari Nabi Muhammad SAW,kita dapat faham bahawa sekiranya kita dimasukkan ke dalam syurga,ia merupakan Rahmat dari Allah SWT.

Persoalannya,bagaimanakah kita boleh meraih Rahmat Allah?

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiyaa' 21:107)

Dari maksud firman Allah SWT dapat kita faham,sesungguhnya dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW ke bumi menjadi rahmat kepada sekian alam.

Persoalan kedua,Nabi Muhammad SAW kini sudah tiada,masih bolehkah kita meraih Rahmat Allah SWT?

Di antara isi khutbah ketika Nabi Muhammad SAW mengerjakan Hajjatul Wada ialah :
Nabi bersabda yang maksudnya,"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat,itulah Al-Quran dan Sunnahku."

Dengan ertikata lain,apabila cara hidup kita dekat/mirip dengan sunnah Rasulullah SAW maka dekatlah kita dengan Rahmat Allah SWT.

Persoalan ketiga,dalam 24 jam kita hidup sehari semalam,berapa jamkah kita dan keluarga (anak dan isteri) kita mengikut cara hidup Nabi Muhammad SAW?

Rasulullah saw bersabda,"Setiap ummatku akan masuk syurga, kecuali yang enggan!? maka sahabat bertanya,siapakah yang enggan itu wahai Rasulullah? Nabi menjawab,Siapa yang mentaatiku maka ia masuk syurga dan siapa yang tidak taat padaku maka ialah yang enggan. (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Taat dan mengikuti cara Nabi SAW itu apa maksudnya?

Ia membawa maksud,segala yang Nabi SAW suruh/perintah,kita tunaikannya mengikut cara sepertimana yang Nabi SAW lakukan/ajar dan meninggalkan segala tegahan Nabi SAW mengikut cara sepertimana Nabi SAW tinggalkan.

Bagaimana pula caranya?

Sesungguhnya Nabi mengajar kita akan semua aspek termasuk ibadah,imaniat,muamalat,muasyarat dan akhlak.

Sebab itu antara sifat dan peribadi Baginda SAW yang terpuji adalah :

1.Baginda menyambungkan hubungan silaturrahim dengan orang yang memutuskan hubungan.
2.Baginda memaafkan orang yang menzalimi/mengkasari Baginda.
3.Baginda berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada Baginda.

Begitulah tingginya peribadi yang Rasulullah terampilkan buat panduan ummatnya.

Kejayaan.

Dan hakikatnya kejayaan yang sebenar samada di dunia mahupun di akhirat adalah dengan mengikut perintah Allah swt mengikut cara yang di ajar oleh Rasulullah SAW.

Dan bahawasanya sunnah Rasulullah SAW itu bukan sahaja sekadar perbuatan,gerak-geri,percakapan dan pemakaian sahaja tetapi termasuk juga seerah (perjalanan hidup) dan sarirah (fikir,risau dan keinginan/matlamat yang nyata-desire)

Peringatan dan amaran.

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk mengajak manusia untuk mengeEsakanNya tetapi juga membawa peringatan.

Diriwayatkan di dalam hadis Rasul s.a.w (maksudnya) : “Sesiapa yang meninggalkan 1 waktu Solat Fardhu dengan sengaja, waktu azabnya di dalam Neraka adalah bersamaan dengan 1 hukub.Lamanya 1 hukub adalah bersamaan dengan 80 tahun Akhirat.

Diriwayatkan di dalam hadis Rasul s.a.w., 1 hari Akhirat adalah bersamaan dengan 1000 tahun Dunia.

Oleh itu dari persamaan di atas MENINGGALKAN 1 WAKTU SOLAT FARDHU adalah bersamaan dengan 28.8 JUTA TAHUN WAKTU DUNIA azab di dalam Neraka Allah s.w.t.

Itu baru 1 waktu.Adakah kita menitikberatkan penjagaan waktu solat kita?

Apa yang perlu kita lakukan?

Apa yang perlu kita lakukan adalah membuat perubahan dalam hidup kita agar kita mendapat kebaikan dan keberkatan di dalam hidup di dunia yang sementara ini dan untuk bekalan akhirat yang kekal abadi.

Nota :

al Fadhil Ustaz Mohd Ali Mohd Yusof
Madrasah lil banat (Sri Petaling)

Di atas adalah sebahagian dari isi ceramah Maulidur Rasul yang di sampaikan oleh al Fadhil Ustaz Mohd Ali Mohd Yusof (5 Mar 2011-Surau Taman Seri Pagi)

Moga perkongsian dapat memberikan manafaat.

Berkongsi suasana:

Kanak-kanak adalah generasi akan datang
yang akan mencorak dunia jika mereka diberi kesempatan.
Pendedahan kepada majlis mengingati ALlah dan  Nabi
adalah wadah untuk mereka menyuburkan iman dihati.

Bakal-bakal hafiz.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

No comments: