Tuesday, January 4, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 3 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Alhamdulillah,segala puji-pujian kepada Allah SWT yang telah memberi izin kepada kita untuk terus hidup di atas muka bumi ini dengan nikmat Iman dan Islam.Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

04-01-2011

Sedar tak sedar,anak saya yang sulong sudah berusia 7 tahun pada tahun ini.Maka secara layaknya,dia sudah boleh melangkah ke darjah 1 dalam sistem pendidikan Malaysia.Dan dalam merealisasikan tuntutan dan tanggungjawab sebagai seorang bapa,secara rasminya tanggal 4 Januari 2010 saya telah menghantar Abdul Aziz untuk memulakan hari pertama di alam persekolahan di Sekolah Rendah Islam As Sa’idiyyah (SRIAS) setelah melalui proses interview dan pendaftaran awal sebelumnya. (Kisahnya di sini 1 dan di sini 2 )

SRIAS,di asaskan sekitar pertengahan 80-an dengan seorang tenaga pengajar dan beberapa orang murid.Bangunan pertamanyaadalah di Taman Golf Height sebelum berpindah ke Taman Paroi Jaya dan ke Rasah.Kini bangunan SRIAS yang berada di Taman Rashidah Utama didirikan di atas sebidang tanah yang telah diwakaf milikkan seorang ibu warga Seremban.Kini,pada sessi 2011 murid yang berada di SRIAS adalah seramai 490 orang dengan kelengkapan dan infrastruktur yang semakin berkembang baik.Moga usaha dan sokongan semua pihak mendapat keberkatan dariNya.

Seperti juga sekolah-sekolah yang lain,hari pertama persekolahan pasti akan dimulakan dengan perhimpunan beramai-ramai.Cumanya,jika di awal tahun ia ditambah meriah dengan kehadiran ibubapa yang mendaftarkan anak mereka ke darjah 1.Dalam ucapan sulong untuk sessi 2011,guru besar sekolah/Mudhirah Norhayati Baharom (yang telah berkhidmat di SRIAS sejak 1989),beliau ada memuji kesemua pelajar darjah 1 yang mendaftar pada sessi tahun ini kerana tiada seorang pun yang menangis pada hari pertama persekolahan.Mungkin beliau mempunyai alasan sendiri mengapa pelajar tahun 1 tahun ini diberikan pujian sebegitu.Dalam isi ucapannya lagi,beliau menekankan betapa pentingnya seluruh warga SRIAS berpegang kepada Falsafah Pendidikan sekolah.Beliau sekali lagi menekankan,walaupun Falsafah berkenaan sentiasa bertulis di dinding bangunan tetapi jika tidak dilaksanakan maka Falsafah dan peripenting isinya hanyalah tinggal tulisan sahaja.

Falsafah Pendidikan Sekolah yang bermatlamat untuk
melahirkan Insan Rabbani.
Mari bersama kita mendokongnya.

Insan Rabbani dan Musleh.

Tokoh di SRIAS.
Mudhirah Norhayati ketika memberi ucap utama
untuk Perhimpunan Sekolah pertama sessi 2011.

Juga dalam ucapan Mudhirah Norhayati menekankan tentang pentingnya usaha yang berterusan dari semua pihak bagi melahirkan insan Rabbani (yang mengetahui segala hukum-hakam,syariat Agama) dan individu yang musleh (orang yang baik dan yang mampu mengajak orang lain kepada kebaikan).

Diakhir ucapan,beliau menyeru agar lebih ramai lagi ibubapa dan orang ramai sedar dan mengambil berat pendidikan anak-anak yang berteraskan Pendidikan Islam demi melahirkan generasi ummat yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sessi penerangan kepada ibubapa.

Tamat sessi perhimpunan,ibubapa yang mendaftar anak ke darjah 1 telah diberi penerangan lanjut tentang perjalanan sistem pendidikan yang akan diberikan kepada anak-anak kami.Mudhirah Norhayati sekali lagi memberikan penerangan yang cukup jelas dari segi sejarah penubuhan sekolah sehinggalah kepada sistem perjalanan sekolah.Selain dari itu wakil dari Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan As Sa`idiyah juga memberikan ucapan sepatah dua kata.Antara yang menarik dalam ucapan beliau adalah walaupun ibubapa perlu membelanjakan dan memperuntukkan wang yang lebih untuk mendapatkan pendidikan yang bertunjangkan Pendidikan Islam di SRIAS,ia merupakan salah satu usaha dalam membuat pelaburan untuk akhirat.Beliau memetik ayat berikut :

Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka (...hingga akhir ayat)
At-Tahriim-6.

Beliau juga serba sedikit mengisahkan kejayaan-kejayaan yang telah anak beliau dapati kesan tarbiah yang diperolehi dari SRIAS.Alhamdulillah,moga-moga perkongsian tersebut boleh memacu motivasi kepada kami semua juga.

Pendapat peribadi.

Secara peribadi,saya yang membesar dari sebuah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Berasrama Penuh,pengalaman menghadiri dan menghantar anak ke sebuah sekolah yang berlatar belakangkan agama adalah suatu pengalaman baru yang amat manis.Istilah-istilah baru seperti Rabbani dan Musleh serba sebanyak menambah keyakinan kita akan sistem Pendidikan Islam yang kita dokong dan sokong sekarang ini.Moga-moga Allah permudahkan urusan semua pihak dalam menjana modal insan yang MUSLEH dan mampu menjadi nakhoda yang berjaya dalam pelayaran yang serba mencabar di abad ini.Saya juga berdoa moga Allah permudahkan urusan kami sekeluarga.

Barisan Muallim dan Muallimah SRIAS.

Barisan murid-murid SRIAS sessi 2011.
Murid baru-pengalaman baru. 

......Untuk Pelaburan Akhirat.
Barisan Ibubapa yang penuh harapan
menghantar anak mereka masuk ke SRIAS.
Mereka dan saya mengharapkan yang terbaik untuk anak
kami untuk berjaya dunia dan akhirat.

 Nantikan pula siri Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 4 (insyaAllah....)

Nota :
Gambar-gambar di atas diambil dari laman blog SRIAS.

Wak,
Taman Desa Ixora,
29 Muharram 1432H.

No comments: