Monday, January 10, 2011

:: Kuliah Ilmu : Di manakah kita? ::

KULIAH ILMU
Bersama Tuan Guru Ustaz Ahmad Tajuddin bin Mat Jali dari Madrasah Tarbiyah Madinatul Ilmi, Batu Kurau, Perak
Tarikh : 7 Jan 2011 (Jumaat)
Masa : 7.30 mlm , selepas Maghrib
Tempat : Surau Taman Tasik Jaya Fasa 1, Senawang, N.Sembilan

Alhamdulillah,sedikit perkongsian yang diperolehi dari majlis di atas.

Bismillah hirrahman nirrahim.

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (An-Naml 27:38)

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml 27:39)

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (An-Naml 27:40)

Muqaddimah.

Nabi Sulaiman a.s adalah Nabi dan di antara 25 Rasul yang wajib kita mengetahuinya.Di antara ramai ummat manusia dari kejadian Nabi Adam a.s sehinggalah bayi yang terakhir lahir ke dunia yang entah berapa trillion jumlahnya,menjadi di antara 25 Rasul pilihan Allah SWT adalah satu kedudukan yang istimewa dan sangat tinggi.Di tambah pula dengan kedudukan Nabi Sulaiman a.s yang Allah telah anugerahkan kepada baginda satu kerajaan yang teramat besar yang melingkupi apa yang ada di udara,di bumi dan di air.

Pengajaran ayat.

1.Bermesyuarat.

Dalam keadaan yang sebegitu rupa istimewa dan besarnya kerajaan yang baginda perintah,namun dalam hakikat pentadbirannya,Nabi Sulaiman tetap bermesyuarat dengan seluruh pembesarnya untuk membuat sesuatu keputusan.Oleh sebab itulah,menjadi kewajipan masyarakat untuk menghidupkan roh mesyuarat dan berbincang dalam usaha menyelesaikan masalah masyarakat.Dari situlah nanti keberkatan yang turun dari kurniaan Allah SWT.

2.Ahli dalam kitab.

Sesiapapun dari kita yang mempunyai kefahaman terbaik mengenai ajaran Islam yang tercatat dari Kitabullah yang diturunkan oleh Allah SWT akan mendapat kelebihan di kalangan manusia.Saidina Abu Bakar r.a adalah orang yang paling memahami ajaran Islam yang diturunkan oleh Al Quran melalui ajaran Rasulullah SAW.Maka beliau dilantik menjadi Amirul Mukminin selepas kewafatan Nabi SAW.Begitulah juga Saidina Umar r.a,Saidina Uthman r.a dan Saidina Ali r.a.

Oleh yang demikian,menjadi tanggungjawab kita menanam niat dan berusaha untuk melahirkan dari zuriat dan keturunan kita seorang yang faham akan keseluruhan isi yang terkandung di dalam Al Quran.

Masyarakat zaman ini.

1.Islam cara kita.

Hakikatnya agama yang kita anuti sekarang ialah agama Islam.Agama itu jugalah yang di anuti oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW,para sahabat r.ahum,para tabiin,para imam mazhab,serta ulama ulama Islam.Tapi di sebalik itu apa yang menyedihkan dan membimbangkan,kebanyakkan dari kita mempunyai pemikiran yang tidak sama dengan pemikiran junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW,para sahabat r.ahum,para tabiin,para imam mazhab,serta ulama ulama Islam yang lain.Pemikiran kita yang jelasnya,lebih condong dan mirip kepada pemikiran tinggalan penjajah ratusan tahun dahulu.

2.Masjid kita.

Masjid merupakan rumah ibadah ummat Islam.Selain dari menjadi tempat beribadah,ia juga sepatutnya menjadi tempat aktiviti yang boleh menyumbang kepada kemajuan penduduk kariah.Kebelakangan ini,dengan alasan tertentu kebanyakkan masjid hanya di buka pada waktu solat sahaja,selain dari waktu solat,masjid lebih selesa dikunci.Apakah kita ingin menjadikan rumah ibadah kita mirip rumah ibadah agama lain yang hanya dibuka pada waktu tertentu sahaja yang di lihat umum pada waktu biasa ia lengang dan sunyi,hanya sekadar berdiri teguh sebagai sebuah bangunan tanpa ada pengimarahan di dalamnya?

3.Pendidikan kita.

Perlunya masyarakat zaman ini memikirkan 1 alternatif sistem pendidikan baru yang mana bukan sahaja mampu mendidik anak-anak kita untuk berjaya dalam bidang keduniaan malah berjaya juga dalam bidang akhirat.Kalau dilihat sejarah Islam,Imam Shafie (Imam Mazhab Shafie) telah hafal Al Quran sejak umur beliau 7 tahun.Tetapi sistem pendidikan yang kita ada tidak mengizinkannya begitu.Sistem yang ada sekarang hanya membenarkan pelajar sekolah menengah sahaja memasuki maahad tahfiz secara rasmi.Sedangkan kala itu,para pelajar telahpun terdedah dan terserap dengan pelbagai macam persekitaran yang boleh mengurangkan kelancaran menghafal Al Quran.

Moga perkongsian dapat memberikan manafaat dan kebaikan.

Wak.
4 Safar 1432H.
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

No comments: