Tuesday, January 11, 2011

:: Kebersamaan dalam Ibadah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Apa ada di sebalik ibadah?
Gambar Kaabah sebelum hari wuquf di Arafah.
Perhatikan kain putih di sekeliling kaabah.
Kain ini akan diturunkan setelah selesai hari wuquf.

1.Menyebarkan salam.

Ibadah salam adalah ibadah di mana satu individu islam mendoakan satu individu Islam yang lain dengan ucapan seringkas Assalamualaikum-Salam sejahtera ke atas kamu.Walaupun ucapan Salam itu sunat,orang yang mendengar/diberi salam wajib menjawabnya dengan ucapan Waalaikumsalam.Uniknya lagi,walaupun memberi salam itu ibadah sunat,tetapi ganjarannya melebihi dari si penjawab salam sedangkan menjawab salam itu adalah wajib. (Dalam ibadah lain,solat fardhu yang wajib itu mempunyai ganjaran yang lebih besar dari solat sunat,begitu juga dengan puasa fardhu dan puasa sunat)

2.Iftar.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad (4/144, 115, 116, 5/192), at-Tirmidzi (804), Ibnu Majah (1746), Ibnu Hibban (895). Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Iftar(berbuka puasa) adalah salah satu saat yang ditunggu-tunggu oleh orang yang berpuasa.Malah seperti hadith di atas,kita digalakkan juga untuk sama-sama berkongsi kegembiraan tersebut dengan menjamu orang lain yang juga berpuasa sama.

3.Solat sunat Tarawih.

Salah satu ibadah khusus di dalam bulan Ramadhan adalah solat sunat Tarawih. Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda pernah mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam. Kemudian baginda meninggalkannya lalu solat tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana takut ianya akan diwajibkan.Atas dasar inilah,umumnya masyarakat dan ummat Islam di Malaysia menunaikan solat tarawih secara berjemaah di malam-malam bulan Ramadhan.

4.Zakat.

Zakat adalah nama bagi suatu pengambilan tertentu dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu (Al Mawardi dalam kitab Al Hawiy).Dengan kata lain,zakat (zakat harta,zakat fitrah,zakat ternakan,zakat perniagaan dll) wajib di keluarkan apabila cukup haul (masa) dan nisab (bilangan/jumlah) serta syarat-syarat yang lain.Zakat yang dikeluarkan pula akan diagihkan kepada asnaf yang 8 sebagai penerimanya.

4.Haji.

Haji adalah ibadah yang mempunyai rukun dan syarat sah tertentu dan dilakukan di Tanah suci Mekah.Di anggarkan pada tahun 2010,sejumlah lebih kurang 5 juta ummat Islam seluruh dunia telah berkumpul di sana untuk melakukan ibadah haji.Angka ini akan meningkat tahun demi tahun seiring dengan prasarana yang telah disediakan oleh pihak kerajaan Arab Saudi.

Ibadah-ibadah di atas menunjukkan bahawa perlu dan peripentingnya kebersamaan ummat Islam dalam melakukan sesuatu ibadah tertentu.Malah banyak lagi sebenarnya ibadah/amalan dalam Islam yang memerlukan kebersamaan seluruh ummat Islam sebagai tanda dokongan dan sokongan demi untuk terus menghidupkan syiar Islam di atas muka bumi ini.

Apa yang berlaku kala ini?

Kalau di lihat situasi kehidupan yang ada sekarang,rata-rata kita boleh rumuskan bahawa terdapat kumpulan yang aktivitinya hanyalah suka menghibur (yang melalaikan) manakala ada sekelompok masyarakat yang aktiviti mereka adalah menghidupkan syiar Islam.

Berapa ramaikah pengikut/pendokong setiap kumpulan?

Tentu antara kita yang mempunyai anggaran dan mampu mencongak sendiri.Walaupun congakan itu tidak tepat dengan angka sebenar,tapi pasti tidak lari jauh.

Mana tauqir (tanda hormat) kita kepada Nabi SAW?

Dalam pada kita mengaku yang kita beragama Islam,agama yang dianuti berdasarkan perlembagaan Al Quran dan ajaran yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW,kita masih lagi bersikap sambil lewa untuk mengambil alih acara-acara maksiat bagi membawa manusia kepada amalan yang mengikut ajaran agama Islam.Lagu-lagu yang ke udara melalui medium penyiaran masih lagi banyak yang melalaikan berbanding jumlah lagu nasyid/qasidah yang berunsur agama.

Di manakah kita?

Kita selalu mengharapkan sesuatu kesudahan yang manis dalam setiap apa yang kita lakukan.Sebelum tidur kita mengharap kita akan tidur dengan lena/nyenyak maka kita akan bangun dengan segar selepas itu.Nelayan pasti mengimpikan hasil tangkapan yang banyak sebelum mereka pergi ke laut.Seorang penyerang bola sepak pasti mengimpikan untuk menjaring sebanyak mungkin gol ke gawang lawan sebelum ia turun ke padang.Orang Islam pula akan mengharapkan mereka tergolong dalam golongan kumpulan manusia yang dimasukkan ke dalam syurga di alam akhirat kelak.Tapi sebanyak manakah pengorbanan/usaha kita untuk menggapai harapan kita itu semua?
Di manakah usaha kita untuk menunjukkan kebersamaan kita dalam menuju kejayaan?

Sehari selembar benang,lama-lama menjadi kain.
Salah satu gambaran kebersamaan.
(sekadar gambar hiasan)

Jom renung-renungkan.

Perkongsian di atas adalah dari Kuliah Maghrib yang di sampaikan oleh Sheikh Muhammad Nuruddin Al Banjari Al Makki yang telah di sampaikan pada 26 Dec 2010 di Surau Al Amin,Taman Cempaka F2 dengan sedikit penambahan.Moga tidak mencacatkan isi penyampaian yang asal.

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

No comments: