Thursday, January 6, 2011

:: Kasih IBU membawa ke syurga ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Lirik lagu 1.
Oh ibu,
Kau di siram bayu pagi,
Kehilangan terasa kini....

Lirik lagu 2.
Ibu,ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Bila ku berduka,
Engkau hiburkan hatiku...

Peranan dan sumbangan ibu bukan sekadar diabadikan dalam lagu Bahasa Melayu,malah saya percaya IBU juga ada diabadikan dalam lagu dalam pelbagai bahasa.

Kisah Ibu di dalam Hadith Rasulullah SAW.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a,datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan bertanya, "Ya Rasulullah! Siapakah orang yang paling berhak untuk aku melakukan kebaikan kepadanya? Nabi SAW bersabda,"Ibumu." Lelaki itu berkata lagi,"Siapakah setelah ibuku?" Nabi SAW bersabda,"Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi,"Siapa lagi setelah ibuku? " Nabi SAW bersabda,"Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi,"Lalu siapa lagi sesudahnya?" Nabi SAW menjawab,"Bapamu." ( HR Bukhari no:5514).

Kisah Ibu di dalam Kitab Suci Al Quran.

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata,"Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku,sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (A-li'Imraan 3:35)

Kisah Ibu dalam sejarah Islam.

Kisah 1.
Pada suatu hari Saidina Umar r.a mendatangi sebuah kawasan perumahan.Apabila Saidina Umar r.a sampai ke tempat berkenaan,kanak-kanak yang ada di kawasan berkenaan telah lari menyembunyikan diri masing-masing kecuali seorang.Bila Saidina Umar r.a mendekati dan bertanya kepada kanak-kanak itu,maka berlakulah perbualan seperti berikut :

Saidina Umar r.a : Mengapa dia tidak melarikan diri sepertimana kawan-kawannya yang lain.
Kanak-kanak : Aku hanya takut pada Allah.
Saidina Umar r.a : Siapa yang mengajar kamu begitu?
Kanak-kanak : Ibuku.
Saidina Umar r.a : Benarlah sepertimana yang diajar oleh ibumu.

Kanak-kanak itu adalah Abdullah ibn Zubair anak kepada pasangan Asma’ bin Abu Bakar dan Zubair bin Awwam.

Kisah 2.
Seorang lelaki melakukan kembara melalui jalan laut dalam usaha menuntut ilmu.Dalam perjalanan,kapal yang dinaiki oleh lelaki tersebut telah diserang oleh sekumpulan lanun.Apabila lanun itu berjaya menawan kapal berkenaan,maka segala barang berharga telah dirampas satu persatu dari penumpang kapal,sekalipun mereka cuba menyembunyikannya dari di rampas.Apabila tiba giliran si pemuda itu,maka terjadilah perbualan seperti berikut :

Lanun : Kamu ada barang berharga?
Pemuda : Ada.
Lanun : Di mana kamu sorokkan?
Pemuda : Ada di dalam lipatan di pinggangku.
Lanun : Aneh sungguh.Mengapa kamu memberitahu tempat kamu menyembunyikan barang berharga kamu,sedangkan mereka yang lain tidak.
Pemuda : Ibuku mengajarku supaya tidak bercakap bohong.Dan sememangnya aku tidak pernah bercakap bohong.

Dengan asbab pemuda itu bercakap benar,lanun berkenaan terus sahaja sedar dan insaf tentang perbuatan dan pekerjaan yang buruk itu.Dan pemuda yang tidak pernah bercakap bohong tersebut adalah Imam Abdul Qadir Jailani.

Begitulah hebatnya didikan seorang ibu.Bukan sahaja didikan itu menghasilkan tokoh-tokoh yang unggul kemudiannya malah mampu memberi asbab turun hidayah dan memberikan kesedaran kepada insan yang lain juga.

Bagaimana ibu zaman sekarang?

Dalam satu kajian,golongan teramai di muka bumi ini adalah kanak-kanak,kedua teramai adalah golongan wanita dan diikuti oleh golongan lelaki.Melihat dari data ini kita boleh mengandaikan sekiranya kaum ibu tidak memberi pendedahan dan bimbingan dengan sebaik mungkin,golongan kanak-kanak/anak-anak yang merupakan golongan teramai ini akan membesar dengan didikan yang tidak betul dan mereka amat mudah menjadi generasi yang rosak dan bejat pada kemudian hari.

Remaja masakini.

Lihat sahaja di negara kita tercinta ini,terlampau banyak masalah yang timbul di kalangan masyarakat.Budaya merokok bukan sahaja merebak sehingga ke peringkat pelajar sekolah rendah bahkan pelajar perempuan juga sudah tidak segan-silu menjebakkan diri mereka.Kes pembuangan bayi,gejala dadah,zina,ketagih arak,perhubungan bebas berlainan/sesama jantina dan bermacam lagi gejala yang adakalanya masyarakat sudah naik muak untuk membaca/mendengarnya jika di buat liputan.

Tidak risaukah kita?

Di sesetengah tempat/negara membangun,institusi keluarga telah menjadi begitu kucar-kacir.Anak sudah tidak lagi menghormati ibubapa hingga keperingkat tidak lagi menghiraukan langsung teguran.Bagi mereka ibubapa ibarat kawan-kawan yang boleh dibuat sesuka hati.Di sesetengah tempat lain pula,anak-anak sudah lupa identiti mereka yang sebenar.Mereka sudah tidak tahu hala tuju mereka dan apa yang mereka ingin lakukan malah amalan beragama pula sudah lama ditolak ketepi.

Kalau di Eropah,keluarga muslim yang tinggal di sana yang kebanyakkannya perantau dari Negara Timur.Anak-anak mereka sudah tidak tahu mereka beragama Islam walaupun mereka bernama Rahimi.Kalimah syahadah sudah tidak dapat diucap,solat barangkali sahaja langsung tidak pernah mengamalikannya.

Kalau di Jepun,ibubapa bisa diBODOHkan oleh para remaja mereka di khalayak kawan-kawan tanpa ada erti segan-silu lagi.Walaupun bangsa Jepun pada pandangan luar mempunyai budaya dan sopan santun yang begitu tinggi,namun di sebalik itu kepunahan boleh kita melihatnya jika kita berada di dalam kelompok mereka.

Bagi bangsa arab pula,walaupun mereka berbangsa arab dan fasih berbahasa arab,ada di antara mereka Mashaf Al Quran pun tidak boleh membacanya.Itu belum lagi fenomena yang biasa kita ihat anak bangsa mereka bersidai di bandar-bandar besar dan elit dengan pakaian yang tidak seperti mereka pakai bila di Negara asal mereka.

Di negara kita,tidak perlu pergi jauh.Tanyakan sahaja berapa ramai remaja Tingkatan 5 dalam 1 kelas yang solat 5 waktu penuh dalam sehari semalam.Saya kira anda sendiri mampu memberikan jawapannya secara tepat.

Itu gambaran sebahagian dari cara hidup manusia di atas muka bumi ini.

Masih tidak risaukah kita?

Manusia memang membangun/membesar seiring dengan kemajuan pemodenan disekitarnya.Sebagaimana manusia gah bila dapat melawat terusan Venice,Rome,Italy dan banyak lagi bandar bandar besar di dunia ini,maka manusia akan terus megah dengan apa yang mereka kecapi.Di tambah dengan era teknologi seperti iPod,Blackberry dan apa sahaja peranti elektronik yang terus menjaja jenama agar manusia tidak puas akan kemajuan yang sedang mereka kejari.Namun disebalik itu,modal insan yang sepatutnya diutamakan kadangkala jauh ketinggalan jika kita mahu nilaikan KPInya secara serius.

Back To Basic.

Apabila kita merenung terlalu jauh,titik fokus biasanya terlalu kabur dan kadangkala agak sukar untuk diperolehi.Jika kita renung beberapa kisah yang saya nukilkan di atas,peranan ibu dalam mencorak anak cukup signifikan untuk menjadikan satu ruang lingkup yang mampu menjadikan manusia sedar yang datangnya kita ke muka bumi ini adalah sebagai hambaNya dan perlu mengikut tatacara kehidupan berlandaskan Al Quran dan As Sunah.Jika para ibu tidak ada perasaan risau akan kewajipan dan peripentingnya mendidik anak dengan suasana Islam,maka agak sukar tujuan dan matlamat ini untuk di capai.

Sekarang persoalannya,bagaimana pula untuk membuatkan kaum ibu mempunyai fikir dan risau akan kesedaran seperti di atas?

Kitalah para suami yang perlu memikirkannya sejenak......

Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.

No comments: