Wednesday, May 16, 2012

:: Selamat Hari Guru ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Selamat Hari Guru!

Antara guru yang paling saya takut ketika berada di dalam kelas 1 Kuning adalah Mr Ler.Beliau mengajar Bahasa Inggeris.Setiap kali ketika masuk ke dalam kelas,bulu ayam yang berhulukan rotan sentiasa di kelek.Suaranya garau,orangnya tinggi,tapi sayang mengajar di SKAH Bt 15 hanya sebentar.Jikalau tidak,InsyaAllah saya akan menjadi scorer dalam Bahasa Inggeris.

Darjah 4 Kuning saya mendapat cikgu ganti sementara matapelajaran Matematik,namanya Cikgu Azizah.Beliau sebenarnya mengajar Matematik bagi kelas 4 Merah.Jadi bila matapelajaran Matematik tiba,2 kelas akan bergabung menjadi 1.Dan aktiviti kegemaran Cikgu Azizah adalah Pop Kuiz.Semua murid dikehendaki berdiri,siapa yang berjaya menjawab soalan Matematiknya barulah boleh duduk.Siapa yang pertama dapat menjawab akan mendapat hadiah siapa yang terakhir menjawab juga akan mendapat 'hadiah'.Masing-masing berlumba sesama sendiri.Antara sebab saya amat meminati matapelajaran Matematik,mungkin nama Cikgu Azizah boleh di sebut.

Bila tiba darjah 6,guru kelas saya adalah Cikgu Noraini Hussein.Beliau sangat tegas dan yang antara guru yang paling cerewet pernah saya jumpa.Markah Bahasa Malaysia saya tidak pernah mencecah angka 85.Jika mendapat gred A pun sekadar atas pagar.Namun,arwah emak selalu bercerita setiap kali ada perjumpaan antara guru dengan penjaga murid,"Cikgu Noraini tu sayang Rizal.Selalu dia cerita......." - Ia bagaikan penceritaan yang sukar saya percaya sehinggalah akhirnya beliaulah antara guru yang memujuk saya ketika saya hanya berjaya mendapat 3A1B dalam peperiksaan UPSR.

Bila tiba sekolah menengah,antara cikgu yang menjadi kenangan sehingga kini adalah Pn Norma (Guru Add Math) dan Cik Khoo (Guru Sejarah).Jasa Pn Norma mengajar dengan penuh sabar dan kreatiflah saya mendapat A2 dalam Add Math ketika trial SPM.Pertama kali saya dapat meninggalkan di belakang beberapa para scorer Add Math kelas saya.Dan Cik Khoo pulalah yang mencabar (baca : menyindir) saya untuk mendapat A1 dalam matapelajaran Sejarah dek kerana terlalu kerap mendapat F9 sejak tingkatan 4 lagi.Dan cabaran itu saya realitikan.

Akhir sekali,cikgu saya yang berada nun jauh di Jepun,Prof Arai Junji,yang begitu banyak membantu saya dalam banyak hal ketika di Jepun terutamanya ketika tahun-tahun akhir di sana.Beliau adalah supervisor projek akhir saya dan beliau jugalah yang bersusah payah mencarikkan peluang kerja saya ketika saya masih berada di tahun akhir pembelajaran.

Terima Kasih Cikgu!!!

Pisang Emas Di Bawa Belayar,
Masak Sebiji Di Atas Peti,
Jasa Guru Sukar Di Bayar,
Doa Sahaja Sebagai Ganti.

Wak,
TDI.

No comments: