Seperti tiada apa yang dapat menghalang hati ini dari meruntunkan rasa kesedihan apabila melihat apa yang diusahakan selama ini hilang/musnah sekelip mata.
Bayangkan sahaja dalam masa 3 tahun,kebun yang diusahakan dengan menanam pokok sawit terbakar sebanyak 2 kali.Kejadian terakhir sekali adalah pada Mac 2011.Dan kejadian kali ini adalah yang paling teruk kesannya.
Melihat pokok yang dahulunya membesar dengan subur dan menghijau serta sudah belajar mengeluarkan buah walaupun tandannya tidaklah sebesar mana,tiba-tiba melayu dan menguning,tentu sahaja agak sukar menghadapi suasana tersebut.Bayangkan sahaja,segala usaha dari menanam anak pokok yang sekitar tingginya baru mencecah 2 kaki hinggalah tingginya melebihi tinggi saya sekali gandanya tentulah bukan calang-calang pengorbanannya.
Antara musuh utama pokok sawit adalah serangan babi hutan yang amat gemar memakan umbut sawit dipangkal batangnya.Tambahan lagi tatkala umur masih semuda anak pokok sawit,ia belum mengeluarkan duri keras dan ini secara tidak langsung telah mengurangkan lagi sistem pertahanan dari diserang.Mungkin zink yang dililit dikeliling anak benih boleh menghalang dari ia diusik oleh babi hutan.Tapi bagaimana pula dengan tabiat beruk yang suka mencabut anak pokok sawit.Tentu kesukaran tatkala saat hendak membesarkan anak sawit ini begitu sinonom dan tercatat di dalam diari dan memori para pekebun sawit.
Itu belum dikira dari musuh semulajadi yang lain.Pokok lalang adalah penghuni paling setia di atas tanah gambut (terutamanya selepas terbakar).Sifatnya yang suka mendominasi kawasan tanah menyebabkan agak sukar untuk menghapuskannya.Tambahan pula cara hidupnya yang suka membuat lapisan demi lapisan (tumbuh rapat-rapat antara generasi 1,2,3 dan seterusnya),menyebabkan proses meracun rumpai tidak kesampaian sekiranya tidak kena caranya.Belum sempat lalang nampak layu,dicelah-celahnya sudah muncul lalang baru yang hijau serta segar-bugar.Biasanya ini berlaku jika hanya lapisan bahagian atas pokok lalang sahaja yang terkena racun rumpai.
Itu belum senduduk,tenggek burung,paku pakis......
Yang dinyatakan di atas itu baru sebahagian dari cabaran,belum lagi dikira kos penjagaan dan kos sampingan (meracun,membaja,membuang pokok kait-kait,membuang pelepah,membuat jalan,membina jambatan) yang sekiranya mahu disenaraikan tentu banyak susur galurnya.
Di sini ia bermula.....
Jambatan kecil penghubung jalan utama ke dalam
kebun menjadi saksi kepada usahaku untuk
memiliki sebuah kebun hasil titik peluhku sendiri.
Lalu segalanya musnah dimamah dan dijilat api dalam sekelip mata sahaja.
Kaki ini sebenarnya sudah begitu lemah untuk berdiri menghadapi kenyataan yang telah berlaku.Melihat keadaan kebun dan segala isinya yang sebahagiannya agak teruk terjejas tentu begitu sulit untuk meluahkan gambaran perasaan yang tersemat di dalam hati.
Apa yang perlu dilakukan?
Di mana hendak bermula kembali?
Persoalan di atas mundar-mandir di dalam kepala yang masih berserabut dengan masalah yang melanda.
Tanpa menyedari,sebelum pulang semula ke bandar semalam (3 April 2010),abah menghulurkan beberapa not RM50 (tidak berapa pasti berapa jumlahnya),katanya sebagai ganti rugi dari pihak yang ingin bertanggungjawab atas kejadian yang telah menimpa kebun sawitku.Aku terharu dengan apa tindakbalas dari pihak yang mengaku hendak bertanggungjawab itu.Tetapi bukan itu yang aku mahukan.Aku masukkan kembali not-not tersebut ke dalam poket abah.Aku hanya perlu bersemuka dengan orang terbabit.Aku mahukan penjelasan.Pertama,mengapa kebun sawitku terbakar/dibakar? Kedua,apa jaminan pihak terbabit bahawasanya kebun aku tidak lagi akan terbakar walaupun atas sebab-sebab tertentu.
Ternyata tindakan abah lebih matang dariku.Dia memaksa aku mengambil juga not-not itu,dengan alasan sebagai modal untuk membeli anak benih yang baru.
Tiba-tiba,mindaku memproses satu input yang baru.Ya,membeli anak benih yang baru.Di situ aku akan bermula semula sambil aku memasukkan semula not-not itu ke dalam poket abah sebagai hadiah.
Kini,segala penat-lelah,jerit-perih,titisan peluh perlu diulang dan dikerah kembali demi survival seorang petani kecil yang masih mentah pengalamannya.
Terima kasih abah.
Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.
No comments:
Post a Comment