Saturday, April 9, 2011

:: Adakah segalanya milik kita? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Suatu hari Rabi`ah pulang dari sebuah perang dengan membawa sejumlah harta rampasan perang yang banyak.Namun tidak lama kemudian,disebabkan ada panggilan jihad yang lain,Rabi`ah terus sahaja menyahut seruan itu.Sebelum pergi ke medan perang,Rabi’ah telah meninggalkan harta rampasan perang tersebut kepada isterinya sebagai bekal sepanjang sepeninggalannya itu.Dalam pada itu,walaupun Rabi`ah tahu isterinya sedang mengandung dia tetap meneruskan niatnya demi kerana Islam yang tercinta.

Bagi isteri Rabi`ah pula,dia menerima sahaja tanggungjawab yang telah diberi oleh suaminya.Harta peninggalan suaminya dijaga dan diurus dengan betul manakala anak yang di dalam kandungan pun diberi perhatian sepenuhnya.Namun sesuatu yang diluar jangkaan telah berlaku.Sejak Rabi`ah pergi ke medan jihad,tiada sebarang khabar berita tentangnya walaupun telah sekian tahun lamanya.Akhirnya isteri Rabi`ah pun mengambil keputusan untuk melakukan solat jenazah ghaib kerana dia beranggapan suaminya telah meninggal dunia.

Selepas dari itu,tinggallah isteri Rabi`ah seorang diri dan membesarkan anak lelakinya yang telah lahir ke dunia.Dididiknya anak lelaki tersebut dengan penuh kasih sayang dan dengan didikan agama yang cukup.Dihantarnya anak lelaki itu untuk menuntut ilmu agama kemana sahaja berbekalkan harta peninggalan suaminya dahulu.Membesarlah si anak dengan suasana agama dan dengan gigih menuntut ilmu walaupun tanpa bapa di sisi.

Tanpa disangka-sangka,pada suatu malam Rabi`ah telah pulang ke rumahnya dalam keadaan yang sihat sejahtera.Ketika menyambut kepulangan Rabi`ah,isterinya berada dalam keadaan terperanjat dan tidak menduga langsung yang suaminya itu masih lagi hidup.Di tambah pula bertahun-tahun lamanya Rabia`ah pergi tanpa ada khabar berita.

Dalam pada itu,tiba-tiba isteri Rabi`ah dilanda satu perasaan bersalah.Manakan tidak,sebelum pergi dahulu,suaminya meninggalkan harta yang begitu banyak,namun sekarang hartanya itu sudah tidak berbaki.Dia risau bagaimana hendak dijawabnya sekiranya Rabi`ah bertanyakan tentang harta peninggalannya dahulu.Keadaan rumahnya yang tetap seperti dahulu dan tidak banyak berubah walaupun setelah sekian tahun,tidak dapat membuktikan yang duit dari hartanya itu disalurkan ke situ.Namun kerana terlalu letih disebabkan perjalanan yang jauh dan hari pun sudah larut malam,Rabi`ah terus sahaja tidur tanpa bertanyakan banyak hal.

Keesokkan paginya,bangkit sahaja tidur Rabi`ah terus sahaja menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh.Selepas selesai sahaja solat subuh,jemaah terus sahaja mendengar kuliah yang disampaikan termasuk juga Rabi`ah.Bagi Rabi`ah,kerana ia sudah lama diperantauan,ia begitu takjub dengan suasana pagi itu.Kuliah yang disampaikan walaupun dari seorang anak muda tetapi isinya cukup mantap.Di tambah pula hadirin yang datang mendengar cukup ramai dan Rabi`ah percaya anak muda itu bukan calang-calang orang.

Selesai mendengar kuliah berkenaan,Rabi`ah terus sahaja pulang dan menceritakan perihal tersebut kepada isterinya dengan penuh perasaan dan takjub.Selepas dari bercerita perihal berkenaan,barulah Rabi`ah teringat akan anak yang ditinggalkannya dahulu yang masih di dalam kandungan isterinya.Lalu apabila ditanyakan pada isterinya,isterinya pun menjawab bahawa yang memberikan kuliah pada subuh hari tersebut, itulah anak mereka.Dan harta yang ditinggalkan oleh Rabiah dahulu telah digunakan dan dibelanjakan oleh isterinya untuk membesarkan dan memberi didikan agama yang terbaik untuk anak mereka.Dan tatkala itu juga isteri Rabia`ah menerangkan bahwa harta tersebut sudah tidak lagi berbaki.

Begitulah kisah Rabi`ah dan keluarganya yang mewakafkan diri,keluarga,anak dan harta mereka di atas jalan agama.

Siapakah sebenarnya Rabi`ah?

Ya,Rabiah merupakan salah seorang guru kepada Imam Malik-Imam kepada Mazhab Maliki.(untuk catatan Imam Malik pula adalah guru kepada Imam Shafie-Imam kepada Mazhab Shafie).

Nota :
300 hadith bimbingan
(Ust Dr Hj Zahazan Mohamed)

Ust Dr Hj Zahazan Mohamed.

Seperti yang dikisahkan oleh Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed-Kuliah Maghrib Surau An Nur,Bandar Baru Bangi (26 Mar 2011),ketika mengulas isi buku tulisan beliau 300 Hadis Bimbingan-Ke arah mencari redha Allah.

Wak,
TDI.

3 comments:

Anonymous said...

Best kisah ni..

intan.maisarah said...

seronoknyaa

WAK said...

anitafasha :
alhamdulillah.moga mendapat manafaat.

intan maisarah :
apalagi yang lebih menyeronokkan bila melihat orang yang kita sayang berjaya dalam agama.