Saturday, April 30, 2011

:: Travelog Anak Kampung-1 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

'Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain.'

Orang melayu dahulu memang terkenal dengan simpulan bahasa,peribahasa,bidalan,kiasan dan sebagainya.Kita generasi baru ini hanya sekadar pengguna sekunder yang menumpang,agar kebijaksanaan mereka menggubah bahasa itu berkekalan hingga ke generasi akan datang.InsyaAllah.

Kenangan 'retro'.
Bayangkan dengan berbasikal orang dahulu mampu hidup.
Berbelanja,menghantar anak sekolah,pergi ke surau/masjid
(walaupun hari hujan),mereka masih utuh/kental menempuh dugaan.
Bandingkan dengan kita sekarang?

Saya dilahirkan pada penghujung 70-an di sebuah kampung di Johor.Waktu itu rata-rata penduduk masa belum merasai nikmat teknologi seperti sekarang.Kenderaan utama ketika itu masih lagi motosikal namun fenomena di mana kelibat golongan-golongan 'otai' (golongan warga emas) menunggang basikal masih lagi boleh kelihatan di sana-sini.Kenderaan yang namanya kereta,hanya mampu-milik oleh sebahagian kecil sahaja dari masyarakat.

Apa aktiviti ketika itu?.

Orang sekarang kata,sebab orang dulu-dulu ramai anak kerana tiada hiburan atau aktiviti pada waktu malam adalah terhad.Makanya mereka beranggapan bahawa aktiviti malam golongan orang-orang dahulu hanyalah menjurus kepada meramaikan bilangan anak sahaja.Wallahua`alam.

Tapi,

Dari imbasan ingatan dan pengalaman membesar era 80-an,orang tua-tua dahulu amat sibuk ketika waktu malam.

Malam Jumaat.

Setiap minggu akan diadakan bacaaan yaasin dan tahlil arwah dari rumah ke rumah.Seluruh penduduk kampung,tidak kira umur akan turut menjayakan aktiviti ini.Ingat lagi pesan abah dulu,'Tak tau baca Yaasin,baca Kull hu (surah al ikhlas) banyak-banyak.'

Dan,sebenarnya golongan kanak-kanak bahkan golongan dewasa juga amat menunggukan majlis seperti ini.Manakan tidak,kami semua dapat beramal ibadah bersama-sama dengan seluruh penduduk kampung di malam Jumaat (penghulu hari) yang penuh barokah itu.Orang dewasa dapat bertemu sesama mereka di dalam satu majlis,begitu juga golongan kanak-kanak.Cuma tambahan daya tarikan ketika itu adalah,selepas selesai membaca yaasin,bertahlil dan berdoa,para tetamu akan dijamu oleh tuan rumah dengan nasi ambeng,hidangan/menu yang cukup sinonim dengan orang jawa.Dan yang paling simboliknya,kami hanya menjamah sebahagian kecil sahaja dari hidangan yang ada,sebahagian besarnya pula akan dibungkus balik sebagai bontrot (buah tangan dari kenduri) yang kemudiannya akan dimakan bersama-sama dengan ahli keluarga di rumah.

Makanan yang penuh barokah dan dinikmati sekurang-kurangnya sekali setiap minggu ketika itu,kenangan yang begitu meninggalkan bekas di dalam hati.

Berkompang dan membaca barzanji.

Aktiviti ini saya kurang arif kekerapannya diadakan,samada setiap bulan atau ada hari hari tertentu.Yang saya ingat dan pasti,pada rumah tertentu dan pada malam tertentu,penduduk kampung akan berkumpul dengan membawa kompang masing-masing.Majlis akan dimulakan oleh seorang ketua dengan membaca selawat ke atas Nabi SAW dan diikuti oleh hadirin yang lain.Selepas itu barulah kompang akan dipalu dengan diiringi oleh bacaan barzanji dari rawi-rawi tertentu.Dan biasanya ia akan berlarutan hingga ke larut malam.Mungkin biskut keras bersama kopi pekat menjadi pembasah tekak waktu itu.Cumanya waktu itu tanggapan saya,'tak sakit ke tangan atuk-atuk ni berkompang berpanjangan,suara pula tak serak-serak.' Maklum sahajalah memalu kompang bukan calang-calang aktiviti,kalau bukan sebarangan orang,tak tahan dibuatnya.Lagilah suara yang dikeluarkan untuk membaca barzanji perlu menyaingi kekuatan bunyi kompang,tentu tenaga yang dikeluarkan juga bukan calang-calang.

Bacaan tahlil arwah.

Walaupun tika ini banyak pendapat tentang amalan membaca tahlil arwah dan cara penyempurnaannya (3 hari/7 hari/40 hari/100 hari/jamuan makan dan sebagainya) namun semangat dan pemahaman untuk beramal samada untuk bekalan sendiri mahupun untuk dihadiahkan pada si mati adalah 1 faktor yang lain.

Ingat lagi tahlil arwah ketika itu,rata-rata akan dibuat selama 3 hari berturut-turut jika ada sebarang kematian penduduk kampung. Selepas selesai membaca tahlil yang dipimpin oleh tuan imam,hadirin akan mula membaca surah al ikhlas secara bersendirian mengikut jumlah yang terdaya. Biji jagung kasar dijadikan sebagai pengganti biji tasbih.Dan ia akan dijumlahkan pada hari terakhir.(Minta maaf,saya tidak pasti berapa jumlah yang perlu dihabiskan bagi setiap orang.)

Dan,

Kampung kami memang terkenal dengan banjirnya.Pernah sekali banjir melanda dan salah seorang penduduk kampung meninggal dunia ketika itu.Jenazah yang telah siap untuk dikebumikan terpaksa diusung dengan sampan dari hujung kampung saya dengan menempuh banjir.Kebetulan rumah arwah ketika itu terletak nun di hujung kampung.Seingat saya,penduduk kampung turut bertahlil arwah pada malam berkenaan walau terpaksa menempuh banjir.Dan banjir yang melanda kampung saya bukan calang-calang 'ceteknya',pada kawasan tertentu boleh mencecah hingga ke pangkal pinggang orang dewasa.Namun,kerana semangat kejiranan yang kuat,itulah hasilnya.

........malah,orang tua-tua dahulu juga amat sibuk ketika siang hari.


Gotong royong.

Seperti yang dijelaskan diawal tadi,penduduk kampung era 80-an masih jauh dari menerima tempias teknologi.Mesin-mesin jauh sekali dapat diguna-pakai untuk aktiviti seharian.Parang,cangkul,tajak,sabit adalah antara alat yang popular dan sinonim ketika itu.

Apa gunanya?

Johor seketika dahulu (sehinggalah awal 90-an) bercuti umum pada hari Jumaat.Selepas sahaja kaum lelaki selesai solat jumaat,pada sela-masa tertentu akan diadakan aktiviti gotong –royong membersih kampung.Aktiviti akan bermula dengan penduduk kampung berkumpul di surau yang kadangkalanya 'kentong' (kayu kecil yang ditebuk tengahnya,dipalu untuk memberitahu masuk waktu/memberitahu akan ada kematian) dipalu terlebih dahulu sebagai tanda supaya mereka perlu berkumpul.Kemudian mereka akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dan akan bergerak ke kawasan-kawasan yang ditetapkan oleh ketua masyarakat.Kebiasaan aktiviti utama adalah membersih sisi jalan (menebas rumput) dan membersih tepi parit (menarik lumut dan rumpai air).

Dengan berbekalkan alatan tertentu,maka bermulalah aktiviti berkenaan.Yang manisnya,selain aktiviti dijalankan secara berkumpulan,peluh pula mencurah-curah keluar,ada penduduk pula ringan tangan menghulur juadah.Juadah yang kadangkala sekadar air sirap dan biskut kering menjadi penyegar badan kepada ahli gotong royong.Biasanya juadah akan diletak di atas kerusi di tepi-tepi jalan dan sesiapa pun bebas untuk menikmatinya.Jika nasib menyebelahi kami,jamuan seperti bubur merah (dengan sedikit bubur putih ditengah-tengahnya) pasti memeriahkan majlis.Orang tua-tua dahulu kata,bubur sedemikian dibuat sempena mengingat pemulaan kejadian kita dahulu dimana benih lelaki tersenyawa di dalam benih wanita.Sebab itulah rupa bubur berkenaan sedemikian.Mungkin bubur merah (bubur nasi yang dicampur dengan sedikit gula merah) adalah simbolik benih wanita,manakala sedikit tompok bubur putih (yang dicampur sedikit dengan garam) ditengah-tengahnya adalah simbolik kepada benih lelaki.Wallahua`lam.

Bubur merah.
Simbolik asal kejadian dan bersatunya benih manusia.
Wallahua`lam.

Cukuplah 5 situasi yang dapat dikongsikan kala ini.Moga generasi yang ada sekarang serta generasi yang akan datang dapat mengambil iktibar dan menafaat dari kisah di atas.InsyaAllah.

Kesimpulan.

1. Walau sebesar mana jua pangkat kita mahupun kita rasa diri kita langsung tidak berpangkat,hiduplah dan bercampur-gaullah dalam aktiviti masyarakat selagi ia dibenarkan oleh syarak.
2. Sesuatu yang dilakukan tentunya bersebab.Oleh itu sekiranya kita tidak tahu menahu,bertanyalah dengan orang-orang yang terdahulu yang lebih berpengalaman.Ini kerana mereka hidup dengan memerlukan mujahadah/pengorbanan yang tinggi.
3. Islam mengajar kita agar menjaga kebersihan.Oleh itu kita dikehendaki menjaga kebersihan dan ajaklah dan ajarkanlah orang lain juga agar mencintai kebersihan.
4. Bersyukurlah dengan apa yang kita kecapi zaman ini.Berterima kasihlah dengan orang-orang terdahulu dengan mengenang jasa-jasa mereka.Tanpa mereka,siapalah kita.

Wak,
TDI.

No comments: