Tuesday, July 26, 2011

:: Muhasabah Sebelum Ramadhan-4 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Betul-betul Summer.
Jepun sedang berada di kemuncak musim panas.Di setengah-setengah kawasan suhunya mencecah 40 darjah.Ia amat mencabar ketahanan fizikal.

Berada di musim panas dengan waktu subuhnya bermula sekitar jam 2:45 pagi juga merupakan 1 cubaan yang amat besar.Ada 2 pilihan,samada berjaga malam sehingga waktu subuh,ataupun tidur awal untuk bangun awal di waktu subuh.Itu pilihan masing-masing.

Sesungguhnya dengan bulan Ramadhan yang hampir menjelang,pasti puasa tahun ini menjanjikan satu kenangan yang menarik,InsyaAllah.Dengan perlu berpuasa selama lebih dari 17 jam (waktu maghrib sekitar jam 7 malam) maka sesungguhnya ia perlu di mulai dengan persediaan yang agak terancang.

Di sebalik itu,

Waktu kerja.

Waktu kerja (waktu pejabat) di Jepun tempat saya menjalani praktikal ini adalah dari jam 08:00 ~ 16:45.Ia jumlah jam berkerja yang pendek berbanding waktu kerja di Malaysia.Pulang sahaja dari tempat kerja,banyak aktiviti yang boleh di jalankan samada bersama rakan sekerja mahupun bersama keluarga tersayang.

Di samping waktu kerja yang pendek,di tambah dengan kurangnya keperluan untuk berkerja lebih masa (overtime) dan 2 hari cuti hujung minggu,maka secala lahirnya dapat dilihat rakyat Jepun tidak terlalu menghabiskan banyak masa di tempat kerja,walaupun rata-rata sebelum ini kita kenali orang Jepun sebagai workaholic (gila kerja)-adakah kena gelaran itu sebenarnya?

Berbelanja.

Dek kerana meninggalkan keluarga tersayang di tanah air,maka buah tangan adalah salah satu pengubat rindu bagi mereka.Hanya berbekalkan 10,000 yen (kita boleh anggap sebagai RM 100) saya dapat membeli berbagai jenis pakaian sebagai cenderamata,termasuk untuk isteri,4 orang anak (termasuk seorang yang masih di dalam kandungan),2 orang kakak,seorang adik perempuan,5 orang anak saudara (termasuk seorang yang masih dalam kandungan dan seorang yang belum pasti bila akan wujudnya) dan tidak lupa untuk diri sendiri.Ya! Hanya dengan hanya RM100.00.

Rakyat Jepun.

Rakan-rakan saya ketika saya menamatkan pengajian saya di Jepun dahulu ada menyebut,gaji mereka apabila mereka bekerja kelak adalah sekitar 220,000 yen (kita boleh anggap sebagai RM2200-itu kisah sepuluh tahun dahulu).Di bandingkan dengan harga kereta mereka yang murah ketika ini,(Toyota Estima 2007 – 2,000,000 yen - kita boleh anggap sebagai RM20,000),maka ia tentu sekali kereta yang boleh milik bagi sesiapa pun antara mereka.Makanya mereka tidak perlu berhempas pulas semata-mata untuk melaram kereta idaman,kerana itu adalah salah satu dari godaan paling tinggi bagi golongan orang yang baru bekerja.

Itu baru dari 1 sudut,belum dari sudut yang lain.

Menikmati keindahan alam.

Rakyat Jepun amat suka berjalan/bersiar-siar.Ketika saya dalam perjalanan dari Yokohama ke Komagane (Nagano),kami berhenti berehat sebentar di RnR tidak jauh dari Gunung Fuji (Shizuoka-Ken).RnR berkenaan yang memang besar saiznya,dipenuhi dengan orang Jepun yang kebanyakkan dari mereka bersama ahli keluarga mereka masing-masing.Mungkin mereka sedang menuju ke destinasi tertentu.

Budaya orang Jepun pula,bila ke mana-mana,mereka akan membeli buah tangan tertentu.Buah tangan ini pula amat mudah di dapati kerana di mana sahaja pun di Jepun,akan ada kedai yang khas menjual buah tangan (omiyage).Ini secara tidak langsung telah memajukan satu bidang industri di Jepun.

Hormat.

Walaupun siapa kita,walaupun bangsa apa pun kita,kebanyakkan dari mereka (rakyat Jepun) amat menghormati sesama manusia.Apabila mereka berselisih dengan kita dan sekiranya mereka terlanggar kita,mereka lantas akan meminta maaf kepada kita (Aa! Sumimasen...).

Sekali saya sedang berjalan-jalan di sebuah hutan lipur yang berada di tepi jalan raya,saya amat pelik melihat orang-orang Jepun yang ada di sisi jalan kecil masuk ke hutan lipur berkenaan tertunduk-tunduk melihat celahan batu.Bila saya bertanya pada salah seorang dari mereka,barulah saya tahu mereka sedang melihat satu tumbuhan yang berkilau-kilau dari celahan batu berkenaan.Mereka bersungguh-sungguh menerangkan kepada saya dan menunjukkan kepada saya akan kewujudan tumbuhan berkenaan.Bagi saya,ia perkara biasa,tapi tidak bagi mereka.Mereka amat menghargai alam sekitar.

Alangkah kecilnya sudut pemikiran kita....

Jalan kecil untuk masuk ke dalam hutan lipur.
Perhatikan tembuk batu di kanan kiri jalan
dan sekumpulan orang Jepun yang
sedang tertunduk-tunduk melihat celahan batu.

Betul....Tumbuhan kecil berwarna hijau itu bersinar sinar
bila terkena cahaya matahari.Ia umpama illumination
hijau pada jam Seiko saya.SubhanaLlah...

Wak,
The Premont Hotel,
Komagane-Shi,
Nagano-Ken.

No comments: