Monday, June 20, 2011

:: Travelog Anak Kampung-5 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kanji.
Cara menulis kanji 'IE-RUMAH'

Bermula petang Jumaat sehinggalah ke petang Ahad adalah waktu yang paling dinanti oleh kami sebagai pelajar persediaan yang sedang belajar bahasa Jepun ketika itu.Semenjak Ahad malam sehinggalah ke petang Jumaat otak diperah untuk pelbagai aktiviti pelajar.Kanji (senyougo-technical terms dan nihonggo-tulisan kanji biasa),Bunpou,Cyoukai,Testo (mini testo-setiap hari dan testo setiap Jumaat) dan,Mouichido adalah anatara rutin kami setiap hari.Tidak cukup di dalam kelas,setiap hari pelajar dikehendaki menghafal 10 bentuk kanji dan akan di test pada keesokan harinya.Malam hari selain dari membuat syukudai-homework yang telah diberikan oleh beberapa orang sensei-lecturer,menghafal kanji adalah aktiviti wajib.

Hafal.

Bayangkan sahaja,waktu makan malam yang dihimpitkan agak kecil masanya,itu pun kadangkala terpaksa dihadap bersama buku kanji di sisi.Ya,menghafal kanji bukan senang.Tulisan yang telah dipelajari strokenya di dalam kelas pada siang harinya,perlu diulang tulis hingga beberapa kali (kadangkala hingga puluhan kali) barulah ia dapat dihafal.Itu baru dapat menghafal strokenya belum lagi bunyinya.Itu baru satu kanji.Jika sepuluh kanji?

Kampung Baru.

Esok awal-awal pagi kami sudah sedia menunggu bas untuk ke dewan kuliah.Ketika menunggu bas di hadapan Masjid Kampung Baru (berdekatan dengan Pusrawi-Kampung Baru) untuk ke PPKTJ ( di UTM Jalan Semarak) buku kanji masih lagi dikelek.Tangan masih mencoret-coret di atas angin mengulang balik hafalan kanji malam sebelumnya.Kadangkala bila ingatan/hafalan tersangkut, maka buku kanji dibelek semula.

Jalan dari Kampung Baru ke Jalan Semarak,walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana tapi kesesakan kenderaan yang berada di atas Jalan Raja Muda dan Jalan Tun Razak sering membuatkan perjalanan kami itu memakan masa yang panjang.Sebab itulah kami semua keluar awal untuk menunggu bas.Sekiranya terlewat sampai di tempat menunggu bas maka tempat duduk akan terlepas dan hukumannya adalah berdiri di sepanjang perjalanan.Ia bukan sesuatu hukuman yang indah.

Hafal lagi.

Sambil menunggu bas mengesot-esot bergerak di belakang kenderaan lain,ada di antara kami yang mengisi masa yang ada dengan tidur-tidur ayam.Ya,tidur untuk sekadar melepaskan lelah malam sebelumnya.Namun ada yang masih khusyuk membelek buku kanji sambil tangan mencakar angin.Lebih dahsyat fenomena bila tiba hari Jumaat.Hari itulah hari gabungan segala macam test.Ujian Nihongo (merangkumi bunpou,cyoukai,kanji) dan ujian subjek math,fizik dan kimia (juga di dalam bahasa Jepun).Dan ia perlu di lalui setiap minggu.

Sebab itulah bila tiba petang Jumaat,nafas lega boleh ditarik sedalamnya.Segala ujian telah selesai.Segala macam kanji,bunpou,doukai (pemahaman petikan dalam bahasa Jepun) dan cyoukai boleh diletak di tepi buat sementara waktu.Hujung minggu adalah waktu untuk melepaskan lelah.

Balik.

Balik ke asrama Kampung Baru di sebelah petang juga perlu menunggu bas.Namun kali ini di kawasan tempat letak bas UTM,cumanya bas kami sahaja tidak menggunakan lambang UTM tetapi sebaliknya munggunakan lambang Pusat Kajian Teknikal ke Jepun (PPKTJ).Menunggu bas pulang tidaklah segetir seperti menunggu bas ketika hendak pergi.Kami akan lebih santai ketika balik.Sambil menunggu bas bergerak,ada yang berborak sambil membuat beberapa longgok kumpulan di tapak parking bas.Ada pula yang duduk meleset di terowong laluan pelajar untuk ke blok-blok dewan kuliah UTM.

Terowong.

Sesiapa yang melalui terowong berkenaan pasti ia sesuatu 'pengalaman baru' yang 'ngeri'.Pelajar perempuan terutamanya yang melaluinya pasti akan disapa 'mesra' oleh rakan-rakan kami.Mungkin mesranya mereka sehingga memungkinkan mereka tidak akan melalui terowong berkenaan buat kali kedua melainkan jika mereka tidak sanggup menahan panas cahaya matahari.Lebih 'mesra' sapaan bila yang melaluinya adalah pasangan belangkas.Tidak perlu dibayangkan jenis apakah sapaan mesra berkenaan.

Asah.

Sambil menunggu bas bergerak sambil berborak kosong mungkin adakalanya membosankan.Saban hari menghadap beberapa tekanan belajar amat menyesakkan minda.Akhirnya sebagai aktiviti seronok-seronok,ada di antara kami yang ditangkap oleh beberapa orang untuk di bawa ke suatu kawasan.Dan di situ mangsa yang ditangkap akan di'asah' oleh mereka.Ada yang melawan walaupun akhirnya menyerahkan diri sahaja.Manakan mungkin terlawan tenaga 4 orang (malah kadangkalanya lebih) oleh tenaga seorang yang telah dipegang erat tangan dan kaki.Sekali lagi,tidak perlu dibayangkan bagaimana aktiviti 'asah' itu dijalankan.

Balik.

Untuk pulang ke asrama Kampung baru,kami perlu menyelusuri kembali kepadatan dan kesesakan persimpangan Jalan Raja Muda dan Jalan Tun Razak (waktu itu,sekitar tahun 1998~99 persimpangan bertingkat masih belum wujud di situ).Tetapi balik ke asrama pada petang Jumaat pasti meriah.Masing-masing sudah mula menyusun jadual sepanjang cuti hujung minggu.

Anak Perantau.

Bagi anak perantau seperti saya,asrama tetap destinasi cuti hujung minggu.Bagi yang berasal dari Selangor atau KL,mereka boleh pulang ke rumah keluarga mereka.Yang tinggal di asrama,ke mana pun destinasi hujung minggu,waktu malam pastinya asramalah tempat kembali,cuma yang harus di ingat,jam 12 malam,pintu pagar akan ditutup.Maka sekiranya tiba semula lewat ke asrama,pandai-pandailah memanjat mana yang boleh dipanjat.

Teringat ketika di suatu malam hujung minggu yang penuh dengan kebosanan.Itu disebabkan ramai yang tiada di asrama kerana mereka semua telah keluar entah ke mana.Tinggallah kami yang entah berapa kerat ketika itu.Pakat punya pakat,empat orang berjaya dikumpul untuk meronda bandaraya Kuala Lumpur malam itu.Ya,dengan menunggang basikal di tengah malam.

Destinasi yang di cari.

KL adalah bandaraya metropolitan.Bandaraya yang penuh dengan persaingan untuk ke hadapan.Di mana ada peluang,pasti ada yang menyerbu.Masyarakat sudah tidak menoleh kanan dan kiri.Masyarakat yang memedulikan masyarakat sudah lama hilang di sini.Jauh sekali untuk memedulikan kami berempat yang menunggang 2 biji basikal sambil berbonceng.

Sambil berbonceng,destinasi pertama yang di tuju adalah Muzium Telekom.Dengar khabarnya malam minggu ramai budak skate lepak di situ (maaf kerana terpaksa menggunakan bahasa sebegitu untuk menyesuaikan dengan keadaan).Sedikit hampa kerana malam tersebut langsung tiada kelibat sesiapun di situ.Setelah berpakat semula,kami meneruskan kayuhan menuju ke Dataran Merdeka.Dataran Merdeka juga sedikit hambar malam itu.Yang ada hanyalah bendera yang berkibar.Kami meneruskan semula kayuhan.Kali ini kami menuju ke Jalan TAR.

Bingit.

Jalan TAR penuh bingit malam itu.Motor RX-Z berlegar-legar ke sana ke mari.Ada yang sudah mula bertukar menjadi superman.Kami hanya memerhati dari tepi bangunan Mara.Tidak lama kemudian kami dengar sedikit kekecohan.Kami menyelusuri jalan di tepi bangunan.Rupanya ada mamat motor yang terperosok di tepi bahu jalan bersama-sama dengan motornya tanpa kami ketahui apa sebabnya.Melihat tempat kejadian yang semakin kecoh,kamu berlalu pergi.

Malam itu kami tiba semula di asrama memang sudah agak lewat.Dan tembok asramalah destinasi kami ketika itu.Setelah selamat memanjat masuk dan basikal pun sudahpun dihulur ke dalam,kami terus masuk ke dalam bilik tanpa dapat menyempurnakan matlamat kami pada malam itu,untuk melihat budak skateboard KL beraksi.

Kenangan.

Petang Sabtu hujung minggu biasanya adalah hari yang sunyi.Sunyi kerana ada sebab tertentu.Biasanya kala ini asrama kami akan dilawati/diziarahi oleh beberapa orang Jemaah Tabligh.Jemaah Tabligh ini biasanya dari kalangan para pelajar Universiti juga.Dengan pendekatan tertentu,mereka akan melawat dari bilik ke bilik menyatakan tujuan mereka datang.

Umur awal 20-an bagi kami adalah lebih kepada masa untuk berseronok-seronok.Di datangi Jemaah Tabligh dengan bertanyakan khabar yang diakhiri dengan mengajak kami untuk bersama-sama bersolat berjemaah di surau asrama bukanlah sesuatu yang menarik perhatian ketika itu.Maka tidak mustahil tidak ramai yang berminat.Malah mendengar percakapan mereka ketika diziarahi juga kerana terpaksa,itupun kalau boleh mengelak kami akan mengelak.

Lebih canggih lagi,akan ada spy yang memberitahu Jemaah Tabligh sudah ada di bilik mana kepada kami,jadi senanglah untuk melarikan diri dari terserempak dengan mereka.Sekiranya mereka sudah selesai di tingkat atas,maka kami dari asrama bilik bawah akan pergi ke bilik atas pula.Secara logiknya,mereka tidak akan berpatah balik ke tingkat atas semula.Itu telahan kami.Bahkan taktik menyelinap sebegitu memang menjadi dan berkesan.

Turun juga.

Bukanlah seteruk mana kami ini.Walaupun melarikan diri dari bertemu dengan Jemaah Tabligh,surau asrama tetap ramai jemaahnya bila tiba waktu solat fardhu.Mungkin jiwa muda ketika itu sahaja yang membuatkan kami berkelakuan seperti itu.

Krisis ekonomi.

1998 adalah tahun yang banyak meninggalkan peristiwa besar dan kecil.Selain dari kes DSAI yang menggamit perhatian ramai pihak dari luar dan dalam negara,krisis ekonomi yang melanda negara juga tidak kurang hebat tamparannya.Apa tidaknya,pusat persediaan bagi pelajar-pelajar ke luar negara (PPP di seksyen 18 Shah Alam) telah membekukan penghantaran pelajar ke luar negara.Pelajar-pelajar yang sepatutnya di hantar ke UK,US,Australia dan lain-lainnya telah mula diserap masuk ke Universiti-Universiti tempatan.Kami juga (pelajar ke Jepun termasuk PPKTJ,AAJ dan Mara) menerima tempiasnya,cumanya status kami sahaja yang belum diketahui.

Maka terjadilah situasi seperti kapal yang terumbang ambing.Para lecturer kami juga tidak dapat memberikan kata putus.Ada pelajar yang sudah mula tuang kelas.Mereka seperti sudah putus asa.Harapan untuk belajar le luar negara seperti sudah malap.Maka malam hari akan kedengaran ada kawan-kawan yang mendendangkan lagu "I beleive I can fly-R Kelly"

Patutlah Allah mentakdirkan kami diziarahi oleh Jemaah Tabligh.Ada hikmah rupanya.

Wak,
TDI.

No comments: