Thursday, June 9, 2011

:: Travelog Anak Kampung-4 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bertukar ganti.

Apa sahaja yang tua,pasti ada keterbatasan.Di tambah lagi tahap kemampuan yang dimiliki tidak dapat lagi menyaingi tahap kemampuan yang muda.Mungkin sebab itu,yang tua perlu ditukar kepada yang muda.

Jiran lama.

Tanah di sebelah kanan tapak rumah lama dahulu adalah milik Kak Minah dan suaminya Arwah Wak Rosmin.Di sebelah kiri pula adalah milik Arwah Wak Singkir.Tanah milik Wak Singkir di tanam dengan pokok getah.Seingat saya ketika usia saya sekitar 6 tahun,usia pokok getah di kebun Arwah Wak Singkir sudah sampai usia untuk ditebang bagi membolehkan pokok getah yang baru ditanam semula.

Bongkah yang dikumpul.

Sekadar gambar hiasan.

Melihat bagaimana pokok getah ditebang dengan menggunakan mesin tebang (chainsaw) adalah sesuatu aktiviti yang menarik perhatian.Habuk akan berterabur keluar bila sahaja mata mesin tebang bergesel dengan batang pokok.Batang pokok yang hendak ditebang terlebih dahulu dipotong sedikit berbentuk bongkah V pada arah mana pokok itu hendak ditumbangkan.Bongkah inilah nantinya saya kumpulkan untuk dijadikan tempat duduk 'mainan'.

Apabila pokok yang sudah ditebang tumbang menyembah bumi,saya akan meniti di atas batang pokok getah sebaik sahaja kerja menebang selesai pada sebelah petang.Untuk memanjat sebatang pokok getah mungkin bukan calang-calang halangan,tapi apabila ia sudah tumbang,saya boleh menjejakkan kaki saya sehingga ke pucuknya.

Batang pokok yang dikerat-kerat.

Antara kegunaan pokok getah yang sudah ditebang adalah dijadikan kayu api.Batang pokok getah akan dikerat mengikut panjang tertentu bagi memudahkan ia diangkat dan dipindahkan ke tempat yang sesuai.Apabila ia telah dipindahkan dari kebun getah,batang pokok getah tadi akan dibiarkan terjemur untuk proses pengeringan.Apabila ia sudah cukup kering,batang pokok getah tadi akan dibelah dengan kapak untuk dijadikan bilah-bilah yang lebih kecil.Kala ini ia telah menjadi kayu api.

Kayu api yang telah dibelah sekali lagi perlu dijemur.Ia akan disusun bersilang-silang membentuk segi empat.Biasanya bila kayu api sudah cukup kering,ia akan disusun pula di atas pelantar dibawah dapur kayu.Kulit kayu yang terpisah dari kayu api akan dikumpulkan untuk dijadikan umpan api ketika hendak menyalakan api untuk memasak.

Dahan,ranting tunggul yang tinggal.

Dahulu,kerana ketiadaan teknologi,pokok getah yang berumur tua akan ditebang dan kemudiannya dibakar.Tidak seperti sekarang,kayu getah masih mempunyai harga (malah kadangkala harganya melambung mahal) kerana ia kemudiannya diproses untuk dijadikan kayu perabut.

Maka selain proses menebang,proses membakar tunggul,dahan dan ranting yang tinggal juga amat menarik perhatian.Segala dahan dan ranting akan dilonggokkan setempat di atas tunggul pokok getah yang tinggal.Ia akan membentuk sebuah timbunan kayu.Apabila api dinyalakan,ia terus marak membakar longokkan kayu.Biasanya proses pembakaran akan memakan masa yang lama,kadangkala hingga menjelang maghrib.Tentunya pemandangan api diwaktu malam akan lebih indah disamping percikan bunga api yang keluar.Apabila hari semakin cerah keesokkan harinya,yang tinggal pada longgokkan kayu yang telah dibakar adalah abu dan kesan asap.

Subur.

Tempat bekas bakaran kayu dan tunggul menjadikan tanah dibawahnya turut terbakar.Ini kerana tanah gambut terjadi hasil reputan segala jenis hidupan.Maka kayu-kayu/akar reput yang ada di dalam tanah gambut juga turut terbakar ketika proses pembakaran kayu getah dibuat.Secara tidak langsung menjadikan tanah gambut tersebut menjadi tanah bakar.Tentu semua sedia maklum,bahawa tanah bakar adalah tanah yang subur dan sangat elok untuk dijadikan kawasan penanaman.

Minta izin.

Penduduk kampung yang berminat untuk bercucuk tanam biasanya akan meminta izin dengan tuan punya tanah untuk membolehkan mereka mengusahakan secara sementara di atas tanah yang telah siap proses membakar segala kayu yang tinggal.Ia diusahakan sementara menunggu anak getah di tanam dan membesar.Biasanya tanaman yang di tanam adalah tanaman kontan seperti sayuran dan keladi.

Wak Kusnon Kadimon (Mansur).

Arwah Wak Mansur adalah antara orang yang aktif bercucuk tanam di atas tanah Arwah Wak Singkir ketika itu.Walaupun rumahnya agak jauh terpisah dari kebun Wak Singkir,tanaman yang di tanam amat menjadi dan hasilnya juga lumayan.Ketika itulah saya mengenal pelbagai jenis sayuran dan tumbuhan kerana saban hari,tempat yang dijadikan kawasan permainan saya adalah kebun arwah Wak Singkir.Ketika bermain-main saya akan melihat-lihat kebun mini yang diusahakan oleh Arwah Wak Mansur.Ada pokok timun,gambas,kacang dan bermacam lagi.Paling saya ingat sehingga kini adalah buah labu air yang berwarna kuning (maaf tidak ingat namanya).Buah labu ini akan diracik-racik oleh arwah emak lalu dicampurkan dengan santan kelapa.Untuk diminum ia akan bertambah lazat sekiranya ditambah ais.Arwah emak kata hidangan itu namanya 'rocoh' dalam bahasa jawa.Hmmm…rasanya memang 'mabeles'.

Batang pokok yang tinggal.

Tidak semua batang getah yang dapat dibakar,terutamanya yang tumbang bersempadan dengan kebun getah orang lain.Makanya pokok getah itu akan terbiar begitu sahaja menunggu reput.Sebaliknya batang getah yang tinggal itu akan ditumbuhi dengan cendawan kecil (cendawan kukur).Cendawan ini tidak beracun dan boleh dimakan,cumanya proses mengutip cendawan berkenaan agak rumit disebabkan saiznya yang kecil.

Cendawan kukur.
(ehsan dari blogger)

Biasanya apabila arwah emak balik dari menoreh,sambil menunggu peluh kering saya akan diajak untuk mengutip cendawan kecil tersebut.Walaupun jenuh mengutip,apabila ia sudah di masak ditambah dimakan bersama nasi panas,rasa cendawan kecil yang sudah dimasak itu memang membangkitkan selera.

Rindu yang berulang.

Masakan dari air tangan emak sendiri tentu istimewa.
Adakah segalanya itu boleh dikecapi lagi?

Memori silam memang bisa menggamit kenangan.

Kesimpulan :

1. Hidup dikampung walaupun kadangkala jauh dari limpahan teknologi,tapi sikap tolak ansur serta bantu membantu membuatkan kehidupan antara kami saling cukup-mencukupi.
2. Berbudi kepada tanah memang memerlukan curahan keringat.Tetapi pulangan usaha yang dilakukan bisa menghilangkan kepenatan membanting tulang.
3. Makanlah dari sumber yang halal dan dari sumber yang baik.Bahan makanan yang segar adalah yang terbaik kerana makanan yang diawet adalah tidak baik untuk kesihatan.
4. Walau semaju mana pun kita berada,kenangan silam/sejarah tidak harus dilupakan.Ianya perlu dikongsi kerana tanpa kenangan silam/sejarah,kita mungkin tidak berada di tempat kita sekarang.
5. Rajin dan usaha tangga kejayaan.Selain itu kesihatan juga amatlah penting bagi memacu langkah menuju kejayaan.
6. Bumi dan segala isi alam ini bukan milik kita tetapi kita meminjamnya dari anak bangsa akan datang.

Moga perkongsian memberikan manafaat.

Wak,
TDI.

No comments: