Saturday, May 28, 2011

:: Melentur Buluh Biar Dari Rebung-Bahagian 4 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kisah ini sudah agak lama tidak bersambung.

Yang terakhir di sini (bahagian 3).

Sambungan.......

Report Card.

Semalam (27 Mei 2011) adalah hari terakhir persekolahan sebelum cuti semester (28 Mei~12 Jun 2011).Sebelum itu pihak pejabat SRIAS telah mengedarkan surat kepada ibubapa supaya mengambil slip keputusan penuh peperiksaan anak-anak mereka di sekolah.Maka semalam saya bersama Abdul Hadi,anak saya yang kedua telah pergi ke SRIAS untuk tujuan itu.

Tiba di sekolah,kelihatan murid-murid begitu bergembira menikmati makanan mereka kerana waktu saya tiba mereka semua sedang berada pada waktu rehat.Namun di dalam kelas masing-masing mualim/mualimah masih setia bersama dengan ibubapa yang hadir.Saya terus ke kelas 1 Ibnu Khaldun.Kelihatan Mualimah Aisyah sedang bertukar baton dengan Mualimah Siti ketika itu.Di dalam kelas masih ada 3 orang yang menunggu giliran untuk berjumpa dengan mualimah.Saya menunggu di luar.

Berbual-bicara.

Bersama saya ketika itu seorang bapa yang sedang dalam waktu bekerja,tetapi meluangkan masa ketika waktu rehat pejabat untuk menunaikan tanggungjawabnya di sekolah.Saya sempat berborak sebentar dengannya.Ceritanya,isterinya dahulu bekerja,tetapi disebabkan anak mereka semakin membesar dan tumpuan yang lebih pada keluarga perlu diberikan,maka isterinya kini bergelar suri rumah sepenuh masa.Kini anak yang sulung sudah di darjah 6 dan bersekolah tidak jauh dari taman perumahan tempat mereka tinggal.Begitu juga anak keduanya yang kini di darjah 4 sekolah yang sama.

Ceritanya lagi,

Sebelum menghantar anak lelakinya yang ketiga ini ke SRIAS,beliau tidak pun tahu akan kewujudan SRIAS.Tetapi setelah mendapat anjuran/cadangan dari seorang rakan,beliau telah menghantar anaknya ke SRIAS bermula dari pra-sekolah lagi.Sempat beliau bercerita akan kebimbangannya akan keadaan persekitaran yang ada kala ini.Hidup penuh cabaran dan dugaan,orang dewasa pun turut terkesan/terpengaruh dengan gejala tidak sihat,inikan lagi anak-anak yang masih terlalu muda untuk mengenal erti hidup.Niat beliau hanya satu,biarlah anaknya nanti membesar dengan asas agama yang kukuh,bila besar nanti walau sehebat manapun cabarannya ketika itu,anaknya tidak empuk walaupun direbus.Dengan erti kata lain,biarlah pendidikan agama yang diberi sejak kecil ini menjadi pendinding ketika anaknya besar kelak.InsyaAllah,anaknya itu akan disekolah pula di Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah (MTAS) bila sampai masanya kelak.Anaknya yang ke empat juga akan di hantar ke SRIAS.

Sedang seronok berborak dan bertukar-tukar cerita,sedar-sedar giliran kami telah tiba.Saya berikan laluan kepada beliau untuk berurusan dengan mualimah Siti.Manakala saya mendapatkan 2 orang anak saya yang khusyuk bermain di luar kelas.Abdul Hadi seperti menikmati ruang dunia yang ada.Walaupun saiz tubuh badannya kecil,jiwanya besar untuk bersama-sama Abdul Aziz menerokai segala pelusuk ruang yang ada di dalam kawasan sekolah.

Memasang telinga.

Sementara menunggu giliran,sempat saya mendepangkan cuping telinga menangkap apakah isi perbincangan di antara mualimah dengan ibubapa yang hadir.Ada yang berupa teguran,ada yang berupa maklumat,ada yang berupa perkongsian dan ada yang berupa cadangan.Dalam hati saya,apakah yang bakal saya 'tadah' sebentar nanti ketika berjumpa mualimah.Risaunya melebihi risau Abdul Aziz,yang saya kira riak mukanya langsung tidak menunjukkan sebarang kerisauan.Walhal yang mengambil keputusan peperiksaan dia,bukan saya.

Mengadap.

Tidak lama kemudian tiba giliran saya.Lalu saya panggil Abdul Aziz dan adiknya.Saya mengambil tempat di hadapan mualimah Siti,manakala anak-anak saya duduk disisi.Mualimah terus menerangkan serba sedikit tentang perkembangan anak saya,termasuk dengan tahap hafazannya.Alhamdulillah,ketika ditasmik hafazannya oleh mualimah bertugas,nampaknya tiada masalah yang timbul.

Kini tiba giliran Mualimah Siti menerangkan tahap pencapaian anak saya pada peperiksaan kali ini dan pra-ujian sebelumnya.Alhamdulillah,walaupun kedudukan keputusan peperiksaan anak saya tidak dapat duduk di puncak,tetapi tidaklah pula terlalu jauh duduk di dasar.Bagi saya pada peringkat awal ini,ia satu permulaan yang boleh dilonjak lagi.Biarlah ia bermula dari bawah.

Sesetengah sistem persekolahan amat mementingkan hasil keputusan peperiksaaan.
Ada sesetengah sistem persekolahan pula yang amat mementingkan perkembangan
anak-anak murid selaras dengan perkembangan umur mereka.Ibubapa juga begitu.

Saya tidak terlalu banyak bertanya tentang perihal keputusan peperiksaan itu dengan mualimah,kerana saya telah tahu lebih awal akan keputusan peperiksaan setiap matapelajaran anak saya.Ini kerana Abdul Aziz telah terlebih dahulu membawa keputusan peperiksaannya balik ke rumah setiap kali Mualim/Mualimah memulangkan kertas jawapannya.Ada juga yang saya sempat semak di laman web As-Saidiyah.Terima kasih atas perkembangan teknologi.Keputusan anak boleh mudah disemak on-line,tidak seperti kita dahulu.

Risau.

Namun di sebalik itu,ada sedikit kerisauan dalam dasar hati saya akan perilaku Abdul Aziz,terutamanya bila melihat perkembangannya ketika di rumah.Lalu saya ajukan soalan itu pada Mualimah Siti.Alhamdulillah,penerangan beliau serba sedikit melegakan kerisauan yang ada.”Abdul Aziz suka bersendirian dengan dunianya sahaja.Tetapi bukan berada di dunia yang asing.Tempat duduknya di depan di samping pintu masuk.Paling jauh dia pergi pun di meja belakangnya sahaja.Meja belakangnya pun murid yang bijak.Dia tidak bercampur dengan murid-murid yang lain.Dalam kelas ini ramai murid yang agak sukar mendengar kata.InsyaAllah,sepanjang saya mengajar,dia dapat menyelesaikan segala amanah/tugasan yang diberi.Malah,dalam murid lain tidak mengucap terima kasih,dia ucap terima kasih.Cuba dia ni manja sikit.” Mualimah menerangkan panjang lebar perihal Abdul Aziz ketika di sekolah.Input itu saya simpan dalam memori kemas-kemas.Saya kira,ada mesej yang hendak disampaikan kepada saya.

Sebelum saya pulang,saya bertanyakan tugasan apa yang perlu ditunaikan oleh saya dan Abdul Aziz sepanjang tempoh cuti sekolah.Mualimah berpesan kepada Abdul Aziz agar dapat menjaga solat.Bagi saya itu pesanan ringkas yang cukup bermakna.Walaupun ringkas,anak-anak ini kadangkala lebih terkesan dengan pesanan dari seorang mualim/mualimah berbanding dari seruan dan arahan dari ibu bapa mereka sendiri.

Sebelum beredar,sempat Mualimah Siti bertanya akan perkembangan Abdul Aziz tentang bacaan jawi,memandangkan beliau tidak mengajar matapelajaran itu.Saya mengatakan,berdasarkan keputusan peperiksaan,Alhamdulillah,tiada masalah.Beliau bertanya lagi dengan tahap pembacaan ayat-ayat Al Quran,”sudah habis iqra’? “.Saya dengan ikhlas menjawab,”Abdul Aziz membaca muqaddam belum pindah ke Al Quran lagi dan tidak pula membaca iqra’,hanya muqaddam.” Sambil mengangguk-angguk,beliau sempat bertanya,”Membaca ke mengeja”.Saya jawab,”Membaca.”

Kelebihan Iqra'.

Dengan senyuman mualimah berkongsi pengalamannya ketika mengajar.Iqra’ adalah satu sistem yang kanak-kanak akan mengenal huruf jawi 1 huruf ke 1 huruf.Kemudian huruf-huruf tadi disambung menjadi 2 huruf.Kemudian menjadi 3.Kemudian mengenal huruf jawi yang berbaris.Kemudian barulah disambung dengan mengenal ayat-ayat lazim.Begitulah secara ringkas sistem iqra’ 1~6,terang mualimah.Saya menyahut idea itu.InsyaAllah anak yang berikutnya saya akan cuba menerapkan dengan sistem Iqra’.

Beredar.

Saya tidak pasti berapa lama mualimah meluangkan masanya kepada kami.Tapi saya rasa agak lama.Mungkin tidak ramai ibubapa yang menunggu selepas saya.Namun memang cukup berkesan.Saya berpuas hati dengan hasil pertemuan dan perbincangan walaupun saya terpaksa bercuti semalam dengan meninggalkan timbunan gunung kerja yang perlu diselesaikan di pejabat.Menuju ke tempat letak kereta,saya bertemu dengan Habib,rakan Abdul Aziz semenjak di PASTI lagi.Katanya dia lapar dan kantin pula sudah tiada apa makanan yang dijual bahkan saya lihat ada sekeping duit seringgit di tangannya.Lantas saya membuka beg Abdul Hadi,saya berikan pada Habib goreng pisang,baki bekal dari ummi pagi tadi.Dia beredar kegembiraan.

Tersentuh.

Benar-benar tersentuh.Melihat anak-anak SRIAS berbaju melayu,yang perempuannya berjubah biru lengkap bertudung hingga ke paras dada pada hari Jumaat cukup mendamaikan mata dan perasaan.Suasana sekolah tetap sama,dengan hiruk pikuk pelajar,tetapi yang nyata kesan dari pembelajaran yang menitikberatkan sahsiah dan pembangunan akhlak amat memberi impak yang berlaianan.Di tambah lagi dengan para mualim yang bila bertemu /berselisih dengan bapa seperti saya,sempat memberikan ucapan salam sambil berjabat tangan bertanya khabar,tentu menyimpulkan impak yang ada.

Suatu hari nanti,bila anak-anak SRIAS sudah berjaya
dalam bidang masing-masing,moga mereka mengingati
uniform ini.Di sinilah mereka bermula......

Moga Allah SWT memberikan kekuatan dan istiqomah kepada kami semua.

Ya Allah,permudahkanlah urusan kami di dunia dan di akhirat kelak.Amin.

Wak,
TDI.

No comments: