Thursday, May 19, 2011

:: Kuliah Baru (siri 4) ::

Bismillah hirrahman nirrahim

Berikut di kongsikan catatan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-17 Mei 2011)

Menuntut ilmu perlu berguru.
-Ustaz Abdul Halim Abdullah.

Sedikit sedutan kuliah sebelum ini....

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Kualiti Diri.

Apabila kita hendak melihat kualiti diri yang ada pada seseorang itu,kita boleh menilai serta meneliti perbuatan dan perkataannya.Sesungguhnya sesorang yang memiliki bahasa/perbuatan yang baik adalah lebih bagus dari sesorang yang mempunyai amal yang banyak (cth : berzikir beribu-ribu) tetapi mempunyai akhlak yang teruk.

Hadith dari Nabi SAW :
...diambil dari buku yang dibincangkan
Asas Asas Islam (Modul Pembangunan Insan)

Pengajaran dari hadith di atas :
1. Supaya kita sentiasa berusaha untuk membaiki akhlak kita.
2. Nilai sesorang individu itu adalah pada akhlaknya.

Mana letaknya akhlak?

Di dalam Islam :
-AKIDAH adalah ibarat AKAR kepada sebatang pokok.
-IBADAH pula ibarat BATANG sebatang pokok.
-Manakala AKHLAK pula adalah BUAHnya.

Dalam usaha,niat dan tujuan kita menanam pokok adalah bertujuan untuk mendapatkan buahnya /hasilnya.Biarpun pokok yang di tanam bersaiz kecil,apabila ia mengeluarkan hasil maka ia lebih berharga dari pokok yang bersaiz besar tetapi tidak memberikan sebarang hasil.

Akhlak penentu hala tuju.

Dalam menentukan sesuatu hala tuju samada dalam skala kecil (contoh : keluarga) mahupun dalam skala besar (contoh : syarikat/negara),apakah yang perlu dititik beratkan/ditekankan?

Dalam skala kecil :

Dengan memahami kepentingan hala tuju dalam hidup adalah pembangunan akhlak,para ahli yang mendokong keluarga (suami,isteri) perlulah bersungguh-sungguh untuk menjaga dan memperbaiki akhlak mereka serta segala ahlinya.

Sebagai contoh,ibubapa yang peka tentang pentingnya pembangunan akhlak hendaklah sama-sama berkongsi idea/fikrah ini dengan masyarakat sekeliling yang berhubung dengan mereka.Mungkin boleh dianjurkan kepada guru-guru yang membuka kelas tambahan agar mereka memulakan kelas tambahan mereka selepas solat isya’.Sementara menunggu waktu itu,ibubapa boleh mengisi waktu di antara solat maghrib dan isya’ dengan membawa anak mereka ke masjid/surau untuk mendengar kuliah maghrib.Kerana dengan mendengar kuliah maghrib inilah nanti akhirnya akhlak akan dibina dan terbina berdasarkan input ilmu yang disampaikan oleh para-para ustaz.

Dalam skala besar :

Pada zaman sahabat r.a dengan pegangan akidah yang teguh,ibadah yang kuat dan dilengkapi dengan akhlak yang mulia,mereka telah memasuki dan memerintah beberapa negara yang baru (contoh : Turki, Iran,Iraq,Mesir).Apabila mereka telah mengalahkan tentera musuh,lalu berlakulah pertembungan dengan pembangunan material (yang dimajukan oleh pihak musuh sebelumnya) dengan pembangunan akhlak mulia (yang ditinggalkan hasil didikan/tunjuk ajar dari Rasulullah SAW).Maka dengan sebab itulah terhasilnya pentadbiran yang tiada tolok bandingnya sehingga ke hari ini.

Sabda Nabi SAW, "Alangkah baiknya harta yang baik di tangan orang yang baik." (Riwayat Ahmad)

Contohnya,ketika Said bin Abi Waqqas r.a (salah seorang sahabat Nabi yang di janjikan syurga) memimpin tenteranya masuk dan menawan Iraq,mereka sebenarnya memasuki sebuah negara yang memiliki pembangunan yang hebat (contoh : Taman Babylon,Istana Putih).Lalu Said bin Abi Waqqas r.a ketika itu membaca ayat Al Quran :

"Banyak sungguh kebun-kebun dan matair, mereka tinggalkan.Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah.Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.Demikianlah! Kami (Allah) wariskan kepada kaum yang lain." (Ad-Dukhaan 44:25~28)

Kemudiannya,dengan segala keberkatan hasil dari ajaran yang diwariskan oleh Nabi SAW,disambung pula oleh para sahabat Baginda SAW,akhirnya muncullah kemudiannya sehebat-hebat negara yang di panggil kerajaan Abbasiyah dan di antaranya lahirlah Khalifah Harun ar-Rasyid yang juga telah menubuhkan universiti pertama di dunia iaitu Baitul Hikmah.Semuanya berdasarkan dari akidah,ibadah dan akhlak,yang akhirnya terhasillah pembangunan (kemajuan dan teknologi) yang unggul.

Hadith dari Nabi SAW :
...diambil dari buku yang dibincangkan
Asas Asas Islam (Modul Pembangunan Insan)

Pengajaran dari hadith di atas:
1. Nabi SAW mengajar kita untuk menghubungkan iman dan amal dengan akhlak.
2.Kita mesti menjadi agen kepada mengekalkan/penyambung silaturrahim.

Ibadah dan implikasinya pada akhlak :

1.Solat.
-Allah mewajibkan ibadah Solat dan implikasinya solat dapat mencegah dari pelakunya membuat perkara keji dan mungkar.

2.Puasa.

Hadith dari Nabi SAW :
-Maka jangan di lihat kepada pengharaman sementara
makan dan minum.Bahkan ia dikira langkah terus
menerus menghalang jiwa daripada tindakan hawa nafsu
yang terlarang dan perbuatan mungkar.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183)

-Maka implikasinya,orang yang berpuasa akan menjadi orang yang bertaqwa.

Kunci dunia.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd:11)

Sebab itulah sahabat Nabi SAW berjaya dengan cemerlang.Ini disebabkan mereka telah mengubah diri mereka dari jahiliyah kepada Islam dan akhirnya mereka dapat kunci untuk mentadbir dunia.

Adil itu akhlak.
Barack Obama dalam ucapan pertamanya selepas dilantik menjadi Presiden Amerika ada menyebut bahawa Amerika boleh mentadbir dunia bukan kerana kekayaan yang mereka miliki ataupun kecanggihan senjata yang mereka ada (walaupun hakikatnya mereka miliki segalanya iaitu kekayaan dan kekuatan senjata),tapi disebabkan oleh keadilan,hak kebebasan bersuara dan kesungguhan yang mereka semua miliki.

Barack Obama juga menyebut,jika 100 tahun dahulu seorang wanita di Atlanta yang berumur 107 tahun tidak dapat hak untuk mengundi disebabkan alasan yang tertentu,tapi disebabkan keadilan yang ada sekarang maka wanita itu dapat mengundi selepas 100 tahun.

Kita dapat lihat di sini,walau secara umumnya mengetahui Amerika dikaitkan dengan banyak kemusnahan dimuka bumi ini (disebabkan perang) tetapi keadaan di dalam negara mereka ditadbir dengan penuh adil dan saksama dari segi hak dan tuntutan.Maka sebab itulah kita dapati Amerika menjadi 1 kuasa besar sehingga kini.

Hakikatnya apa yang sedang berlaku?

1.Faham akan hakikat ini (peri pentingnya akhlak),dunia barat akan sentiasa memastikan yang dunia Islam yang ada ini akan sentiasa diperintah.Jadi,mereka akan sentiasa memikir dan merancang agar akhlak ummat Islam juga sentiasa rosak.Sebab itulah mereka sentiasa mengolah agar artis-artis,filem-filem dan gambar-gambar lucah tersebar meluas ke mana sahaja.Ini tidak lain dan tidak bukan bagi memastikan ummat Islam akan lalai/rosak akhlaknya dan kita sentiasa di bawah.

2.Kita ummat Islam sebenarnya bukan kalah dengan tekanan senjata.Ummat Islam menang ketika perang di Gaza walau dihimpit,ditekan dengan hebat dan hanya berbekalkan dengan senjata yang seadanya.Tetapi sebenarnya kita terus dijajah dan ditekan sebab akhlak dan jati diri kita yang rendah,suka mementingkan diri sendiri,penyelewengan kuasa dan rasuah yang akhirnya menjadikan ummat Islam terus sahaja di bawah.

Pengajaran :

1.Turun naik sesuatu ummat adalah disebabkan mutu/kualiti akhlak yang ada di dalam ummat itu sendiri.
2.Kita wajib membaiki akhlak kita dahulu sebelum dapat mengatasi kuasa besar yang ada kini.
3.Hakikat yang sangat penting adalah kita bukan sahaja memastikan akhlak kita dan keluarga kita juga baik bahkan kita wajib juga mengajak dan membawa masyarakat umum agar mempunyai akhlak yang baik/mulia juga.

Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.

p/s : Mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'SELAMAT HARI GURU' kepada semua warga guru/pendidik.Jasamu dikenang!

Wak,
TDI.

No comments: