Berikut di kongsikan hasil catitan dari kuliah maghrib yang telah di sampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah (Masjid Paroi Jaya-24 May 2011)
Buku yang di kupas.
Sihat.Tidak semua orang yang makan itu akan menjadi sihat.Malah ada manusia yang makan tetapi mempunyai penyakit yang lebih teruk dari manusia yang tidak makan.
Begitu juga dalam beribadah.Ibadah yang dibuat tanpa keikhlasan yang sebenar dan tanpa mengikut syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT mengikut apa yang diajar oleh Baginda Nabi SAW,maka kesan yang sepatutnya berlaku tidak akan diperolehi/dikecapi.
Hadith Nabi SAW.
Dengan kata lain,apabila kita makan makanan yang berkhasiat serta mengikut peraturan (tidak makan berlebihan dll.) maka tubuh badan kita akan sihat dan cergas.
Begitu juga,ibadah seperti solat yang dibuat mempunyai roh,maka kesan kepada si pengamalnya akan dapat diperolehi.
Implikasi.
1."Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-'Ankabuut 29:45)
2."Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah 2:183)
3."Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (At-Taubah 9:103)
4.(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah 2:197)
Dari ayat dan tafsir yang dipetik dari Al Quran di atas membuktikan ibadah yang di fardhukan oleh Allah SWT (contoh : Ibadah dalam Rukun Islam) selain dari wajib dipraktikkan/di amalkan ia juga dapat memberi impak/implikasi agar akhlak pengamalnya dapat berubah menjadi baik.
Negara Islam.
Tertegaknya sebuah negara Islam yang sebenar adalah disebabkan adanya akhlak yang berkembang dengan baik di dalamnya.Negara Islam bukanlah tertegak semata di atas peruntukkan/undang-undang yang ada.Undang-undang yang ada adalah bagi mencegah kemaksiatan/kezaliman/kemungkaran.
Kisah tauladan.
Ada kisah yang penuh dengan tauladan akhlak apabila ada seorang lelaki mengembara di sebuah negeri di Turki.Apabila lelaki tersebut mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di sebuah masjid,ada seorang penduduk tempatan perasan akan kedatangan lelaki tersebut.Lalu lelaki tersebut dijemput untuk bermalam sahaja di rumah mereka.
Sampai di rumah mereka,lelaki berkenaan diberikan tempat tidur serta salinan pakaian yang merupakan pakaian anak lelaki mereka.Lelaki berkenaan dilayan dengan baik sebagai tetamu.
Bangkit dari tidur keesokkan harinya,lelaki berkenaan mendapati pakaian miliknya sudah siap dicuci dan lengkap digosok rapi.Stokinnya yang berlubang pula sudah siap dicuci dan dijahit.Mendapati dia dilayan dengan penuh kebaikan walaupun mereka saling tidak mengenali,lelaki tersebut mengucapkan ribuan terima kasih sebelum mereka berpisah.
Kisah di atas jarang berlaku,tetapi masih boleh kita ketemui ditempat-tempat di mana masyarakatnya memang menitik-beratkan tentang akhlak sesama manusia.
Sunnatullah.
Akidah adalah akar,ibadah adalah pokok manakala akhlak adalah buahnya.Dari buah/hasil yang baik maka nanti lahirlah generasi/masyarakat yang berkualiti.Kemudiannya nanti secara tidak langsung agenda pembangunan dan kemajuan dapat terhasil dengan berkesan dan mendatangkan menafaat kepada semua pihak.
Kemajuan dan Pembangunan.
Pembangunan dan kemajuan yang direka,dilaksana dan dikecapi bukanlah dari 1 sudut iaitu pembangunan ekonomi sahaja,tetapi ia menyeluruh sehingga ke segenap sudut.Untuk itu,peri pentingnya kita menitikberatkan agar tiada langsung faktor yang dapat merosakkan akhlak masyarakat.Kerana jika ini diabaikan maka tunggulah bahawa kemajuan yang kita kecapi akan kembali mundur disebabkan mutu akhlak yang tidak baik.
Dengan erti kata lain,sekiranya pembangunan dan kemajuan hanya diletakkan kepada faktor kekayaan dan material semata (tidak mengikut sunnatuLlah) maka pembangunan dan kemajuan seperti ini akan akhirnya merosakkan masyarakat,malah lebih teruk lagi ia mendapat murka Allah SWT.
Jaluran Iman.
Biarlah kita yang menjadi agen kepada akhlak yang baik turut sama memberikan kesan kepada orang di sekeliling kita.Jangan biarkan IMAN kita berlegar-legar hanya disekeliling diri kita sahaja.Moga dengan tutur kata kita yang baik,nasihat yang penuh berhemah tanpa mengguris mana-mana pihak,sifat dan tolak ansur yang kita tunjukkan maka akhlak yang baik ini dapat dirasai oleh anak dan ahli keluarga,tetangga serta masyarakat sekeliling.
Maka apabila ini berlaku,masyarakat sekeliling yang melihat keadaan sedemikian sedikit demi sedikit akan meniru sifat dan akhlak kita itu.Akhirnya,keluarga kita dijadikan tauladan dan contoh,maka di setiap jalan dan lorong di tempat kita tinggal,para penghuninya terjaga amalan dan akhlak mereka,nantinya melahirkan masyarakat yang berakhlak dan menjadi penyebab membangunnya sebuah negara yang maju dan dicontohi.
Moga perkongsian dapat memberikan menafaat.
Wak,
TDI.
No comments:
Post a Comment