Bismillah hirrahman nirrahim.
Nun di sana kokokan ayam jantan yang sayup sayup kedengaran mula bersahut sahutan.Sahutan yang bersambung sambung itu terus sahaja memecah kesunyian dan kedinginan pagi hari yang amat damai.Entah apa yang di sahutkan oleh si Jaguh-Jaguh berkenaan.Kata seorang Ustaz,Ayam berkokok tanda nampak malaikat....Wallahua`lam.
Begitulah suasana bila dapat sekali sekali balik ke kampung.Kampung yang menjadi saksi kepada pengembaraan ku di dunia ini dari usia kecil sehinggalah ke umur dewasa.Di setiap lekok lekok pada jalan masuk kampung mungkin ada kisah dan peristiwa yang termendap dan tidak mungkin dapat di turap sekalipun jalan kampung kini tidaklah sedaif dahulu kala.
Kampung yang tidak lah semaju pekan besar,namun jiwa jiwa yang bermastautin di dalamnya hidup dengan penuh azam walau kerjanya hanyalah bertani.Ku lihat rumah rumah jiran sebelah mula di terangi dengan lampu yang seketika malam di padamkan.Walaupun masih awal pagi,mereka telah bangkit dari tidur bagi memulakan hari baru seawal mungkin.
Tiba-tiba fikiran ku seperti mahu mengimbas kenangan lama.....
Antara yang menggamit kenangan tentang suasana kampung adalah,panorama kampung bila masuk sahaja waktu senja.Kegelapan malam yang mula melabuhkan tirai hitamnya akan di sulami dengan cahaya samar samar.Api dari lampu minyak tanah akan melentuk liuk kanan dan kiri.Walaupun terlalu suram cahayanya,itulah sebenarnya cahaya yang penuh dengan kebaktian.Kalau adapun cahaya yang agak terang,adalah dari lampu gasolin,itupun cukup sikit jumlahnya.
Entah mengapa,memori ku terus sahaja pergi jauh kebelakan.....
Awal umur remaja,aku bersama sama beberapa orang sahabat telah pergi bertamu ke sebuah masjid di sebuah kampung.Pemandangan kampung berkenaan memang agak menarik kerana lautan sawah bendang yang terdampar luas.Seluas mata memandang jaraknya,seakan-akan sawah padi itu terhampar kehijauan sehinggakan seperti kaki gunung itu menjadi batas pandangan.Dan masjid kampung itu menjadi pelengkap pemandangan dengan duduk letaknya betul betul di tengah tengah sawah bendang berkenaan.
Setelah terlebih dahulu meminta izin dari ketua kampung untuk bertamu di masjid kampung tersebut,kami pun melabuhkan lelah perjalanan musafir ketika itu di serambi masjid.Sambil pemandangan di lontarkan nun jauh di kaki gunung,angin lembut pula menyambut kami dan menyapu keringat yang tadinya mula menitis dari hujung dahi.Sahabat yang lain pula mengambil kesempatan membasahkan tekak dengan air yang di ceduk dari kolah tempat orang mengambil wuduk.Kelihatan juga Abang Hamid cuba membetulkan sandarannya di tiang tangga sambil kakinya di luruskan.Setelah seketika dan lelah dapat lepaskan, ku lihat seorang demi seorang sahabatku mula menyempurnakan wudhu masing masing dan terus bergegas ke dalam masjid bagi menunaikan solat Tahiyatul Masjid.Aku perlahan lahan memimpin Abang Hamid ke tepi kolah sambil ku cecahkan tangannya ke dalam air.Lantas dia pun mula menyempurnakan wudhunya.
Setelah aku juga turut menyempurnakan wudhuku,sekali lagi aku memimpin Abang Hamid untuk masuk semula ke dalam masjid.Dengan langkah kanan dan doa "Allahummaftahlii abwaa ba rohmatik" aku terus sahaja membaca niat iktikaf.
Masuk sahaja ke dalam masjid,aku terus memimpin tangan Abang Hamid untuk ku tunjukkan tempat meletak barang yang berada betul-betul di penjuru masjid.Ku biarkan Abang Hamid seketika di situ sambil ku perhatikan dia mengambil sesuatu dari dalam beg bajunya.Setelah semuanya selesai,kutanyakan padanya dimanakah ia mahu menunaikan solat Tahiyatul Masjidnya.Katanya di belakang tiang masjid yang paling hadapan.Aku yang cuba memahami kehendak Abang Hamid itu,terus sahaja membawanya ke tempat yang di kehendaki tadi.Aku perbetulkan arah berdiri Abang Hamid agar betul betul menghadap kiblat dan aku pun membiarkannya dengan urusannya di situ.
Aku pula maju beberapa langkah dan memilih di tepi sudut masjid untuk melakukan solat Tahiyatul Masjid.Sungguh kurasakan kedamaian suasana pagi ketika itu menemani aku ketika aku mengangkat Takbiratul Ihram.Aku biarkan kesepian dan keheningan itu menyelubungi ruang lingkup yang ada dan ternyata ia menghadirkan rasa syahdu di dalam hati ku.
Baki kesejukan suasana pagi masih lagi bersisa kurasakan tika aku menyelesaikan solat sunat dhuha ku.Lalu suasana yang masih hening ketika itu ku ambil kesempatan untuk memanjatkan doa dengan hati yang penuh harapan,
"Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu,kecantikan itu ialah kecantikanMu,keindahan itu keindahanMu,kekuatan itu kekuatanMu,kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit,turunkanlah dan jika ada di dalam bumi,keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah,jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh."
Selesai membaca doa,aku terus sahaja menarik nafasku dalam-dalam.Ternyata,udara segar dalam masjid yang dikelilingi oleh sawah bendang itu turut memberikan kesegaran minda.Seketika aku menoleh pada Abang Hamid,dia masih berteleku di atas hamparan riddahnya.
Di satu sudut lain,Abang Sufian telah mula mencari cari tempat yang sesuai untuk kami memulakan aktiviti di dalam masjid.Seperti biasa bila Abang Sufian sudah membuka rehalnya dan buku Fadhail Amal di letakkan di atasnya,maka serentak kami akan membuat bulatan kecil berdekatan dengan tempat rehal itu diletakkan.Setelah Abang Sufian mengambil tempat duduknya aku kembali mendekati Abang Hamid untuk memimpinya pula duduk di dalam bulatan berkenaan.
Setelah kami semua selesai membaca Al Fatihah sebagai pembuka majlis,Abang Sufian pun menerangkan kepada kami semua adab adab di dalam masjid.Aku,Abang Hamid,Jali,Latif,Saring dan Aripin mendengar penerangan Abang Sufian dengan penuh teliti.Walau adab-adab di dalam masjid sudah agak kerap kali kami dengar dan baca,namun kerana gusar terlupa mana-mana adab terutamanya yang agak remeh,kami bukakan telinga untuk menadah isi-isi penting.
Selesai sahaja menerangkan adab-adab di dalam masjid,Abang Sufian mula membahagi bahagikan tugas.Jali telah menempah tugas Taam (menyediakan makanan) sambil di bantu oleh Abang Sufian.Aripin dan Saring pula bertugas menjaga kebersihan kawasan dalaman dan luaran masjid,Latif pula akan menjadi perantara antara jemaah kami dengan AJK Masjid memandangkan dia adalah orang tempatan dan aku pula di beri tugas khas untuk menjadi pembantu kepada Abang Hamid yang mengalami masalah penglihatan.
Sedang masing masing memulakan tugas,aku pula mendekati Abang Hamid yang sedang duduk berehat.Aku katakan padanya yang aku akan tunjukkan beberapa tempat asas di kawasan masjid.Abang Hamid menyambut pelawaan aku dengan wajah yang penuh dengan senyuman.Lalu aku pun membawa Abang Hamid ke hadapan masjid dan ku tunjukkan arah mihrab dan mimbar masjid.Selang beberapa ketika,aku membawa Abang Hamid menuruni tangga masjid untuk kutunjukkan sekali lagi tempat untuk berwudhu.Memandangkan kami sudah ada di luar,aku terus membawa Abang Hamid ke bangunan tandas dan bilik air Masjid.Dari situ aku membawa Abang Hamid ke tempat Jali menyediakan makanan bersama Abang Sufian.Memandangkan ketika itu sudah hampir waktu zohor,aku bersama sama Abang Hamid pun pergi mengambil wudhu.
Aku saat itu,memilih mengambil wudhu di pinggir perigi yang aku percaya airnya cukup dingin untuk menyejukkan anggota badan yang sudah mula berpeluh di sapa panas matahari.Setiba aku di pinggir perigi,ku turuni tangga perigi perlahan lahan.Kaki yang mula mencecah gigi air sudah mentafsir kadar kesejukannya.Maha Suci Allah…dalam hati aku memuji Kebesaran Illahi atas penciptaanNya.Walaupun terik mentari memanah segenap pelusuk alam dan aku sendiri terasa kebahangannya namun makhluk yang bernama air tidak pula menjadi panas.
Tersedar bahawa Abang Hamid sedang menunggu aku di tempat wudhu,aku bergegas berkumur kumur dan membasuh tangan.Bila air perigi mula membasahi mukaku,dapat kurasakan segala urat-urat saraf di mukaku mula memberikan tindakbalas diluar kawal.Kesejukan air perigi itu benar benar melegakan bahang tengahari.Selesai menyempurnakan wudhu,di tepi perigi itu juga ku panjatkan doa,
"Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah,wa asyhadu anna Muhammadan 'Abduhu wa rasulluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin waj'alni min ‘ibadikassolihin."
"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah,tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Ya Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri dan jadikanlah aku dari kalangan hamba yang soleh."
Selesai berdoa,mataku mula meliar mencari kelibat Abang Hamid di tempat wudhu.Ternyata tiada.Yang tinggal hanyalah lopak aliran air wuduk.Aku cuba meninjau ke tepi tangga surau.Aku seperti mengecam kasut yang di pakai oleh Abang Hamid sudah di berada di sana.Mungkin ada sesiapa yang memimpin Abang Hamid masuk ke dalam masjid.
Di dalam masjid kelihatan beberapa susuk tubuh sedang mendirikan solat sunat.Dari susuk susuk tubuh berkenaan,ada beberapa orang tempatan yang sudah sama sama masuk ke dalam masjid sambil menunggu waktu zohor.Di belakang tiang paling hadapan kelihatan Abang Hamid sedang solat sunat.Hati berasa reda sebab Abang Hamid sudah berada di tempatnya.Agak gusar juga seketika tadi memandangkan ketika itu aku pertama kali di tugaskan menjadi pembantu Abang Hamid.Kalaulah terjadi apa apa pada Abang Hamid,tentu akulah yang perlu bertanggungjawab.Ternyata Allah masih sayangkan hamba-hambaNya.
Tatkala matahari mula menggelincirkan dirinya,azan zohor pun di kemundangkan oleh Tok Bilal.Aku pula sambil telinga mendengar azan,pandangan mata ku pula ku arahkan ke luar masjid melihat kehijauan daun padi yang di simbah terik matahari.Tidak ketinggalan juga sayup sayup pemandangan orang-orang yang di pacak di tengah bendang bergerak-gerak di tiup angin.Namun tuan punya bendang tidak nampak kelibat di mana mana sudut bendang.Mungkin mereka sudah berehat rehat di pondok sambil menjamu selera dengan bekal makanan yang di bawa.Tidak kurang juga yang menyempatkan diri dari kesibukan di sawah bendang untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.Rata-rata penduduk tempatan ku kira mereka bekerja keras membanting tulang empat kerat di sawah bendang.Tenaga yang di kerah bukan sedikit jumlahnya.Namun masih ada di antara mereka yang sedar akan tanggungjawab mereka dalam amalan beragama.
Sambil bibir kumat kamit menjawab seruan azan,entah mengapa jiwaku seperti tidak dapat di tahan tahan untuk menyelami ke dalam jiwa-jiwa kental si pemilik sawah sawah bendang berkenaan.
Teringat kata kata dan pesanan ustaz,dengan menjawab seruan azan dan berdoa selepasnya,Rasulullah SAW akan memberikan safaatnya ketika di padang Mahsyar kelak.
Selesai sahaja azan di kumandangkan aku sekali lagi menadahkan tangan berdoa,
"Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."
Aku cuba menenangkan jiwa ku buat seketika sebelum solat bermula.Dalam pada itu aku melangkah ke tempat Abang Hamid berada lalu aku bawanya ke tempat saf solat.Lalu aku pun berdiri solat di sisinya.
Selesai solat berjemaah dan solat sunat aku melihat Aripin,Latif dan Saring menyantuni penduduk tempatan.Mungkin ada sesuatu yang mereka bincangkan.Aku pula membantu Jali di tempat Taam setelah mendapat persetujuan dari Abang Sufian dan Abang Hamid.Kebetulan pula Abang Hamid ingin menyertai mereka yang sedang menyantuni penduduk tempatan,jadi dapatlah aku meluangkan masa bersama Jali.
Di tempat Taam,aku melihat Jali sedang bertungkus lumus menyiapkan hidangan.Aku terus sahaja mencapai talam makan untuk di lap dan aku mencari juga kain safrah untuk di hamparkan sebagai alas makan.Setelah segalanya selesai,Jali pun memberitahu kepada Abang Sufian.Abang Sufian pun mempersilakan yang lain untuk makan tengahari.Turut serta makan tengahari ketika itu adalah beberapa orang penduduk tempatan yang di santuni oleh mereka sebentar tadi.
Selesai sahaja makan tengahari,Abang Sufian memberitahu,kami boleh membuat aktiviti bebas sehingga sebelum asar,kerana sebelum asar akan ada sedikit tazkirah ringkas yang akan di sampaikan sendiri oleh Abang Sufian.
Selesai sahaja aku membantu Jali mengemas,aku kembali ke dalam masjid.Aku bertanyakan kepada Abang Hamid adakah dia mahu melenakan matanya seketika.Mendengar pertanyaan ku,dia terus mengajak ku ke tempat letak barang.Kami terus sahaja menghampar kain untuk di jadikan alas tidur lalu membiarkan mata terbuai lena.
Sedar dari lena hanyalah bila Saring mengerak-gerakkan hujung kaki ku.Terasa kenikmatan tidur masih tersisa lagi.Namun ku gagahkan diri untuk bangun lantas mengambil wudhu.Kesejukan air terus sahaja menghilangkan baki rasa mengantuk yang dari tadi menguasai diri.
Bila masuk semula ke dalam ruang masjid,Abang Sufian telah bersedia di sisi rehal.Bila semua antara kami duduk membentuk bulatan,Abang Sufian pun memulakan bacaan Kitab Fadhail Amal.Satu yang aku sedari,Abang Hamid telah dahulu duduk di dalam bulatan mendahului kami semua.Mungkin Abang Sufian yang membawanya ke situ.Lalu selepas itu,satu demi satu hadith Rasulullah SAW di baca oleh Abang Sufian.
Kami mendengarnya dan mengutip setiap hadith mengenai fadhilat amal yang di bacakan.
Majlis tazkirah petang itu di tangguhkan sejerus sahaja sebelum tiba waktu asar.
Sejurus sahaja azan di laungkan,solat Asar pun didirikan secara berjemaah.
Selesai berwirid dan berdoa,kami sekali lagi membuat bulatan untuk bermesyuarat tentang aktiviti kami selepas itu.Abang Sufian menerangkan bahawa 2 orang sukarela di perlukan untuk menyertainya bersama-sama dengan Latif untuk menziarahi penduduk tempatan yang berdekatan.Lantas setelah kesepakatan di bentuk,tinggalah aku,Abang Hamid dan Jali di dalam masjid untuk meneruskan amal zikir dan doa sambil menunggu waktu Maghrib.
Hampir waktu maghrib,barulah aku dapati kumpulan Abang Sufian muncul semula ke arah masjid dari menziarahi penduduk tempatan.Kami pun terus sahaja bersiap siap untuk solat Maghrib.
Sebelum kegelapan memenuhi ruang malam,nampak satu susuk tubuh menuju ke satu arah di sisi luar masjid.Rupanya susuk tubuh itu menghidupkan enjin generator yang di letak di stor barang.Seketika ruang masjid telahpun di limpahi cahaya putih.Sejurus kemudian terdengar laungan azan di kumandangkan dan pembesar suara melontarkan bunyi azan itu agar dapat di dengari oleh penduduk kampung.
Malam yang menjadi pembatas pandangan telah di buka tirainya dengan para jemaah menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah.Selepas solat fardhu,setelah mendapat keizinan Tuan Imam,Abang Sufian sekali lagi menyampaikan tazkirah ringkas,kali ini di hadapan semua jemaah.Buah butir percakapan Abang Sufian amat jelas bunyinya.Satu demi satu perkataan keluar dari mulutnya seolah olah berjaya menaut hati kami supaya mendengarnya dengan penuh perhatian.Daku sempat mengerling keadaan sekeliling ku,mereka yang lain turut sama memberi perhatian dengan pengisian yang Abang Sufian sampaikan.Betapa sungguh Kebesaran Allah SWT yang memilih kami untuk berada di dalam majlis ilmu berkenaan.Sekiranya Allah SWT tidak menakdirkan kami duduk di majlis itu,di manakah kami agakanya ketika itu.
Majlis ilmu di tangguhkan beberapa minit sebelum masuk waktu Isya`.Kelihatan para Jemaah mula menuju ke tempat wudhu.Aku mendekati Abang Hamid untuk bertanyakan keperluannya.Memandangkan Abang Hamid mengatakan wudhunya masih belum terbatal,aku terus sahaja turun ke kolah untuk mengambil wudhu.
Usai solat Isya’,Jali dan Abang Sufian menjemput semua jemaah yang ada untuk menjamu selera dengan juadah yang telah disediakan.Nampak ketika itu ikatan ukhwah antara kami dengan penduduk tempatan mula terjalin erat.Sekali lagi butir-butir pujian ke Hadrat Illahi ku sebut di dalam hati.
Apabila jemaah semua sudah menjamu selera,mereka seorang demi seorang meninggalkan masjid.Sempat kami titipkan pesanan agar mereka dapat hadir untuk solat subuh keesokan harinya.Nampak riak di wajah mereka menggambarkan mereka menyambut pesanan kami dengan hati yang penuh dengan keterbukaan.
Abang Sufian menutup aktiviti malam itu dengan sedikit mesyuarat dan menerangkan adab-adab tidur kepada kami semua.Selesai sahaja majlis tersebut,aku cuba gigihkan semangat untuk memulakan bacaan surah Al Waqiah sebelum masuk tidur.Begitulah yang di pesan oleh Abang Sufian seketika itu.Dengan bertemankan cahaya lilin dan dalam keadaan mata yang hampir terkatup,dapat juga akan menghabiskan bacaan surah Al Waqiah malam itu. Kata Abang Sufian lagi,sebelum kita tidur elok merenung dahulu segala apa yang telah kita lakukan sepanjang 1 hari.Ini bagi menyedarkan diri sendiri tentang mana-mana dosa yang telah kita lakukan dan kita minta ampun pada Allah SWT sebelum kita tidur.Manakala bacaan surah Al Waqiah pula bagi mengingatkan hati tentang Hari Akhirat kerana di dalam surah Al Waqiah,Allah SWT menyebutkan tentang apa yang akan terjadi waktu itu.
Selesai mencium Al Quran tersebut,aku bingkas bangun untuk meletakkan Al Quran yang kubaca tadi ke tempatnya semula.Sempat aku menoleh pada Abang Hamid yang masih duduk berteleku di tempat biasanya di belakang tiang.Khusyuk nampaknya dia walaupun duduk dalam kegelapan yang makin lama makin pekat.Hanya bunyi biji tasbih sahaja yang kedengaran dari susuk tubuh itu.Mungkin Abang Hamid ingin menghabiskan zikir malamnya.Aku membiarkan sahaja dia tanpa mahu mengganggu.Lagipun dalam diam,tanpa aku sedari sebenarnya Abang Hamid sudah boleh bergerak ke tempat tertentu tanpa aku pimpin.Agaknya apakah yang di jadikan panduan oleh Abang Hamid ketika mengorak langkah.Aku sendiri dalam keadaan yang serba gelap yang pekat likat ini,walaupun dengan mata yang berfungsi baik sekalipun masih teraba-raba kerana takut terlanggar tiang masjid.Maha Suci Allah SWT yang Maha Adil terhadap seluruh hambaNya.Makhluknya yang buta kadangkala hatinya bercahaya lebih dari yang celik.Agaknya cahaya itulah yang membantu Abang Hamid.Wallahua`alam.
Aku terus menuju ke tempat pembaringan.Aku kibas beberapa kali lantai masjid yang hendak di jadikan tempat tidurku dengan kain selimut.Kain selimut itu tadi pula dijadikan alas tidurku.Ku capai bantal kecil yang ku bawa dan aku baringkan sekujur tubuh badanku.Lelah sepanjang hari akan ku cuba luputkan dalam tidurku.Sambil mata melirik kanan dan kiri,aku panjatkan doa agar Allah memberi kekuatan padaku untuk bangun Tahajjud pada malam itu.Entah jam berapa,mata dan jiwa ku pun hanyut dalam arus angin malam.
Enaknya nikmat tidur yang di kurniakan Allah kepada hambaNya.
Aku terkejut dan terus terjaga dari tidur bila mendengar sayup sayup bunyi esakan orang menangis. Kadangkala kuat kadangkala perlahan.Bingkas sahaja aku mendudukkan diri ku.Menoleh kanan dan kiri,sahabat yang lain sudah tiada di sisi.Dalam kegelapan awal pagi itu aku terus mencapai kelengkapan ku dan turun ke bilik air.Kerana sejuk pada pagi itu amat menggigit tulang,aku percepatkan langkah ku.Aku sirami badanku dengan air yang amat dingin sehinggakan selepas siap membersihkan badan,air hidungku meleleh menahan kesejukan.Aku terus sahaja segera berwudhu dan naik ke dalam masjid.
Selesai sahaja bersiap,aku terus sahaja menuju ke saf paling hadapan dalam masjid.Perlahan lahan aku melangkah memandangkan hanya suram cahaya lilin sahaja yang menjadi sumber penglihatan ketika itu.Aku melihat sahabat ku yang lain sudah sibuk dengan aktiviti qiamulail mereka.
Perlahan lahan aku mulakan solat sunat ku.Seperti yang di ajar oleh Abang Sufian,aku terlebih dahulu memulakan dengan solat sunat taubat 2 rakaat.Selepas salam,aku berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.Kata Abang Sufian lagi,biarlah berdoa dalam bahasa melayu sekalipun,kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui dan Maha Mendengar.Dalam aku bermunajat itu,telinga ku masih dapat mendengar suara esakan yang aku dengar tatkala aku terjaga tadi.Entah mengapa,jiwa dan sanubari aku juga tiba tiba di rentap sayu.Aku teruskan bermunajat,entah mengapa terasa air hangat sedikit demi sedikit mula turun di pipiku.Perasaan ketika itu tidak dapat di gambarkan,hati terasa sebak dan penuh seperti tidak dapat bernafas.Suara hampir hampir tidak dapat keluar.Aku kuatkan hati sehinggalah aku rasa sebak hatiku seperti tidak dapat di kawal lagi.Aura manakah yang menjadikan diriku menjadi seperti itu.
Aku bangun untuk meneruskan solat tahajjud ku.Selepas salam aku berdoa lagi.
Akhirnya dalam sujud selepas salam solat Hajat,aku luahkan isi hati ku ketika itu di hadapan Allah SWT.Betapa kerdilnya terasa jiwaku ketika itu.
"Ya Allah berilah kami kekuatan untuk terus menetapkan kaki kami di atas jalan dakwahMu."
Tatkala kokokan ayam mula kedengaran,aku sudah menyudahkan sunat witirku.Aku menoleh dan mendongak sejenak untuk melihat langit yang terbentang luas itu.Ada sedikit tompok tompok putih di sana sini.Panorama yang begitu indah yang menggambarkan Kekuasan Allah SWT.Aku panjatkan doa sekali lagi dalam iringan kokokan ayam itu tadi.Kalaulah betul ayam tadi melihat malaikat ketika berkokok,aku cuba rebut keberkatan tika itu untuk berdoa.Ya Allah,Kau terimalah taubat hambaMu yang serba daif ini.
Tidak lama selepas itu,kedengaran suara bilal melaungkan suara azan subuh.Aku bangkit untuk membawa Abang Hamid ke dalam saf solat,namun apa yang aku dapati,Abang Hamid sudah terlebih dahulu berada di situ.Ah,Abang Hamid ni,langsung tidak memberi aku peluang untuk berbakti kepadanya,bisikku dalam hati.Namun dalam diam aku sedar,Kuasa Allah melebihi kuasa seluruh makhluknya.Biarlah,mungkin Abang Hamid tidak suka menyusahkan orang lain agaknya dalam keterbatasan pancainderanya.
Usai solat subuh,Abang Sufian sekali lagi melontarkan puji pujian kepada Allah SWT di hadapan jemaah yang datang bersolat.Abang Sufian memperdengarkan kepada semua jemaah tentang Kebesaran Allah,yang sekiranya di sebut satu persatu kita akan berasa kita ini amat lemah dan amat kerdil.Segala nikmat yang kita kecapai ini hanyalah pinjaman sementara,dunia juga hanya tempat persinggahan sementara dan hala tuju semua kita adalah akhirat,tempat yang kekal untuk selama lamanya.Begitulah antara isi penting tazkirah ringkas Abang Sufian pagi itu.
Dan bermulalah hari yang baru pada pagi itu,dan kami akan mengulang semula segala kegiatan kami seperti hari sebelumnya.
Genap 3 hari kami bermalam di masjid itu,pada solat Maghrib berkenaan,tika Jali sedang menyampaikan tazkirah kepada jemaah,tiba tiba lampu masjid padam.Malam yang tadinya terang di simbahi cahaya lampu,tiba tiba sahaja menjadi hitam pekat.Ya,3 hari berkampung di masjid itu mengajar kami akan kegelapan malam di sawah bendang.Gelap segelap-gelapnya.Tok Bilal membisikkan kepada Abang Sufian yang duduk di sampingnya tadi bahawa mungkin enjin generator tidak berfungsi.Abang Sufian atas persetujuan Tok Imam menyuruh agar Jali meneruskan tazkirahnya.Dalam kegelapan itu,butir kata kata Jali seperti menyelusup masuk ke pangkal hati.Kata Jali pada jemaah semua,sedar tak sedar,manusia sebenarnya kian lama kian lalai dengan tugas mereka sebenar sebagai kalifah di muka bumi.Dunia yang sementara dijadikan kiblat menyebabkan Kebesaran dan KeEsaan Allah pudar dari hati-hati manusia.Jali menamatkan tazkirah malam itu dengan mengajak sekalian jemaah untuk sama sama berusaha untuk berdakwah sesama manusia demi dijadikan bekalan untuk hari kemudian.
Tamat sahaja majlis berkenaan,Tok Bilal memberitahu Tok Imam yang dia akan cuba melihat enjin generator di dalam stor kalau kalau boleh di hidupkan semula.Namun,Tok Bilal menyatakan,yang menjadi masalahnya sekarang tiada seorang pun ketika itu membawa lampu picit.Entah macamana takdir Tuhan,manusia tidak mampu mengagak.Tanpa di sangka sangka,Abang Hamid tiba tiba pergi mendekati Tok Bilal.Di pegangnya tangan Tok Bilal lantas Abang Hamid mengajak Tok Bilal ke arah belakang masjid.Kami yang ketika itu sedang duduk,tergamam dengan tindakan Abang Hamid.Kemanakah agaknya Abang Hamid ingin membawa Tok Bilal berkenaan dalam kegelapan itu.Namun tiba tiba,dari belakang masjid kelihatan lampu lilin menyala.Kelihatan Abang Hamid masih terbongkok-bongkok di sisi beg pakaiannya seperti memasukkan sesuatu.Sejurus kemudian,nampak susuk tubuh Tok Bilal menuju ke luar masjid.Agak kami mungkin Tok Bilal terus ke stor untuk melihat keadaan enjin generator.
Tidak lama kemudian,kedengaran sayup sayup enjin generator berbunyi.Serentak dengan itu lampu masjid pun kembali menyala menerangi dewan solat.Dalam keadaan yang masih tergamam,kami melantunkan ucapan Alhamdulillah atas kurniaan nikmat Allah SWT.Dalam fikiran masing masing mungkin sedang sibuk menanyakan diri sendiri tentang kejadian sebentar tadi.
Tadi,lampu yang menerangi masjid tiba tiba padam dan hilanglah cahaya.Manusia yang duduk dalam kegelapan baru terasa yang cahaya tadi itu juga satu nikmat dari Allah SWT.Manakan tidak,dalam kegelapan,semuanya tampak hitam.Hanya cahaya sahaja yang dapat memberi bantuan kepada mata untuk membezakan yang mana berwarna yang mana tidak.Namun lebih besar dari itu,Allah menunjukkan bahawa secara normalnya,manusia yang celik akan menuntun manusia yang buta bila berjalan kerana yang buta tidak nampak seperti yang celik lihat.Namun pada masa yang lain,tidak mustahil si buta boleh memimpin si celik kerana si celik tidak dapat melihat ketika gelap sepertimana si buta itu melihat.”Ya Allah sungguh Engkau menunjukkan Kebesaran Mu kepada Kami sebentar tadi.Tiada daya tiada kuasa antara kami.Bantulah kami Ya Allah dalam meneruskan hidup di muka bumi ini untuk menjadi hambaMu yang soleh.”
Setelah cahaya kembali berfungsi seperti sediakala,kami pun solat isya dan selepas solat,kami mengucapkan terima kasih pada Tok Imam dan penduduk tempatan kerana mengizinkan kami untuk berkampung sementara di masjid mereka.Kami berpisah malam itu sambil kami berpelukan sesama kami.Tok Imam menyeka air matanya ketika melepaskan pelukannya dengan Abang Hamid.Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan Tok Imam syahdu bila memeluk Abang Hamid tadi.Abang Sufian sekali lagi sebagai wakil kami semua,memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada Tok Imam.
Setelah penduduk tempatan bersurai,kami pun bersiap siap untuk berkemas,kerana esok pagi pagi lagi,kami akan bertolak pulang ke destinasi asal kami.Kami akan kembali kepada keluarga dan meneruskan tanggungjawab kami seperti sediakala.Abang Sufian akan kembali ke madrasahnya semula meneruskan tugasnya sebagai mudir.Jali akan kembali semula membuka kedai makannya.Saring,Aripin dan Latip akan kembali ke kebun getahnya.Abang Hamid,aku sendiri tidak pasti apa yang akan di lakukannya selepas ini.Terlalu berat untuk mulutku bertanya,memandangkan aku terlalu hormat akannya.Sepanjang tempoh 3 hari aku bersamanya,aku terasa bahawa semangat dan jiwa Abang Hamid terlalu besar dan utuh dan bisa membuatkan manusia normal seperti aku malu akan usaha dan tawakkal kami dalam hidup seharian.Aku pula,akan meneruskan pembelajaranku yang masih panjang perjalanannya.Moga semangat dan bekal yang kau pelajari dalam tempoh singkat ini bisa menjadi pendorong kepadaku untuk terus kekal dijalanNya.
Aku tersedar dari lamunan bila emak mengetuk bilikku mengejutkan anak anaknya.Aku terus sahaja menutup daun tingkap dan menghidupkan lampu bilik.Adik adikku kelihatan masih enak di ulit mimpi.Lantas aku kejut mereka seorang demi seorang untuk bangun dan seterusnya bersiap untuk sahur pada pagi berkenaan. Apabila mereka semua sudah bangkit dan meninggalkan aku keseorangan dalam bilik itu,aku tiba tiba di serang rasa rindu kepada sahabat sahabatku yang telah lama ku tinggalkan semenjak aku berpindah ke selatan.InsyaAllah,hari lebaran nanti,aku akan pulang ke rumah nenek di utara,akan ku cari mereka seorang demi seorang.Apakah khabar mereka sekarang.Aku seperti tidak sabar menunggu tika itu....
Tamat.
Nota :
Dari kisah benar yang pernah di ceritakan kepadaku oleh seorang yang aku amat sanjungi pengorbanannya dengan sedikit tokok tambah untuk menghidupkan jalan cerita.
Madrasah 1 Ramadhan 1431.
Taman Desa Ixora,
Senawang Negeri Sembilan.
1 comment:
Alhamdulillah ,bagus jalan cerita dan olahannya. Ada bakat jadi penulis novel @ cerpen, ya cerpen yg tak lagho.
Post a Comment