Abdul Hadi anak ke dua saya yang mempunyai pelbagai ‘keanehan’ dalam dirinya.Bocah cilik ini berkulit putih langsat,mungkin mewarisi dari keturunan emak mertua saya yang mempunyai darah kacukan cina.Ketika umur masih bayi,badannya agak berisi sehinggakan kulit lengan dan pehanya berlipat-lipat.Salah satu kegemarannya adalah menyorokkan diri di ruang ruang kecil seperti kabinet TV dan di celah rak radio.Sewaktu usia kecil juga,Abdul Hadi kerap ‘mengamuk’ di tengah malam.Dalam keadaan tidur yang lena,tiba tiba di tengah malam dia boleh melalak tanpa sebab yang dapat di pastikan.Apabila di pujuk oleh umminya,meronta rontalah dia.Bayangkanlah seorang kanak kanak yang berbadan semangat meronta ronta dalam dukungan umminya.Biasanya,apa yang saya lakukan adalah membawanya masuk ke bilik office kami dan saya akan memeluknya erat erat agar dia tidak meronta lagi.Walaupun tidak boleh meronta ketika itu,tangisannya masih berdesibel tinggi namun yang peliknya matanya tetap pejam seolah olah dalam keadaan tidur.Memujuk agar dia tidak menangis dalam keadaan dia tidak sedarkan diri/tidur adalah satu perkara yang agak mustahil.Apa yang saya lakukan,saya cubit sedikit pehanya yang gebu itu maka secara refleknya dia akan menangis semakin kuat.Dan ketika itulah matanya akan terbuka.Yang nyata,tidak lama selepas itu tangisannya hanyalah tinggal sedu dan aksi rontaannya juga sudah tiada.Selepas itu mungkin kerana penat menangis,dia akan tidur kembali.
Abdul Hadi (sekitar usia setahun).
Oleh kerana badan yang agak berisi,
lipatan kulit boleh kelihatan di lengannya.
Ada juga kawan kawan saya mengatakan yang anak kedua ini suka 'lone ranger'.Tidak pastilah saya untuk mengiakan atau tidak pendapat ini.Tapi Abdul Hadi amat suka bermain bersendirian.Tapi yang saya cukup kagum,hasil 'gubahan' permainnya amat kreatif dan inovatif.Kusyen sofa boleh disusun menjadi lori trailer yang panjang di samping beberapa aksesori tambahan yang lain yang pada tanggapan dirinya itulah streng,gear dan hand break.
Tapi dalam banyak banyak tabiat Abdul Hadi,hisap ibu jari bersama rabbit (bantal busuk) kesayangannyalah yang tidak dapat di tinggalkan sehingga ke hari ini.
Disney on Ice @ Bukit Jalil.
Bersama makcik dan pakcik serta sepupu.
Abdul Hadi semakin hari semakin membesar, potongan badannya kecil mulus.Sangat sensitif,mempunyai tahap ingatan yang baik,petah berkata kata,mempunyai bacaan ayat hafazan yang baik namun dalam keadaan tertentu cepat merajuk dengan muncungnya yang agak panjang. Saya mengharapkan sikap dan nilai yang baik yang ada pada dirinya akan berkekalan sehingga Abdul Hadi dewasa.
"Abdul Hadi nak belajar di mana, bila besar? " Tanya saya suatu ketika. Cuba untuk memancing jawapan yang terbaik seoarang anak kecil. "Adik nak naik kapalterbang belajar kat Jepun macam bapak." jawab Abdul Hadi dan jawapan ini sangat konsisten semenjak dahulu.
"Tak apalah,kat mana pun kita belajar,jika di iringi dengan niat dan tindakan yang disandarkan pada agama,pasti akan beroleh kejayaan," bisik hati saya.
sayalah JUARA!!!
...ketika meraikan majlis perkhawinan sepupunya
di Alor Star,Kedah.
"Welcome Abdul Hadi, welcome to our club," perjuangan zaman kontemporari ini bukan menghunus pedang tetapi dengan segudang ilmu untuk berdada dengan musuh, fikrah didebat dengan fikrah, hujjah diterjah dengan hujjah.
Hari ini tanggal 27 Ogos 2010 genaplah umur Abdul Hadi 4 tahun."Selamat Hari Lahir Abdul Hadi," semoga kamu akan menjejaki langkah dalam menuntut ilmu sama sepertimana Abdul Hadi yang seorang itu.
...sibuk bersama adik beradik yang lain
membungkus hadiah 'mini' untuk diagihkan
kepada jiran-jiran bersempena hari lahirnya.
Sempena mengingat Hari Kelahiran Abdul Hadi,bapak nukilkan sebuah coretan yang di ambil dari sebuah buku kecil yang berimpak besar dalam institusi keluarga,CINTA DI RUMAH HASSAN AL BANNA.
Siapa yang tidak kenal akan As syahid Hassan al Banna,seorang tokoh yang telah merubah cara pemikiran ummat Islam dengan juga merupakan pelopor kepada al Ikhwan al-Muslimun (IKHWAN).
Ikutilah dan telitilah dengan mendalam antara isi buku yang di pilih untuk di hayati.
CINTA DI RUMAH
HASAN AL BANNA.
.....Tidak ada yang menafikan peranan besar yang ada di tangan seorang ibu dalam mendidik anak anak.Lalu,bagaimanakah dengan peranan seorang ayah? Sebahagian masyarakat-mungkin dapat dikatakan sebahagian besar-cenderung berpandangan bahawa asuhan dan didikan anak anak adalah tugas ibu.Sedangkan ayah,hanya bekerja dan memberikan keperluan material semata.Si Ayah yang sibuk bekerja manakala ibu pula sibuk menguruskan anakdi rumah.
Bagaimana pandangan Islam melihat peranan ayah dalam keluarga? Satu pertanyaan yang amat penting untuk dikaji lebih mendalam.Kerana ternyata sejarah hidup tokoh tokoh besar dunia umumnya dilatarbelakangi sentuhan pendidikan yang diberikan oleh ayahnya.Dalam Al Quran sendiri,tiada satu pun dialog anak dengan orangtuanya mewakili ibu.Yang ada hanyalah dialog anak dengan ayahnya.Hatta Nabi Ismail a.s yang sejak kecil di asuh dan di didik oleh ibunya juga Al Quran mengetengahkan dialog hanya antara Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. (as Shaffat :102)
Wang belanja anak.
Saiful Islam menjawab,Ayah (Hassan al Banna) sangat pemurah dengan anak anaknya.Saya masih ingat setiap orang daripada kami mendapat wang setiap hari pada tahun 1942 dan 1943 sebanyak 3 qirsy.Ini jumlah yang besar ketika itu.Kerana teman teman saya pada ketika itu umumnya mendapat wang hanya ¼ qirsy ataupun ½ qirsy sahaja.
Apabila di tanya kepada Saiful Islam,apakah wang belanja yang banyak itu akan merosakkan anak anak? Saiful Islam menerangkan,Pendidikan dan tarbiah di dalam keluarga dihasilkan daripada pelbagai cara.Contohnya dari masakan yang menggunakan sejumlah adunan dengan bahan bahan yang baik.Itu akan memberikan hasil yang bersih.Yang penting bukan pada jumlah wang belanja itu besar mahupun kecil,tapi yang penting adalah cara pendidikan dan pembinaan yang dilakukan di rumah.
Lemah lembut bukan berkeras.
Tradisi lemah lembut (ar-rifq) dalam menguruskan rumah tangga mempunyai banyak manfaat.Misalnya,seorang ayah menjadi lebih mudah mencapai keinginannya kepada keluarga dengan sifat lemah lembut dan itu juga membuatkan hatinya lebih lapang.Sifat lemah lembut juga akan menguatkan ikatan batin antara anggota keluarga dan memperkuatkan pertalian keluarga.Manfaat lainnya,anak anak tidak taku untuk berterus terang mengakui kesalahan kepada orang tuanya kerana mereka tahu bahawa tindak balas ibubapa kepada mereka pasti tidak dalam bentuk kekerasan,hanya dengan lemah lembut semata mata.
Pengajaran dari sebuah hukuman.
Maka,pemberian hukuman di atas kesalahan anak anak juga harus mempunyai formula tersendiri dalam melaksanakannya.Antara lain,sebuah hukuman adalah untuk menyedarkan seseorang atas kesalahan yang dilakukannya,supaya dia serik dan tidak akan mengulangi kesilapan yan sama.
Mengikat talian kasih.
Sebuah pelukan seorang ayah/ibu boleh menghantar tenaga tenaga yang kuat ke dalam diri seseorang.Bagi seorang anak,itulah yang menjadi sumber kekuatan yang dapat membangkit perasaannya yang paling dalam.Kehangatan pelukan itu juga boleh menerbitkan ketenangan,kepercayaan,juga hubungan batin yang kuat antara seorang anak dengan orang tuanya.
Gaya seorang pemimpin masa hadapan.
agaknya apalah yang sedang di renung oleh 'birthday boy' itu....
berpandangan jauhlah melepasi sempadan yang ada
bagi merungkai masalah yang tidak kunjung sudah.
Moga keberkatan hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari ini dapat terasa tempias limpahannya kepada Abdul Hadi dan ahli keluarganya yang lain.
27 Ogos 2010.
Senawang,Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment