Wednesday, November 3, 2010

:: Adakah itu secara kebetulan? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Juadah Buka Puasa.

Bulan Ramadhan yang lepas,saya ada menerima beberapa juadah untuk berbuka puasa dari jiran-jiran terdekat.Alhamdulillah,dapatlah kami sekeluarga menukar selera kami sekali-sekala,menjamu selera dari hasil air tangan jiran-jiran yang cukup baik hati.

Bak kata orang,"Orang berbudi kita berbahasa,orang memberi kita merasa."

Dipenghujung Ramadhan pula,saya bersama isteri berkesempatan untuk memasak juadah berbuka dengan niat untuk diagih-agihkan kepada jiran terdekat.Menunya tidaklah seistimewa mana,tapi memandangkan dalam ajaran Islam menggalakkan kita berkongsi juadah berbuka di dalam bulan puasa,maka dalam hati saya berdoa,agar makanan yang akan dihadiahkan itu nanti memberi keberkatan kepada semua.

Selesai sahaja kerja memasak dan membungkus,tiba giliran untuk mengagihkan juadah.Namun,ada jiran yang tiada di rumah,setelah ditelifon mereka sebenarnya mempunyai program berbuka di luar rumah.Bukan kali ini agaknya rezeki mereka dapat merasa masakan dari kami,telah saya dalam hati.

Oleh kerana sudah berniat untuk menghadiahkan juadah yang ada di dalam bakul motorsikal saya,maka saya berfikir sejenak,kepada siapakah juadah ini bakal di beri.Entah macamana timbul ilham,juadah itu saya terus sahaja tujukan ke rumah imam surau.Alhamdulillah,beliau ada dirumah.Rezeki imam agaknya.

Suatu hari,hujan turun dengan agak lebat,ketika itu saya sedang membaiki motorsikal saya yang tidak boleh di start enjinnya di anjung hadapan.Tiba-tiba muncul satu kelibat motorsikal di hadapan saya.Penunggang motorsikal yang lengkap memakai baju hujan itu terus sahaja memberi salam kepada saya.Ya Allah! Tuan Imam rupanya.Beliau terus sahaja menghulurkan bungkusan plastik kepada saya.Kerana hari masih hujan,Imam memendekkan perbualan kami ketika itu dan terus berlalu pulang.Saya serahkan bungkusan itu kepada isteri,sementara saya menyelesaikan tugasan yang masih berbaki itu.

Sewaktu berbuka puasa,saya lihat ada terhidang kuih buah Melaka di hadapan kami semua.Tahulah saya,Imam datang tadi membawa juadah untuk berbuka.Siapa sangka,saya memang sudah lama mengidamkan kuih buah Melaka.Maklumlah,pada bulan puasa macam macam yang di idam,macam-macam pula yang terlintas dalam fikiran.Petang tersebut dapatlah saya melunaskan idaman saya itu.

Adakah itu secara kebetulan?

Sayang anak.
Tidak tahu mengapa,saya amat senang sekali dengan kanak kanak,sejak dari saya masih berstatus bujang lagi.Bermula dengan anak pakcik(sepupu),selepas itu dengan anak kakak (anak buah),saya suka bermain-main dengan mereka,kadangkala ketika saya menunggang motorsikal di dalam kampung,saya bawa mereka sekali bersiar-siar.

Dan ketika saya belajar di Jepun,sekiranya ada 交流会 (culture interchange?) bersama pelajar sekolah rendah,saya akan sediakan permainan tradisional untuk mereka.Gembiralah mereka menendang bola takraw selepas melihat kami membuat demo permainan sepak raga bulatan.

Kini,saya senang sekali bergurau senda dengan 4 org permata hati saya itu.Bayangkan sahajalah,kalau saya mendokong salah seorang dari mereka untuk diajak ke dapur untuk makan malam,yang lain juga turut sama ingin didokong.Untuk tidak mengecewakan mereka,salah seorang saya akan dokong dibelakang saya dan dua orang lagi saya akan dokong dihadapan.Yang bongsu memang sentiasa bersama umminya.Memang kadangkala letih terutama saya selalu pulang lewat dari kerja,ditambah mereka sekarang sudah besar panjang,tapi hati anak turut perlu dijaga.

4 permata hatiku....(buat setakat ini)

Namun terubat juga rasa penat bila terkadang mereka datang kepada saya dan terus memeluk dan mencium pipi saya sambil berkata,"Saaaaaaaaayang bapak!"

Adakah itu secara kebetulan?

Kereta ucu.

Setahun lepas kereta Myvi adik bungsu saya telah melanggar batang pokok kelapa yang berada di tepi rumah kami di kampung.Hasilnya,cermin belakang keretanya pecah dan ada sedikit kemek pada pintu bonet belakang.Cermin kereta telah di ganti di bengkel kawan saya di Senawang dengan harga yang jauh lebih murah dari harga yang ditawarkan oleh pusat servis Perodua,namun kemek pada pintu hanya sempat di ketuk sahaja tanpa dapat dicat ke warna asal.Oleh kerana tidak dicat kembali,kesan tempat diketuk itu menjadi karat kerana terdedah pada udara sekeliling.

Bulan lepas,bahagian belakang kereta adik saya sekali lagi mengalami kemalangan.Kali ini di langgar oleh sebuah lori di Shah Alam.Disebabkan kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori berkenaan,kos kerosakkan kereta Myvi adik saya ditanggung keseluruhannya oleh pemandu lori terbabit.

Minggu lepas ketika saya tanyakan perihal keretanya,dia mengatakan keretanya sudah keluar dari bengkel dan keadaan kereta yang baru dibaiki itu amat memuaskan hatinya.Tambahan pula,kawasan kemek yang berkarat dulu kini telah bercat baru.

Adakah itu secara kebetulan?

Doktor Pakar.
Beberapa belas tahun lepas,setelah berhempas pulas dan bertungkus lumus untuk menamatkan pelajaran dalam bidang kedoktoran,termasuk melanjutkan pelajarannya di UK,akhirnya Pn Zabedah Othman berjaya menjadi seorang Doktor Pakar Kanser.

Kini,Mak Mertua saya sedang menjalani rawatan radiotherapy di Wad Kelas 1,Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Besar KL di bawah seliaan tidak lain dan tidak bukan,anaknya sendiri Dr Zabedah Othman yang merupakan salah seorang Doktor Pakar di Jabatan berkenaan.

Adakah itu secara kebetulan?

Wak,
3 Nov 2010
Senawang,N9.

Tuesday, November 2, 2010

:: Rokok di hisap & di HISAB?? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Baru baru ini berbetulan jadual saya pada hari minggu agak terbuka.Alhamdulillah saya sekeluarga dapat memenuhi undangan En Shaari bagi mewakili keluarga ibunya.Majlis undangan walimah itu merupakan bagi meraikan pasangan pengantin baru yang merupakan adik bongsu bagi En Shaari.Saya tiba ke tempat majlis lebih kurang jam 2 petang.

Tiba di tempat majlis,saya diraikan dan disambut oleh En Shaari yang memang terkenal murah dengan senyuman.Saya sekeluarga dipersilakan duduk di meja yang telah dihidangkan juadah makanan.Cukup meriah,selain dari meraikan pasangan pengantin baru,tuan rumah telah memilih untuk meraikan dan menyambut para tetamu mereka dengan makanan siap dihidang berbanding trend masakini yang lebih kepada secara buffet.

Kerana terlalu khusyuk menyuap makanan mengisi ruang perut yang memang tersedia kosong,membuatkan saya tidak perasan bila masanya meja di sebelah kami diisi dengan tetamu lain.Nampak gaya pemakaiannya seperti bukan calang-calang orang,detik hati saya.Lalu,kerana anak bungsu saya di dalam dakapan saya kala itu,saya memantaskan suapan nasi saya untuk segera menghabiskan juadah di dalam pinggan.

Sedang saya bertungkus lumus menghabiskan juadah makanan,tiba-tiba hidung saya menangkap sesuatu bau yang cukup saya kenal.Lalu,saya mencari-cari di mana puncanya.Akhirnya saya dapati,jiran yang makan bersama-sama serta duduk di sebelah sayalah yang telah menyalakan api rokoknya yang menyebabkan saya terhidu asapnya.Secara jujurnya dari hati yang tulus ikhlas saya memang cukup tidak menyukai orang yang menghisap rokok.Lagi- lagi orang yang menghisap rokok di khalayak ramai.Bertambah lagilah kemuakkan hati saya apabila orang yang merokok di khalayak ramai itu tidak mempedulikan langsung siapakah yang ada di sekelilingnya.

Biasakah anda dengan situasi sebegini?
Mengapa ia boleh berlaku?
Di manakah kurangnya?

Minta para pembaca meluangkan sedikit masa untuk menghadam apa yang saya ingin kongsikan di bawah ini....

Saya telah di beri keizinan Allah untuk tinggal di rantau orang selama 3 tahun.Dan negeri yang saya pilih adalah Jepun,sebuah negara yang memang sudah lama terkenal sebagai negara maju di rantau Asia.Penduduknya seperti kita di Malaysia dimana makanan ruji mereka adalah nasi.

Saya kongsikan serba sedikit himpunan pengalaman saya ketika di sana.

Kisah 1-Kelab Sukan.

Aktiviti kelab sukan/persatuan yang di lakukan di peringkat sekolah di Jepun seperti juga di Malaysia,merupakan aktiviti ko-kurikulum yang di jalankan samada harian ataupun mingguan.Setiap murid mempunyai satu kelab sukan yang mereka sertai.Kelab sukan ini pula mempunyai MANAGER yang terdiri dari beberapa murid perempuan yang terpilih di kalangan ahli kelab.Tugas mereka adalah menjadi pembantu kepada guru kelab seperti mencatat kedatangan,menyediakan alatan dan kelengkapan,kadangkala membancuh air dan beberapa tugasan kecil yang lain.Dengan kehadiran/kewujudan MANAGER ini,tugas guru kelab lebih mudah dan mereka boleh terus lebih mengfokus pada aktiviti dan target utama kelab mereka.Rasanya inilah salah satu penyumbang utama guru/jurulatih pasukan dapat memantau dengan lebih terperinci ahli kelabnya.Dan saya secara peribadi tidak menidakkan faktor pemantauan guru kelab terhadap prestasi ahli kelabnya,menyebabkan ada satu daya ikatan yang membuatkan ahli kelabnya jarang yang bertukar kelab ke sana ke mari atas alasan tertentu yang tidak boleh diterima.(contohnya:sekejap kelab badminton,sekejap kelab bola sepak)

Maka saya dapat lihat dan perhatikan,sekiranya murid itu ketika sekolah rendahnya menyertai kelab olahraga maka kelab itu akan terus di sertai sehinggalah sekolah menengah mahupun di peringkat universiti.Malah kelab sukan yang agak glamour seperti bola sepak,softball/besball dan bola tamper,mereka masih terus sedia aktif walaupun mereka sudah berada di alam pekerjaan.Tapi harus di ingat juga,kelab-kelab yang glamour ini mempunyai saringan tertentu bagi memilih ahli kelab mereka.Dan mereka yang betul-betul layak sahaja akan dapat terus kekal di dalamnya.Jika tidak di buat begitu,maka lambakkan ahli kelab pula akan terjadi.

Maka saya simpulkan di sini,dengan suasana dan fenomena di atas,di mana setiap individu begitu setia dengan kelab sukan mereka dari sekolah rendah hinggalah ke alam universiti,menjadikan Jepun mempunyai sumber atlet sukan yang begitu ramai.Dan dengan itu dapat terjawablah persoalan yang terbuku di dalam pemikiran kita,mengapa pasukan bola sepak mereka berjaya sehingga ke Piala Dunia sedangkan dalam tahun 70-an dulu,mereka adalah pasukan belasahan Harimau Belang.

Kisah 2-5S.

Sistem pembuangan sampah di Jepun memang agak unik kadangkala boleh menjadi rumit.Ia memerlukan kita mengasingkan segala jenis sampah mengikut kategori.Sampah di kelaskan mengikut bahan basah & kering,bahan plastik,bahan kertas,bahan kaca,bahan aluminium dan bahan besi.Sisa makanan adalah kategori bahan basah manakala segala macam pembalut makanan pula perlu di buang berasingan di dalam beg plastik yang berasingan.Dan hari pemungutan sampah oleh lori sampah juga berlaianan.Walaupun sampah basah sudah kita longokkan di hadapan rumah kita,namun sekiranya hari berkenaan adalah hari untuk pemungutan sampah kertas,lori sampah akan membiarkan sahaja sampah basah itu di hadapan rumah kita sehinggalah hari gilirannya tiba untuk di pungut.Walaupun ia sudah berbau!!!

Dan yang amat menariknya,sistem ini dipraktikan oleh sebahagian besar penduduk di sana.Jarang sekali kita dapati mereka tidak patuh dengan arahan dengan mencampur adukkan sampah mereka.Setiap isi rumah dididik sedemikian rupa untuk mengasingkan sampah mereka walaupun sekecil-kecil anak.Jadinya sikap tidak mencampur adukkan sampah ketika membuangnya memang terdidik sejak mereka kecil lagi.Maka bila generasi ini membesar menjadi dewasa,mereka terus sahaja mempraktikkan apa yang mereka pelajari sejak mereka kecil.

Kata pepatah melayu,melentur buluh biar dari rebung.
Malah ada juga pepatah mengatakan alah bisa tegal biasa.

Kisah 3-Rewang.

Saya pernah dijemput untuk menghadiri majlis pertukaran budaya antara kami pelajar Malaysia dengan pelajar sekolah rendah di sebuah bandar kecil di Jepun.Antara aktiviti yang di buat adalah sessi memperkenalkan diri dan menceritakan serba sedikit tentang negara asal kami.Maklumlah Malaysia antara negara yang kurang mendapat pendedahan di Jepun,maka ramai kanak-kanak sekolah di sana kurang mendapat informasi tentang Malaysia.Selain itu kami mendemonstrasikan beberapa permainan tradisional termasuk sepak raga bulatan.Bukan main gembira mereka dapat menimang bola rotan yang kami sengaja bawa dari kolej kami.

Di pertengahan sessi berkenaan,kami diberi kesempatan pula untuk meninjau ke beberapa bilik darjah tempat mereka belajar sambil diiringi oleh beberapa orang guru mereka.Kebetulan ketika kami meninjau kelas mereka,waktu rehat pagi mereka pun tiba.Kelihatan beberapa orang dari murid di dalam kelas yang kami lawat itu mula menyusun meja menjadi seperti mini kaunter.Bila saya tanyakan kepada guru pengiring,barulah saya tahu,mini kaunter itu akan dijadikan tempat mereka membahagi bahagikan makanan sesama mereka untuk waktu rehat pagi.Dan menu pada pagi itu adalah Sup Mee Udon.Memang betul langkah kanan kami pagi itu,dapatlah kami merasa Mee Udon panas itu bersama sama mereka.Dan saya juga turut sama sama beratur,sambil pelajar yang bertugas mencedokkan Mee dan Sup untuk kami semua.Bayangkan sahajalah pelajar yang saya kira umur sekitar 8~9 tahun sudah di ajar berdikari dan mempunyai semangat bantu membantu antara satu sama lain.

Kisah 4-Mencabut ubi keledek.

Sekali lagi kami di jemput untuk sessi pertukaran budaya,kali ini juga dengan pelajar sekolah rendah.Lokasinya pula di adakan di sebuah kebun ubi keledek milik salah seorang penduduk tempatan.Kami tiba di kebun berkenaan agak awal pagi,namun pemilik kebun bersama beberapa orang guru dan murid sekolah terlebih dahulu tiba sebelum kami.Apa yang kami dapat perhatikan ketika itu adalah,kebun ubi keledek tersebut telah di bersihkan terlebih dahulu oleh tuan tanah berkenaan.Yang kelihatan ketika itu adalah batas-batas tanah dan batang keledek yang sedia untuk di cabut.Selepas upacara ucapan ringkas dan mengalas perut dengan sedikit teh jepun(kocya) kami pun memulakan aktiviti kami.Sebelum mencabut keledek,pelajar sekolah rendah berkenaan telah di bahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap dari kami mendapat 1 kumpulan yang terdiri dari lebih kurang 6 orang pelajar.

Ketika acara mencabut keledek itulah,kami sesama ahli kumpulan bertukar tukar perbualan sekitar latar belakang dan cara hidup kanak kanak di Malaysia.Walaupun acara berkenaan di jalankan tidak terlalu formal,tapi bagi saya ia memberikan satu bentuk latihan kepada pelajar cara berkomunikasi dalam sebuah masyarakat yang terdiri dari pelbagai peringkat umur.

Dari situasi-situasi di atas,saya dapat membuat agakan peribadi mengapa agaknya warga Jepun boleh maju sejauh yang mereka kecapi sekarang berbanding dengan Negara kita.Penduduknya sejak mereka kecil di terap dengan beberapa latihan khusus yang secara tidak langsung mendidik peribadi mereka apabila mereka besar kelak.Bukankah begitu?

Bagaimana pula dengan kita?
Apa yang kita telah didik kepada anak dan bangsa kita selama ini?

Cukuplah kiranya pada peringkat awal ini kita menerapkan kesedaran kepada semua peringkat umur,bahawa kita hidup di muka bumi ini adalah secara bermasyarakat/berjemaah dan bukannya secara individu.

Adakah dengan tindakan sedemikian,fenomena dalaman di negara kita boleh berubah?
Tidak mustahil bukan?

"GreenPeace"
2 November 2010
Senawang,Negeri Sembilan.

Thursday, October 28, 2010

: Limau itu masam? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.
Kampungku...
(sekadar gambar hiasan)

Di kisahkan,di dalam sebuah kampung yang agak terpencil kedudukannya,tinggallah seorang petani dengan anaknya.Mereka berdua menyara hidup dengan mengusahakan sebuah ladang limau.Di kampung berkenaan,nama petani itu cukup mashur dan terkenal kerana kebun limaunya cukup subur dan hasil buah limaunya juga cukup istimewa.Walaupun jiran-jiran petani tersebut juga mengusahakan kebun limau,namun kebun limau mereka tidaklah sesubur kebun petani berkenaan.Bila tiba musim berbuah,buah limau mereka juga tidaklah secantik dan semanis buah limau milik petani tersebut.
Limau,dijadikan Allah mempunyai
bau yang harum sebagai daya tarikan.
Warnanya juga tidak mudah kalah membuatkan
penggemar limau pasti menelan air liur.

Maka,pada suatu hari,datanglah jiran-jiran petani berkenaan ke rumahnya.Mereka datang ke rumah petani berkenaan untuk bertanyakan apakah rahsia yang membuatkan kebun limau miliknya begitu subur dan buahnya begitu cantik dan manis.Dengan rendah hati,si petani itu mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa rahsia.Namun untuk mengelakkan tetamu-tetamunya itu pulang dengan hampa dan tangan kosong,si petani tadi telah menghadiahkan kepada tetamunya itu tadi beberapa benih pokok limaunya.Niat petani itu hanya satu,agar mereka dapat menghasilkan kebun limau yang subur dan hasilnya juga menggalakkan.

Kebun limau.
(sekadar gambar hiasan)

Apabila tetamu petani itu semua sudah pulang,anak lelakinya datang bertemu kepadanya.Anak lelaki itu bertanyakan kepada bapanya,mengapa bapanya memberikan kepada tetamunya itu benih limau dari kebun mereka.Kerana bagi pendapat anak lelakinya itu,benih limau yang mereka punyai itulah antara penyebab pokok limau mereka subur dan hasilnya amat berbeza dari kebun-kebun yang lain.

Petani itu mendiamkan diri buat seketika.

Selepas beberapa ketika,petani itu bertanyakan kepada anaknya perkara asas dalam ilmu tumbuh-tumbuhan.
Bunga pokok limau.

Bapa : Dari manakah buah limau boleh terhasil.
Anak : Dari bunganya.
Bapa. Bagaimanakah bunga boleh menghasilkan buah?
Anak : Kerana persenyawaan debunga.
Bapa : Bagaimana persenyawaan debunga boleh berlaku?
Anak : Bila angin atau serangga hinggap pada bunga yang mempunyai debunga,maka angin atau serangga tadi akan membawa debunga itu kepada bunga yang lain.
Bapa : Dari manakah debunga itu datang?
Anak : Dari pokok pokok yang berdekatan.
Bapa : Nah,kamu tahu segalanya sekarang.Sekiranya pokok/kebun berdekatan mempunyai debunga yang berkualiti,maka debunga itu juga secara tidak langsung akan mempengaruhi buah di dalam kebun kita.Bukankah baik begitu.
Lebah sebagai salah satu ejen pendebungaan.
(sekadar gambar hiasan)

Dengar sahaja penerangan bapanya itu,anak lelaki itu terus diam sambil menyerap ke dalam mindanya,hikmah yang telah disampaikan oleh bapanya.

(......Kisah ini dari pembacaan yang dah tak berapa ingat dari mana sumbernya.)

Sebaliknya.....

Bak kata pepatah lama,”Orang kedekut selalu rugi,bagai anjing dengan bayang-bayangnya.”

Dan.....

Dalam kehidupan seharian juga kita perlu kongsikan kebaikan yang ada.Lebih lebih lagi kebaikan yang di ajar di dalam Islam.Kerana setiap amalan baik yang di ajar di dalam agama Islam mempunyai 1001 hikmah di sebaliknya yang kita tidak sedar/tahu.Dan jika kita amalkan dan sampaikan perkara/amalan kebaikan kepada jiran/rakan taulan/adik beradik,ia mampu untuk menarik Rahmat,Rahim dan Rahman Allah SWT.
Apa lagi yang kita boleh harapkan selain dari nikmat pemberian dari Pencipta kita.

TAHUKAH ANDA? : Mengapa penganut agama lain amat membenci/tidak menyukai agama Islam dan penganutnya?

Kerana mereka tahu dan cemburu kerana di dalam ajaran Islam ada terlampau banyak kebaikan dan manafaat tetapi kita tidak kongsikan kebaikan itu dengan mereka.

Mengapa kita tidak menyampaikan kebaikan itu kepada mereka?
Mengapa kita tidak menzahirkan kebaikan ajaran di dalam ISLAM dalam perbuatan kita seharian?

Untuk renungan diri sendiri juga......

Sungai,batu batan,tumbuh-tumbuhan saling berkongsi alam.Begitu juga dengan kita semua......

Monday, October 25, 2010

:: Derma Darah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Sekitar tahun 2003,pengurusan tempat kerja lama telah memberi kesempatan kepada saya untuk menghadiri satu kursus selama lebih kurang 2 minggu di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (Malaysian Institute of Nuclear Technology Research-MINT),Bangi.Kursus berkenaan adalah bagi melayakkan saya menjadi Pegawai Perlindungan Sinaran (Radiation Protective Officer-RPO).Itupun sekiranya lulus peperiksaan yang diadakan di penghujung hari kursus.Alhamdulillah Allah telah memudahkan segala urusan saya ketika itu.

Ketika kursus dijalankan,pegawai dari MINT telah bertungkus lumus mencurahkan ilmu dan pengalaman mereka kepada kami peserta kursus.Walaupun secara objektifnya,mereka lebih bertumpu kepada silibus pengajaran,namun ada seorang pegawai berkenaan telah berkongsikan satu pengalaman sebenar beliau yang saya kira boleh dijadikan tauladan.

Pegawai berkenaan menceritakan,beberapa tahun sebelum itu,beliau telah diserang demam denggi berdarah.Di sebabkan keadaanya agak kritikal,di mana salur-salur darahnya telah mula luka,doktor telah dengan segera memasukkan ke dalam badannya platlet darah iaitu agen pembeku darah.Ini bagi mengelakkan keadaan salur pembuluh darah dalam badannya terus-menerus mengeluarkan darah.Kata pegawai MINT berkenaan ketika menceritakan pengalamannya kepada kami,beliau terasa terhutang budi kepada bantuan darah yang dimasukkan ke dalam badannya.Kerana dengan tindakan doktor berkenaan,ia menjadi asbab demam denggi berdarahnya dapat dirawati.

Setelah sembuh sepenuhnya,pegawai berkenaan bernekad untuk menjadi penderma darah yang tegar.Selanjutnya,beliau menerangkan kepada kami kelebihan yang akan diperolehi apabila menjadi penderma darah yang tegar.Salah satunya,apabila kita menderma darah,otomatik darah baru akan terhasil dalam sistem badan kita,ia penting terutamanya bagi kaum lelaki.Ini berbeza bagi kaum wanita,kerana kaum wanita setiap bulan mereka akan datang haid,ini juga salah satu proses kitaran penghasilan sel darah baru bagi wanita.

Mendengar sahaja pengalaman dan saranan dari pegawai berkenaan,saya terus sahaja berazam ingin mengikut jejak beliau untuk menjadi salah seorang penderma darah.Namun azam saya hanya terlaksana 7 tahun selepas itu.

Pada 22 Oktober 2010 yang lepas,Unit Perkhidmatan Patologi dan Tabung Darah dari Hospital Besar Seremban telah datang ke tempat saya bertugas.Beberapa minggu sebelum itu,pihak HR telah mengedarkan borang bagi sesiapa yang berminat untuk menderma darah mendaftarkan diri mereka.Saya adalah salah seorang darinya.Semangat ketika itu memang amat berkobar-kobar.Tandanya,saya telah bertanyakan kepada sesiapa yang pernah menderma darah tentang tips sebelum menderma darah.Bagi otai-otai yang biasa menderma darah,yang penting sebelum hari menderma,pastikan tidur malam yang mencukupi dan tidak mengambil terlalu banyak makanan ketika malam sebelum menderma.Apalagi,saya pun tidur awal pada malam berkenaan dan pada paginya saya hanya mengambil sarapan ringan sebagai alas perut.

Selanjutnya,biar gambar yang berbicara untuk prosedur menderma darah.

Step 1.Mengisi borang sebelum menderma darah.
Borang pendaftaran penderma &
Rekod penderma darah.
(jangan lupa timbang berat badan sebagai saringan pertama
membolehkan anda layak menderma darah)

Step 2.Mengambil sampel darah untuk
diukur kadar hemoglobin (kepekatan darah)
dan menentukan kumpulan darah (A,AB,B,O).

Hemocue : Alat pengukur kadar hemoglobin.
Biasanya kadar minima untuk boleh menjadi penderma adalah 10.5.
(biasanya darah penderma wanita akan di uji dengan alat ini)


Larutan kuprum sulfat juga boleh menguji
kadar kepekatan hemoglobin darah.Darah yang tenggelam
ke dalam larutan ini apabila dititiskan,menunjukkan
kadar hemoglobin darah sesuai untuk menderma.
Darah yang terapung menandakan darah tidak mengandungi hemoglobin yang cukup.
Lihat sampel larutan sebelah kiri yang menunjukkan titisan darah yang terapung.
(biasanya darah penderma lelaki akan di uji dengan larutan ini)

Menentukan jenis darah.
Larutan anti A (berwarna biru laut) dan anti B (berwarna kuning) akan di titiskan.
(Lihat gambar bawah sekali sebelah kanan)
Darah akan di titiskan ke atas dua larutan di atas bagi menentukan kumpulan darah.
Contoh :
Gambar kanan 2 dari bawah : darah A
Gambar kanan 3 dari bawah : darah AB
Gambar kanan 4 dari bawah : darah O
Gambar kanan 5 dari bawah : darah B

Penentuan jenis darah berdasarkan ujian di atas.

Step 3.Bertemu doktor untuk mengukur paras tekanan darah
sambil disoal selidik kadar kesihatan berdasarkan
Borang Pendaftaran Penderma.

Step 4.Kaunter pendaftaran.
Di sini segala kelengkapan untuk menderma disediakan.
Tabung darah,segala maklumat tentang darah akan di
perlengkap di sini untuk tujuan rekod.

Step 5.Masa yang ditunggu tunggu.
Menderma darah sambil santai di tepi pohon rhu.

Step 6.Selesai sudah menderma darah (sebanyak 450mL)
Di makmal,darah ini akan di bahagikan kepada 3
(whole blood,platlet dan plasma)
menerusi proses khas.

Step 7.Darah di'pack' kan menerusi proses khas.

Step 8.Darah yang telah didermakan sedia tersimpan di dalam suhu khas.
Moga darah-darah ini dapat membantu
kepada siapa yang memerlukan.

Step 9.Menerima sijil sebagai bukti.
Terlaksanalah juga tanggungjawab sosial.

Step 10.Masa untuk makan @ tambah darah.
Tips pasca derma darah : Minum air kena banyak.
Tips khas : Derma darahlah dari tangan kiri,
tangan kanan pula boleh makan dengan selesa
kemudiannya :)

Thursday, October 21, 2010

:: Syukur itu bagaimana? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. -An Nahl:18"

Ada seorang pesakit yang terlantar sakit di atas katil hospital.Dia hanya boleh mengharapkan sumber makanan sebagai tenaga yang disalurkan dari btol drip ke dalam badannya.Walaupun ramai yang datang melawatnya membawa pelbagai macam buah tangan,pesakit itu terpaksa mengikuti arahan doktor yang tidak membenarkannya dia makan selain mendapat kebenaran doktor.

Kita boleh hidup secara bermewah-mewahan,
namun belum tentu kita dapat mengecapinya.
(sekadar gambar hiasan)

Ada seorang pesakit kencing manis yang sedang mengawal paras gula dalam badannya dan pesakit berkenaan berusaha sedaya upaya untuk mengawal kadar pemakanannya.Walaupun di dalam peti sejuknya terdapat pelbagai jenis makanan dan minuman,tapi kerana dietnya yang terkawal,orang tersebut tidak dapat mengecapi segala jenis makanan itu walaupun dihidang di hadapan mata.

Mereka seperti yang di atas,di keliling mereka ada makanan,tapi mereka tidak boleh menikmatinya.

Berlainan pula dengan situasi ini.....
Tika ini nyawa lebih penting dari segalanya.
Pakistan lumpuh sama sekali akibat banjir besar emlanda
negara mereka baru-baru ini.

Baru-baru ini,Pakistan sebuah negara yang jarang sekali dilanda banjir,telah dilanda bencana banjir yang cukup dahsyat.Tambah memburukkan keadaan lagi,banjir itu telah melanda Pakistan dalam tempoh masa yang agak panjang.Oleh kerana agak jarang dilanda banjir,kerajaan Pakistan tidak mempunyai persediaan yang mencukupi bagi menangani bencana alam seperti itu.Ramai penduduk yang terperangkap ditengah-tengah lautan banjir.Bantuan seperti makanan,ubat-ubatan,pakaian amat sukar untuk diagihkan kerana perhubungan darat telah putus sama sekali.Maka,walau penduduk ini amat perlukan makanan,tapi pada masa yang terdesak itu pula bekalan makanan amat sukar untuk didapati.Dengan kata lain,mereka boleh makan tetapi makanan pula yang tiada disekeliling mereka.

Kalau di renung-renung sedalam-dalamnya,begitu banyak nikmat Allah yang kadangkala kita tidak sedari.

Selain dari itu,ada nikmat kurniaan Illahi yang boleh kita nampak/rasa dan ada juga nikmat yang kita tidak boleh nampak.Dan antara banyak banyak nikmat tersebut,nikmat dapat mengecapi Iman dan Islamlah nikmat yang paling besar.

Dan Lagi....

Nikmat sesuatu perkara itu boleh memberikan asbab kesan kepada kita.Contohnya...

Jika kita tiada makanan,kita mungkin mati dalam kelaparan.
Jika kita tiada minuman,kita mungkin akan mati kehausan.
Namun,jika kita mati tanpa Iman,kita akan mati dalam kekufuran.

Jadinya,dalam apa jua keadaan,perbanyakkanlah berdoa supaya kita sentiasa bersyukur atas kurniaanNya.

Cukupkah dengan hanya berdoa semata-mata??

Kita renung sejenak apa pesan Nabi SAW kepada ummatnya....

Daripada ‘Amar bin Shu’ayb daripada datuknya ‘Abdullah bin ‘Amar katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w.: “Dua perkara sesiapa yang memilikinya Allah s.w.t. menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan orang yang bersabar. Sesiapa yang tidak memilikinya Allah tidak akan menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan orang yang bersabar. Orang yang melihat dalam urusan agamanya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya lalu dia mengikutinya dan sesiapa yang melihat kepada orang yang lebih rendah daripadanya lalu dia memuji Allah kerana limpahan Allah s.w.t. untuknya maka Allah menulisnya sebagai orang yang bersyukur lagi sabar. (Sebaliknya) sesiapa yang melihat dalam urusan agamanya kepada orang yang lebih rendah daripadanya dan melihat dalam urusan dunianya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya lalu dia berdukacita kerana tidak memperolehinya maka Allah s.w.t. tidak akan menulisnya sebagai orang yang bersyukur dan bersabar. (al-Tirmizi, no: 2512)

Nota tambahan :
1.Tanda syukur kita terhadap Allah SWT boleh dizahirkan melalui lafazan (mengucap khalimah ALHAMDULILLAH) ataupun dengan amal ibadah (contohnya dengan memperbanyakkan amalan sunat seperti bangun dan bersolat malam.

2.Sabar pula terdidik dari amalan amal maaruf dan nahi munkar.

Moga perkongsian dapat menambah pencerahan dalam pemahaman kita dalam hidup berlandaskan Deen.

(catatan dari Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hj Hambali Saat pada 12 Oktober 2010-Surau Al Amin)

Thursday, October 7, 2010

:: Hati Itu milik Siapa? ::

C.I.N.T.A
Kalimah Keramat...
"Mahu mencari cinta?
Mengapa?
Apa ada dalam cinta?
Apa matlamat selepas cinta?
C.I.N.T.A?
Apa itu Cinta?"

Cinta adalah satu definasi kepada perasaan yang lahir dari dalam diri makhluk ciptaan Allah.Perasaan cinta pula adalah satu fitrah yang ada bagi semua makhlukNya.

Ada yang mengatakan CINTA ITU SENI,CINTA ITU BUTA malah ada pula yang mengatakan CINTA ITU DIBAWA MATI.

Walau apa pun istilah,cinta itu perlu dizahirkan kerana ianya satu fitrah.Dan ianya perlulah dizahirkan kepada sesuatu.Terlalu banyak yang boleh kita CINTA,namun yang lebih menarik diperkatakan adalah CINTA sesama manusia.CINTA yang bisa menyatukan 2 manusia.
C.I.N.T.A
Apa kuncinya??

Namun di sebalik cinta yang bisa menyatukan hati 2 manusia itu,biasanya didahuli dengan langkah memilih,sebagai persediaan kepada siapakah CINTA itu akan dizahirkan.

Proses pemilihan inilah yang membuatkan CINTA itu satu proses yang agak sukar.

Renung sejenak…

Bayangkan sahajalah wakil-wakil rakyat dan ahli-ahli parlimen menjalani proses untuk di pilih oleh rakyat.Mereka terpaksa bekerja keras di dalam pertubuhan mereka sebelum di pilih menjadi calon.Itu pun baru calon,belum lagi di pilih untuk bertanding.Bila sudah di pilih untuk bertanding,terpaksa berkempen ke sana ke mari menyebarkan manifesto/halatuju sekiranya mereka di pilih oleh rakyat.Ketika berkempen,merka pula terpaksa mengharungi kerenah pelbagai pihak samada rakyat yang akan mengundi mahupun pihak pertubuhan yang akan berlawan dalam pengundian tersebut.Setelah berjaya mendapat mandat dan kepercayaan rakyat untuk menjadi wakil rakyat/ahli parlimen,mereka terpaksa membuat kerja selaras dengan manifesto yang telah di janjikan pada awalnya.Ternyata,hanya wakil rakyat/MP yang tulen sahaja akan berjaya mengemudi kapalnya.Kita,sebagai rakyat yang memilih mereka,selepas sahaja proses pengundian berakhir,tidak mampu membuat perubahan melainkan suara suara/cadangan cadangan yang di lontarkan kepada wakil rakyat/MP,itu pun kalau di endahkan oleh mereka.Hanya wakil rakyat/MP yang betul betul peka pada tanggungjawab mereka sahaja yang akan mengambil hirau aduan rakyat.Kerana golongan wakil rakyat/MP sebegini adalah mereka mereka yang amanah dengan tanggungjawab mereka.Kita tidak mahu wakil rakyat/MP yang kita pilih,sudahlah tidak menunaikan tanggungjawab mereka,lebih teruk mereka pula berubah haluan lalu melompat ke pertubuhan yang menjadi lawannya sebelum ini.

Begitu juga dalam perkhawinan.

Apa pun sifat peribadi atau latar belakang calon suami,sedikit sebanyak ia memainkan peranan penting dalam masa hadapan sesebuah perkhawinan.

Kata orang tua-tua,bagaimana cetak begitulah kuihnya.
Bagaimana cetak,begitulah hasilnya.

Dengan kata lain,sekiranya didikan agama seseorang bakal suami itu baik,InsyaAllah,baiklah kemudiannya.Tapi harus di ingat,iman itu sifatnya Yazid Wayankus (bertambah dan berkurang).

Oleh sebab itulah,lelaki yang melalui tarbiah (didikan) dari cetakan asli agama mampu bertahan dalam ujian alam perkhawinan.Harus di ingat,selepas alam perkhawinan,sebagai suami dia juga masih mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat.Kerana tugas manusia dihantar ke bumi adalah sebagai khalifah (pentadbir).

Macam mana nak cari calon suami yang melalui tarbiah (didikan) dari cetakan asli agama?

Jawapannya…

Bagaimana kita mahu memastikan seekor ikan itu berasal dari sungai Pahang kalau kita sendiri tidak memancingnya/menjalanya sendiri di sana.

Begitu juga,bagaimana kita hendak memastikan bakal suami kita itu melalui tarbiah yang sempurna,sekiranya calon isteri itu tidak melalui proses tarbiah yang sama.

Begitu juga kisahnya dalam proses pemilihan wakil rakyat/MP.Bagaimana mungkin kita tahu calon yang bertanding melalui tarbiah yang sempurna,sekiranya kita sendiri tidak melalui tarbiah dari sumber yang sama.

Sekiranya proses ini tidak di lalui,maka kita hanya mampu menilai calon kita itu sekadar yang termampu.Kata orang tua tua lagi,lelaki ini kita akan tahu perangai sebenarnya selepas dia berkhawin.Begitulah juga sebaiknya.

Kan ilmu perkhawinan itu adalah salah satu cabang ilmu yang perlu di tuntut tanpa perlu ada majlis konvo.Ujian sentiasa mendatang tanpa ada jadual.Raihlah ilmunya dalam tarbiah (pendidikan) yang berterusan.
Sawah perlukan batas,
kalau tidak air tidak dapat diempang.
Cinta juga perlu pembatas...

Dan perlu diingat,sepertimana sawah itu perlu diairi,tanah perlu dibajak,CINTA juga perlu digilap bagi memastikan perasaan itu sentiasa subur.Dan,sepertimana sawah perlukan batas,CINTA juga perlu dibatasi agar CINTA sesama manusia tidak melebihi keperluan kita menCINTAi Pencipta kita.
CINTA
kepada ALLAH.
Apa maksudnya?
Moga CINTA yang disemai membuahkan hasil yang baik agar kita dapat menuainya di SYURGA kelak.

Wak,
Senawang,Seremban,
29 Syawal 1431.

Wednesday, October 6, 2010

:: Hukum Lautan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Sejak seminggu dua ini,anak-anak di rumah asyik mengulang tayang kisah Shark Tale (DISNEY).Hinggakan Ain Sofiah,anak dara saya yang seorang itu pun turut hafal sesetengah dialog watak yang ditayangkan.Manakan tidak,selagi umminya tidak mengarahkan Abdul Aziz,anak sulung saya,supaya mematikan PC yang di tonton,selagi itulah Shark Tale itu di ulang tayang.Saya pun sudah naik hafal jalan ceritanya.Malah terlintas di hati saya,"tak jemu agaknya."

Shark Tale dan karektor yang ada di dalamnya.

Oscar-pemegang watak utama.
Hero yang berjaya mengalahkan si Jerung.
Kononnya menjadi pembunuh Frankie (si jerung ganas).

Entah macamana pagi tadi,ketika perjalanan menaiki tangga ke pejabat saya,terlintas secara tidak langsung di dalam kepala saya beberapa babak dalam cerita Shark Tale itu.Agaknya kerana sudah terlalu kerap 'menemankan' mereka menonton,secara tidak langsung,minda separa sedar pun turut merakam babak-babak tersebut.

Dalam pada babak-babak tertentu itu terlintas di dalam minda,sempat saya berfikir,kenapa agaknya ikan-ikan di lautan itu boleh berenang ke sana ke mari tanpa berlanggar antara satu sama lain.Sedangkan jumlah mereka terlalu banyak.Malah berbagai bagai saiz pula.Lebih dari itu,bukan sahaja makhluk bernama ikan sahaja yang tinggal di dalam perut lautan itu,sotong,udang,tapak sulaiman,ketam,kerang dan entah apa lagi,namun mereka tetap hidup aman damai,jauh dari tragedi berlanggar antara satu sama lain.Apakah agaknya panduan mereka ketika mereka berenang? Kompas? Deria bau? Kawasan jajahan? Adakah dalam lautan itu terdapat peta pembahagian? Ruangan jalan? Highway PLUS?
Bagaimana ikan-ikan ini berkomunikasi?
Polis trafik/lampu isyarat/sign board manakah yang
menjaga lalulintas mereka?

Cuba kita bandingkan pula dengan ‘hidupan’ di permukaan lautan.Ada kapal laut,ada kapal perang,ada kapal kontena,ada kapal layar dan pelbagai lagi kenderaan ciptaan manusia.Jumlah kapal-kapal itu pula,tidaklah sebanyak jumlah makhluk yang hidup di perut lautan,namun kerap kali kita dengar kapal kontena berlanggar sesama sendiri,ataupun kapal perang tertembak sesama mereka.Sedangkan,sekiranya kapal-kapal itu berlayar di lautan,mereka dilengkapi dengan sistem radar dan sebagainya.Sistem radar inilah yang menjadi panduan kapten kapal ketika mereka berlayar di lautan lepas.Namun walau dilengkapi dengan peralatan canggih,keberangkalian untuk mereka berlanggar sesama sendiri tetap ada.Mengapa agaknya? Sudahlah berlanggar,lautan pula tercemar dengan muatan yang mereka bawa.Kalau terjadi kebakaran,udara juga tercemar dengan kesan pembakaran itu.
Berlanggar di lautan lepas...???
Lautan tercemar.
Asap terlepas ke udara.
Anak kapal juga menjadi mangsa...

P/S : Agaknya kalau ada kes ikan buntal terlanggar ikan pari,apa akan terjadi agaknya?

"Kita biasa dengar istilah HUKUM RIMBA,namun jangan dilupa istilah HUKUM LAUTAN."