Tuesday, November 2, 2010

:: Rokok di hisap & di HISAB?? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Baru baru ini berbetulan jadual saya pada hari minggu agak terbuka.Alhamdulillah saya sekeluarga dapat memenuhi undangan En Shaari bagi mewakili keluarga ibunya.Majlis undangan walimah itu merupakan bagi meraikan pasangan pengantin baru yang merupakan adik bongsu bagi En Shaari.Saya tiba ke tempat majlis lebih kurang jam 2 petang.

Tiba di tempat majlis,saya diraikan dan disambut oleh En Shaari yang memang terkenal murah dengan senyuman.Saya sekeluarga dipersilakan duduk di meja yang telah dihidangkan juadah makanan.Cukup meriah,selain dari meraikan pasangan pengantin baru,tuan rumah telah memilih untuk meraikan dan menyambut para tetamu mereka dengan makanan siap dihidang berbanding trend masakini yang lebih kepada secara buffet.

Kerana terlalu khusyuk menyuap makanan mengisi ruang perut yang memang tersedia kosong,membuatkan saya tidak perasan bila masanya meja di sebelah kami diisi dengan tetamu lain.Nampak gaya pemakaiannya seperti bukan calang-calang orang,detik hati saya.Lalu,kerana anak bungsu saya di dalam dakapan saya kala itu,saya memantaskan suapan nasi saya untuk segera menghabiskan juadah di dalam pinggan.

Sedang saya bertungkus lumus menghabiskan juadah makanan,tiba-tiba hidung saya menangkap sesuatu bau yang cukup saya kenal.Lalu,saya mencari-cari di mana puncanya.Akhirnya saya dapati,jiran yang makan bersama-sama serta duduk di sebelah sayalah yang telah menyalakan api rokoknya yang menyebabkan saya terhidu asapnya.Secara jujurnya dari hati yang tulus ikhlas saya memang cukup tidak menyukai orang yang menghisap rokok.Lagi- lagi orang yang menghisap rokok di khalayak ramai.Bertambah lagilah kemuakkan hati saya apabila orang yang merokok di khalayak ramai itu tidak mempedulikan langsung siapakah yang ada di sekelilingnya.

Biasakah anda dengan situasi sebegini?
Mengapa ia boleh berlaku?
Di manakah kurangnya?

Minta para pembaca meluangkan sedikit masa untuk menghadam apa yang saya ingin kongsikan di bawah ini....

Saya telah di beri keizinan Allah untuk tinggal di rantau orang selama 3 tahun.Dan negeri yang saya pilih adalah Jepun,sebuah negara yang memang sudah lama terkenal sebagai negara maju di rantau Asia.Penduduknya seperti kita di Malaysia dimana makanan ruji mereka adalah nasi.

Saya kongsikan serba sedikit himpunan pengalaman saya ketika di sana.

Kisah 1-Kelab Sukan.

Aktiviti kelab sukan/persatuan yang di lakukan di peringkat sekolah di Jepun seperti juga di Malaysia,merupakan aktiviti ko-kurikulum yang di jalankan samada harian ataupun mingguan.Setiap murid mempunyai satu kelab sukan yang mereka sertai.Kelab sukan ini pula mempunyai MANAGER yang terdiri dari beberapa murid perempuan yang terpilih di kalangan ahli kelab.Tugas mereka adalah menjadi pembantu kepada guru kelab seperti mencatat kedatangan,menyediakan alatan dan kelengkapan,kadangkala membancuh air dan beberapa tugasan kecil yang lain.Dengan kehadiran/kewujudan MANAGER ini,tugas guru kelab lebih mudah dan mereka boleh terus lebih mengfokus pada aktiviti dan target utama kelab mereka.Rasanya inilah salah satu penyumbang utama guru/jurulatih pasukan dapat memantau dengan lebih terperinci ahli kelabnya.Dan saya secara peribadi tidak menidakkan faktor pemantauan guru kelab terhadap prestasi ahli kelabnya,menyebabkan ada satu daya ikatan yang membuatkan ahli kelabnya jarang yang bertukar kelab ke sana ke mari atas alasan tertentu yang tidak boleh diterima.(contohnya:sekejap kelab badminton,sekejap kelab bola sepak)

Maka saya dapat lihat dan perhatikan,sekiranya murid itu ketika sekolah rendahnya menyertai kelab olahraga maka kelab itu akan terus di sertai sehinggalah sekolah menengah mahupun di peringkat universiti.Malah kelab sukan yang agak glamour seperti bola sepak,softball/besball dan bola tamper,mereka masih terus sedia aktif walaupun mereka sudah berada di alam pekerjaan.Tapi harus di ingat juga,kelab-kelab yang glamour ini mempunyai saringan tertentu bagi memilih ahli kelab mereka.Dan mereka yang betul-betul layak sahaja akan dapat terus kekal di dalamnya.Jika tidak di buat begitu,maka lambakkan ahli kelab pula akan terjadi.

Maka saya simpulkan di sini,dengan suasana dan fenomena di atas,di mana setiap individu begitu setia dengan kelab sukan mereka dari sekolah rendah hinggalah ke alam universiti,menjadikan Jepun mempunyai sumber atlet sukan yang begitu ramai.Dan dengan itu dapat terjawablah persoalan yang terbuku di dalam pemikiran kita,mengapa pasukan bola sepak mereka berjaya sehingga ke Piala Dunia sedangkan dalam tahun 70-an dulu,mereka adalah pasukan belasahan Harimau Belang.

Kisah 2-5S.

Sistem pembuangan sampah di Jepun memang agak unik kadangkala boleh menjadi rumit.Ia memerlukan kita mengasingkan segala jenis sampah mengikut kategori.Sampah di kelaskan mengikut bahan basah & kering,bahan plastik,bahan kertas,bahan kaca,bahan aluminium dan bahan besi.Sisa makanan adalah kategori bahan basah manakala segala macam pembalut makanan pula perlu di buang berasingan di dalam beg plastik yang berasingan.Dan hari pemungutan sampah oleh lori sampah juga berlaianan.Walaupun sampah basah sudah kita longokkan di hadapan rumah kita,namun sekiranya hari berkenaan adalah hari untuk pemungutan sampah kertas,lori sampah akan membiarkan sahaja sampah basah itu di hadapan rumah kita sehinggalah hari gilirannya tiba untuk di pungut.Walaupun ia sudah berbau!!!

Dan yang amat menariknya,sistem ini dipraktikan oleh sebahagian besar penduduk di sana.Jarang sekali kita dapati mereka tidak patuh dengan arahan dengan mencampur adukkan sampah mereka.Setiap isi rumah dididik sedemikian rupa untuk mengasingkan sampah mereka walaupun sekecil-kecil anak.Jadinya sikap tidak mencampur adukkan sampah ketika membuangnya memang terdidik sejak mereka kecil lagi.Maka bila generasi ini membesar menjadi dewasa,mereka terus sahaja mempraktikkan apa yang mereka pelajari sejak mereka kecil.

Kata pepatah melayu,melentur buluh biar dari rebung.
Malah ada juga pepatah mengatakan alah bisa tegal biasa.

Kisah 3-Rewang.

Saya pernah dijemput untuk menghadiri majlis pertukaran budaya antara kami pelajar Malaysia dengan pelajar sekolah rendah di sebuah bandar kecil di Jepun.Antara aktiviti yang di buat adalah sessi memperkenalkan diri dan menceritakan serba sedikit tentang negara asal kami.Maklumlah Malaysia antara negara yang kurang mendapat pendedahan di Jepun,maka ramai kanak-kanak sekolah di sana kurang mendapat informasi tentang Malaysia.Selain itu kami mendemonstrasikan beberapa permainan tradisional termasuk sepak raga bulatan.Bukan main gembira mereka dapat menimang bola rotan yang kami sengaja bawa dari kolej kami.

Di pertengahan sessi berkenaan,kami diberi kesempatan pula untuk meninjau ke beberapa bilik darjah tempat mereka belajar sambil diiringi oleh beberapa orang guru mereka.Kebetulan ketika kami meninjau kelas mereka,waktu rehat pagi mereka pun tiba.Kelihatan beberapa orang dari murid di dalam kelas yang kami lawat itu mula menyusun meja menjadi seperti mini kaunter.Bila saya tanyakan kepada guru pengiring,barulah saya tahu,mini kaunter itu akan dijadikan tempat mereka membahagi bahagikan makanan sesama mereka untuk waktu rehat pagi.Dan menu pada pagi itu adalah Sup Mee Udon.Memang betul langkah kanan kami pagi itu,dapatlah kami merasa Mee Udon panas itu bersama sama mereka.Dan saya juga turut sama sama beratur,sambil pelajar yang bertugas mencedokkan Mee dan Sup untuk kami semua.Bayangkan sahajalah pelajar yang saya kira umur sekitar 8~9 tahun sudah di ajar berdikari dan mempunyai semangat bantu membantu antara satu sama lain.

Kisah 4-Mencabut ubi keledek.

Sekali lagi kami di jemput untuk sessi pertukaran budaya,kali ini juga dengan pelajar sekolah rendah.Lokasinya pula di adakan di sebuah kebun ubi keledek milik salah seorang penduduk tempatan.Kami tiba di kebun berkenaan agak awal pagi,namun pemilik kebun bersama beberapa orang guru dan murid sekolah terlebih dahulu tiba sebelum kami.Apa yang kami dapat perhatikan ketika itu adalah,kebun ubi keledek tersebut telah di bersihkan terlebih dahulu oleh tuan tanah berkenaan.Yang kelihatan ketika itu adalah batas-batas tanah dan batang keledek yang sedia untuk di cabut.Selepas upacara ucapan ringkas dan mengalas perut dengan sedikit teh jepun(kocya) kami pun memulakan aktiviti kami.Sebelum mencabut keledek,pelajar sekolah rendah berkenaan telah di bahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap dari kami mendapat 1 kumpulan yang terdiri dari lebih kurang 6 orang pelajar.

Ketika acara mencabut keledek itulah,kami sesama ahli kumpulan bertukar tukar perbualan sekitar latar belakang dan cara hidup kanak kanak di Malaysia.Walaupun acara berkenaan di jalankan tidak terlalu formal,tapi bagi saya ia memberikan satu bentuk latihan kepada pelajar cara berkomunikasi dalam sebuah masyarakat yang terdiri dari pelbagai peringkat umur.

Dari situasi-situasi di atas,saya dapat membuat agakan peribadi mengapa agaknya warga Jepun boleh maju sejauh yang mereka kecapi sekarang berbanding dengan Negara kita.Penduduknya sejak mereka kecil di terap dengan beberapa latihan khusus yang secara tidak langsung mendidik peribadi mereka apabila mereka besar kelak.Bukankah begitu?

Bagaimana pula dengan kita?
Apa yang kita telah didik kepada anak dan bangsa kita selama ini?

Cukuplah kiranya pada peringkat awal ini kita menerapkan kesedaran kepada semua peringkat umur,bahawa kita hidup di muka bumi ini adalah secara bermasyarakat/berjemaah dan bukannya secara individu.

Adakah dengan tindakan sedemikian,fenomena dalaman di negara kita boleh berubah?
Tidak mustahil bukan?

"GreenPeace"
2 November 2010
Senawang,Negeri Sembilan.

No comments: