Friday, June 15, 2012

:: Mengharap turunnya hujan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Kisah mereka.

Untuk mendidik dan membiasakan anak sulong saya-Abdul Aziz,agar menjadi pemimpin kepada adik-adiknya,kebanyakan tugas pembahagian saya serahkan kepadanya.Contohnya apabila saya membeli buah tangan,bila saya sampai di rumah,buah tangan itu saya akan serahkan kepada Abdul Aziz.Lalu apabila menerima sejumlah buah tangan itu,Abdul Aziz akan mula membahagi-bahagikan kepada adik-adiknya.

Biasalah,pasti ketika proses pembahagian,ada sahaja adik-adiknya yang tidak puas hati.Manakan tidak,ada yang mendapat gula-gula ungu sedangkan gula-gula merah yang diinginkannya dan sebaliknya.Untuk membeli gula-gula/buah tangan lain yang sama warna kesemuanya juga mustahil,anak saya mempunyai minat yang berbeza setiap kali saya membelikan mereka buah tangan.Kesudahannya ada yang memuncungkan mulut lalu Abdul Azizlah yang menjadi mangsa keadaan,mereka berpakat untuk 'tidak kawan' dengan Abdul Aziz.

Melihat keadaan itu,saya turun dari kerusi tempat biasanya saya berehat.Saya tanyakan kepada mereka,'Siapa yang beri rezeki?' Anak-anak saya yang sudah faham dengan soalan saya itu akan ramai-ramai menjawab, "Allah." Saya tersenyum mendengar jawapan mereka.Biasanya tidak lama kemudian,masing-masing akan mula menikmati buah tangan milik masing-masing walaupun mereka tidak dapat apa yang mereka hajati.Malah kadang-kadang ada salah seorang dari mereka menjadi pemula idea dengan mengajak untuk bertukar-tukar.Dapatlah mereka masing-masing merasa kesemuanya walaupun sedikit-sharing is caring.

Hujan yang turun membasahi bumi
adalah rezeki pemberian Allah.
Manusia mendapat Rahmat,tumbuhan mendapat sumber minuman
malah si katak menyanyi kegirangan.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"


Kisah saya.

Beberapa hari ini,panas yang agak terik melanda Senawang.Malah panas disiang hari membawa bahangnya hingga ke malam.Sehinggakan dinding rumah juga masih berbahang panas walaupun jam sudah menunjukkan jam 12 tengah malam.Bukan sekadar itu,apabila membuka pili air di waktu subuh,air dari tangki simpanan masih lagi suam.Agaknya ketika matahari rembang di tengahari,bagaimanakah kadar panasnya air di tangki itu.

Walaupun duduk di dalam pejabat yang berhawa dingin,namun bila turun ke bahagian pengeluaran,bahang panas disiang hari itu terasa juga.Lalu,badan akan cepat menjadi letih dek kerana air dalam badan terlalu cepat menyejat.

Semalam keletihan yang melanda badan agak terasa.Terasa terseksa menunggu jam 6 petang-waktu kerja tamat.Saya merancang untuk pergi ke Pasar Malam Taman Tasik Jaya mencari sekiranya ada sebarang makanan/minuman yang boleh dijadikan penyegar badan.

Sementara menunggu jam 6 petang,saya berehat sebentar di dalam surau dek kerana terlalu letih.Itu pun terlalu lama rasanya menunggu 10 minit itu berlalu.Jam 6 petang ketika saya keluar dari surau,panas terik masih menembak bumi.Mustahil dalam suasana panas yang masih bersisa ini saya dapat mengagahkan diri untuk menapak ketika berada di Pasar Malam.

Tunggu punya tunggu,jam sudah menunjukkan 6 setengah petang.Akhirnya saya tangguhkan rancangan saya untuk ke Pasar Malam.Lalu saya meneruskan membuat kerja sehingga jam 7 petang.

Tiba-tiba telefon saya berbunyi.Ia panggilan dari kerani saya.Katanya lauk yang dibeli di kantin tertinggal di pantry kilang dan dia menghadiahkannya kepada saya.Alhamdulillah.Sekiranya saya sudah berada di Pasar Malam,sudah tentu saya tidak akan berpatah balik untuk mengambil lauk yang tertinggal itu.Dan sudah tentu lagi jika sudah ke Pasar Malam,pasti beberapa keping duit kertas ini akan bertukar tangan dengan peniaga di sana.

Kerana terlalu gembira dengan rezeki yang tidak terduga itu,saya batalkan terus niat saya untuk ke Pasar Malam.Kerana apa? -Rezeki yang tidak di duga pun dapat,malah duit di dalam dompet pula langsung tidak berluak.

Sesungguhnya perjalanan hidup kita ini DIA lah yang lebih Mengetahui.
...dan rezeki itu Allah lah yang Memberi,kita tiada kuasa langsung untuk menentukannya.

Moga perkongsian dapat memberi munafaat.

Wak,
TDI.

No comments: