Tuesday, April 24, 2012

:: iPhone 4S vs NOKIA ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Entah mengapa,suatu hari salah seorang kawan sekerja memanggil saya ke tempat duduknya.Nampak mukanya agak serius berbanding biasa.


Sedih,ia suatu reaksi dalaman.

Dengan penuh berat hati,kawan saya itu menceritakan masalah yang menimpa keluarga mereka.Diringkaskan,mereka sedang menanggung hutang yang cukup banyak jumlahnya.Ditambah lagi masalah,mereka telah dikejar oleh along yang menjadi pemberi hutang kepada mereka.Saban hari,bermula dari panggilan telefon biasa,kemudiannya menjadi panggilan yang berupa ugutan.Malah,wakil along itu sudah berani pergi ke tempat kerja untuk menuntut hutang.Pendek kata,kehidupan mereka memang dalam keadaan tertekan.

Cerita kawan saya lagi,sejak sekian lama rutin hidup mereka adalah bangun pagi dan memikirkan cara untung melangsaikan hutang.Namun ia tidaklah semudah itu.Keadaan kewangan mereka bukanlah semewah mana walaupun kedua-dua mereka bekerja makan gaji.Anak perlu disekolahkan (walau ada yang dihantar ke kampung duduk bersama nenek mereka),ditambah dengan perbelanjaan makan pakai untuk keluarga,itu sahaja pun sudah cukup banyak jumlahnya.Itu belum lagi komitmen bulanan (bayaran bulanan pinjaman perumahan,bil api dan air dll).Mana hendak dicari sumber kewangan untuk melangsaikan hutang.Akhirnya setelah bertahun-tahun cuba berdikit-dikit untuk melangsaikan hutang along,khabarnya bunga pun belum dapat diselesaikan lagi,apatah lagi pokoknya.

Akhirnya,

Kemuncak kesabaran along sudah sampai ke tahap yang tidak dapat dibendung.Kata putus perlu dibuat.Dan akhirnya,rumah yang mereka duduk kini di jual kepada along berkenaan untuk menampung hutang mereka.Itupun setelah ditolak dengan jumlah hutang,masih lagi berbaki banyak.Apakan daya,itu sahaja ikhtiar mereka.Dan kini,mereka menumpang di rumah sendiri.Jika mahu menduduki juga rumah tersebut,mereka terpaksa pula membayar sewa bulanan.

Itu baru sebahagian sahaja dari pengkisahan cerita sedih dari seorang rakan sekerja saya.Ada banyak lagi yang diluahkan kepada saya.Biarlah buat masa ini saya menyimpannya di dalam hati sebagai peringatan kepada saya.

Saya rasa,kisah di atas bukan kisah luar biasa.Bahkan saya rasa kisah yang lebih menyedihkan dari kisah di atas juga ada dan pernah berlaku di luar sana.Cuma satu yang ingin saya kongsikan :

Sahabat Nabi SAW adalah sebaik-baik golongan manusia.Mereka dididik secara intensif terus dari kekasih Allah SWT,Rasulullah SAW.

Apa kesannya?

Saad bin Abi Waqas sekali diberitakan,kesan dari doa yang dipanjatkannya ke Hadrat Allah SWT,kumpulan mereka dapat menyeberangi ke seberang daratan dengan berjalan di atas air.Malah Abu Hurairah yang menyertai rombongan itu menceritakan yang bekas wudhuknya jatuh ketika mereka berjalan di atas air dan beliau sempat mengambil bekas wudhuknya itu.Abu Hurairah menceritakan lagi,yang air ketika itu menjadi jeras sehinggakan tapak kuda yang memijak air itu tidak basah.

Mengapa?

Tentu kita berasa pelik.Namun tentu ada yang berfikiran,"Bolehlah,mereka kan sahabat Nabi SAW."

Apa beza mereka dengan kita?

Contoh begini… (p/s : ini bukan perbandingan yang tepat)

Kita memiliki telefon bimbit secanggih iPhone yang mempunyai pelbagai macam aplikasi.Sebut sahaja apa kecanggihan telefon bimbit kala ini,iPphone telah mendahului syarikat pengeluar yang lain.Dari segi fizikalnya,iPhone memang cukup canggih.Tapi apa jadi jika telefon secanggih iPhone 4S tapi tidak mempunyai sim kad di dalamnya.Sudah tentu kita tidak dapat berhubung dengan orang yang kita hajati,walau apa cara sekalipun.

Berbanding dengan Nokia cabuk yang bersim kad di dalamnya,tentunya dengan telefon Nokia tersebut kita dapat berhubung dengan orang yang kita hajati langsung mungkin sahaja hajat kita dapat dicapai.

...begitu juga kita manusia.

Jika kita kuat berdoa,kuat beramal tetapi hati kita tidak terhubung dengan Pemilik kita,Allah SWT,bagaimana mungkin hajat ataupun permohonan kita akan termakbul sepertimana kualiti dan taraf para sahabat r.anhum.

...sebagai peringatan lagi.

Mungkin di hadapan dan sisi kita ada saudara yang kaya raya dan berpangkat.
Mungkin juga kita punya ramai sahabat yang mempunyai projek yang besar-besar.

Tapi,

Ada lagi yang Lebih Besar dari segalanya yakni Allah SWT.

...sedangkan kerajaan sehebat Nabi Sulaiman a.s yang mempunyai jajahan takluk dan kuasa yang tidak pernah dinikmati oleh sesiapapun sebelum mahupun selepas Baginda memerintah sekalipun masih tetap bergantung kepada Allah SWT,ini kan lagi kita.

Sebut sahaja apa yang mustahil di dalam Kekuasaan Allah SWT?

Pokoknya 'sim kad' mesti berfungsi.Cepat atau lambat,ia tertakluk di bawah Kekuasaan Allah SWT.

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

No comments: