Saturday, April 28, 2012

:: B.E.R.S.I.H 3.0 ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Matahari,juga makhluk ALlah SWT.
Ia tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya.
Apa akan jadi jika matahari lupa untuk muncul disiang hari?

Manusia pasti dan pasti tidak dapat mengelak dari perilaku lupa.Sifat lupa bukan bermakna manusia itu tidak tahu,tapi dek kerana banyak sangat yang manusia itu tahu,perlu tahu dan hendak tahu,akhirnya ada sesetengah perkara yang mereka tahu itu mereka lupa atau terlupa.Ia satu sifat semulajadi yang tidak dapat dielakkan.

...namun yang paling bahaya adalah sifat buat-buat lupa.

Sebab itulah Allah menurunkan Nabi dan Rasul,untuk memberikan peringatan.Lalu bila Nabi dan Rasul sudah tiada,maka ulamalah yang mengambil alih tugas tersebut.

...kita bukan ulama,lalu apa tugas dan tanggungjawab kita?

Sebelum itu,

3 bulan lepas,salah seorang rakan sekerja saya terpaksa menempuh satu kehidupan baru yang menyebabkannya perlu mengubah segala susunan hidupnya selepas itu.Bapanya yang bertugas sebagai pegawai kerajaan telah dipindahkan nun jauh di sana,Sabah negeri di bawah bayu.Sebelum ini bapanya bertugas sejak sekian lama di Jempol,Negeri Sembilan.

Bukan sahaja berita itu datang secara tiba-tiba bahkan menyebabkan rakan sekerja saya itu terpaksa berpisah jauh dengan ibubapanya.Dan jadilah dia sebatang kara kerana di Negeri Sembilan ini tiada siapa pun saudara maranya yang tinggal berdekatan melainkan kakaknya.

Walaupun sedih,hidup perlu diteruskan.Akhirnya saat perpisahan berkunjung jua.Kawan sekerja saya terpaksa tinggal di Semenanjung kerana tuntutan kerja begitu juga ibubapanya,terpaksa meninggalkan Semenanjung juga kerana tuntutan kerja.

...setelah 3 bulan.

Mana ada anak yang tidak rindukan ibubapanya begitu juga sebaliknya.Atas sebab itulah rakan sekerja saya telah merancang untuk menghabiskan cuti kerja sempena Hari Buruh yang akan datang ini untuk pergi ke Sabah dan bertemu dengan ibubapa yang tercinta di sana.

Segala perancangan telah di atur,cuti telah dipohon dan diluluskan,tiket kapal terbang telah ditempah bahkan ole-ole untuk dibawa ke sana juga telah siap dibeli,tinggal menunggu hari untuk bertolak sahaja.Rakan sekerja saya bersama kakaknya akan menghabiskan masa 6 hari di Sabah.Mereka cukup teruja.

...Allah Maha Berkuasa.

Hari Rabu lepas,satu kejutan berita telah diterima oleh rakan sekerja saya.Sejurus sahaja masuk ke pejabat,dia telah mendapat panggilan telefon yang mengatakan kakaknya tercedera dalam kemalangan jalanraya semasa hendak menuju ke tempat kerja.Kecederaan yang di alami agak teruk dan menyebabkan pihak hospital terpaksa menahan kakaknya di dalam wad untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.Ia benar-benar tidak terjangka.

Khabar terkini yang diterima,ibubapa rakan sekerja saya itu akan pulang ke Semenanjung buat masa terdekat untuk berada di samping anaknya yang tercinta.(Sepatutnya mengikut perancangan asal,anak-anak di Semenanjung yang akan melawat ibubapa mereka di Sabah.Tapi sebaliknya...)


Begitulah sesungguhnya perjalanan alam ini.Kita merancang,namun Allah jualah yang Maha Mengetahui apa yang berlaku.Saya mendoakan agar keluarga mereka tabah dan Allah permudahkan segala urusan dunia dan akhirat mereka.

...terkedu!

Berbalik kepada tajuk utama.Manusia sering lupa had dan batasan kuasa yang mereka ada.Bahkan sebenarnya kuasa itu pun sebenarnya hak Allah SWT yang dipinjamkan kepada kita.Terkadang kita terlupa akan perkara ini,langsung kita menyalahgunakan kuasa yang ada.

...sedikit dikongsikan untuk renungan.

Setelah sekian lama khutbah di MBBS hanya mengundang layu kepada mata,khutbah untuk Jumaat yang baru ini betul-betul memberikan sedikit kefahaman di dalam diri saya.Khutbah Jumaat di MBBS tidak menyebut perihal BERSIH seperti sebelumnya walaupun BERSIH 3.0 sedang hangat membara,tapi khutbah tempoh hari menyebut,

"Sesungguhnya anggota badan kita kelak akan menjadi saksi sendiri kepada perilaku buruk dan dosa-dosa yang kita lakukan.Mereka akan membenarkan segala perlakuan dosa kita di hadapan Allah SWT di hari perhitungan kelak.Hakikatnya tubuh anggota badan kita tidak rela melihat kemaksiatan dan perilaku dosa yang kita lakukan ketika di dunia,tetapi nafsu dan gelojak di dalam diri kita ini menidakkan kewarasan akal untuk berfikir dengan fitrah."

Ayuh manusia! Berilah peringatan untuk diri dan masyarakat yang selalu lupa.

BERSIH 100%!

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, April 25, 2012

:: Cash! ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam sekitar jam 8 malam sebelum pulang dari kerja,Alhamdulillah akhirnya sempat juga saya menguploadkan entry terbaru ke dalam blog.

Apa akan jadi bila si rabun hidup tanpa cermin mata?
Itu masih lagi besar nikmatnya berbanding dengan si buta.

Setelah siap berkemas untuk pulang,tiba-tiba saya dapati cermin mata saya tiada di sisi,tidak pasti di mana.Setelah di ingat-ingat,saya yakin cermin mata saya tertinggal di surau ketika saya menunaikan solat maghrib sebelumnya tadi.Ketika itu jam sudah menunjukkan hampir 8 suku malam.Saya perlu bersegera kerana saya perlu berkejar ke Surau Al Amin utuk mengikuti kuliah dari Ustaz Haji Hambali.

Saya segera turun ke bawah bangunan yang menempatkan surau lelaki.Ketika saya sampai di situ,ada 2,3 orang berada di surau.Saya tanyakan kepada mereka adakah mereka ada ternampak cermin mata saya.Mereka hanya menggeleng kepala.Saya meninjau-ninjau di kawasan tempat mengambil wudhu,juga tiada.Saya cuba melihat di tempat lipatan sejadah,juga tiada.

...masa sudah semakin berlalu.

Oleh kerana tidak puas hati disebabkan masih belum menjumpai cermin mata tersebut,saya sekali lagi naik ke meja kerja saya.Habis saya geledah seluruh kawasan meja dan laci,manalah tahu terselit di mana-mana celah.Namun,pencarian masih lagi menghampakan.

Ketika saya menoleh ke arah jam,waktu sudah menunjukkan 8 setengah malam.Waktu Isyak sudah hampir masuk.Untuk pergi ke kuliah rasanya sudah terlalu lewat.Di tambah dengan ketiadaan cermin mata,mana mungkin saya dapat meredah malam untuk menunggang motosikal.Akhirnya saya pasrah,sekali lagi saya menuju ke surau.Kali ini bukan untuk mencari cermin mata yang hilang tetapi untuk menunaikan solat Isyak.

Sebelum mengangkat takbir,terngiang di telinga saya pesanan seorang ustaz,"Solat kita ini kalau tak khusyuk,boleh jumpa semula barang kita yang hilang (dek kerana minda kita menerawang bukannya menumpukan kepada bacaan dan pergerakkan solat)." Saya cuba sedaya upaya agar minda saya tidak menerawang ketika solat.

Entah bagaimana selesai sahaja saya solat Isyak,hati digerakkan untuk solat taubat.Dulu kalau dengar cerita orang tua-tua balik dari melakukan haji,antara pengalaman yang mereka ceritakan kembali adalah pengalaman sesat di dalam Masjidil Haram (dek kerana terlalu banyak pintu yang serupa tapi tak sama).Antara 'ubat' yang paling mujarab untuk bertemu pintu yang dicari adalah dengan solat taubat 2 rakaat.Saya cuba mempraktikan perkara yang sama cumanya bukan di Masjidil Haram tetapi di dalam surau kilang.

Sebaik sahaja mengangkat takbir memulakan solat taubat,terasa aura khusyuknya.Manakan tidak,memang di saat itu saya amat memerlukan cermin mata saya itu agar dapat dijumpai kembali.Masuk rakaat kedua syaitan mula membisikkan hasutan lalu mengurangkan kekhusyukkan solat saya.Iman senipis kulit bawang saya pula turut tergugat dengan bisikkan syaitan tersebut.Syaitan berbisik lagi,"Mungkin ke apabila saya keluar surau nanti ada hamba Allah akan bertemu dengan saya dan mengatakan cermin mata saya ada padanya." Hati saya pula menyambung bisikkan syaitan tersebut,"Mustahil ia akan terjadi."

Selesai solat saya berdoa agar cermin mata saya itu dapat dijumpai kembali.Sebelumnya terlebih dahulu saya memohon keampunan kepada Allah SWT di atas segala kesilapan dan dosa yang telah saya lakukan samada disedari ataupun tidak.Selesai berdoa hati sudah semakin reda kelam-kabutnya.Kini,saya bertawakkal sepenuhnya sahaja.Pertama di atas kehilangan cermin mata saya.Kedua,untuk menempuh jalan balik ke rumah tanpa cermin mata di malam yang agak gelap.

Keluar sahaja dari surau,jam menunjukkan pukul 9 malam.Perut sudah berkeroncong.Penat jangan dikira dek seharian terbeban dengan tanggunjawab kerja.Di tambah lagi kepenatan mencari cermin mata yang entah ke mana menghilangnya.

Tiba-tiba di pintu surau tidak semena-mena muncul seorang pelajar politeknik yang sedang membuat latihan industri di kilang tempat saya bekerja.Terus sahaja dia berkata,"Abang ada tertinggal cermin mata ke tadi kat tempat wudhu.Cermin mata tu saya dah serah kat Supervisor." Bagaikan sebuah panahan.Saya terpaku melayani situasi tersebut.Satu perkara kerana cermin mata saya sudah dapat di kesan jejaknya.Yang kedua,apa yang terlintas ketika solat taubat tadi benar-benar berlaku,langsung ia menidakkan kemustahilannya.

Lantas satu sahaja ayat yang terlintas di hati saya,"Sebut sahaja apa yang mustahil di dalam Kekuasaan Allah SWT" –Ia benar-benar satu peringatan kepada diri ini yang selalu lupa (sedangkan ayat itu baru sahaja saya upload ke dalam blog saya jam 8 malam pada hari yang sama).

Ia satu pengajaran Cash! dari Allah SWT.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? "

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Tuesday, April 24, 2012

:: iPhone 4S vs NOKIA ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Entah mengapa,suatu hari salah seorang kawan sekerja memanggil saya ke tempat duduknya.Nampak mukanya agak serius berbanding biasa.


Sedih,ia suatu reaksi dalaman.

Dengan penuh berat hati,kawan saya itu menceritakan masalah yang menimpa keluarga mereka.Diringkaskan,mereka sedang menanggung hutang yang cukup banyak jumlahnya.Ditambah lagi masalah,mereka telah dikejar oleh along yang menjadi pemberi hutang kepada mereka.Saban hari,bermula dari panggilan telefon biasa,kemudiannya menjadi panggilan yang berupa ugutan.Malah,wakil along itu sudah berani pergi ke tempat kerja untuk menuntut hutang.Pendek kata,kehidupan mereka memang dalam keadaan tertekan.

Cerita kawan saya lagi,sejak sekian lama rutin hidup mereka adalah bangun pagi dan memikirkan cara untung melangsaikan hutang.Namun ia tidaklah semudah itu.Keadaan kewangan mereka bukanlah semewah mana walaupun kedua-dua mereka bekerja makan gaji.Anak perlu disekolahkan (walau ada yang dihantar ke kampung duduk bersama nenek mereka),ditambah dengan perbelanjaan makan pakai untuk keluarga,itu sahaja pun sudah cukup banyak jumlahnya.Itu belum lagi komitmen bulanan (bayaran bulanan pinjaman perumahan,bil api dan air dll).Mana hendak dicari sumber kewangan untuk melangsaikan hutang.Akhirnya setelah bertahun-tahun cuba berdikit-dikit untuk melangsaikan hutang along,khabarnya bunga pun belum dapat diselesaikan lagi,apatah lagi pokoknya.

Akhirnya,

Kemuncak kesabaran along sudah sampai ke tahap yang tidak dapat dibendung.Kata putus perlu dibuat.Dan akhirnya,rumah yang mereka duduk kini di jual kepada along berkenaan untuk menampung hutang mereka.Itupun setelah ditolak dengan jumlah hutang,masih lagi berbaki banyak.Apakan daya,itu sahaja ikhtiar mereka.Dan kini,mereka menumpang di rumah sendiri.Jika mahu menduduki juga rumah tersebut,mereka terpaksa pula membayar sewa bulanan.

Itu baru sebahagian sahaja dari pengkisahan cerita sedih dari seorang rakan sekerja saya.Ada banyak lagi yang diluahkan kepada saya.Biarlah buat masa ini saya menyimpannya di dalam hati sebagai peringatan kepada saya.

Saya rasa,kisah di atas bukan kisah luar biasa.Bahkan saya rasa kisah yang lebih menyedihkan dari kisah di atas juga ada dan pernah berlaku di luar sana.Cuma satu yang ingin saya kongsikan :

Sahabat Nabi SAW adalah sebaik-baik golongan manusia.Mereka dididik secara intensif terus dari kekasih Allah SWT,Rasulullah SAW.

Apa kesannya?

Saad bin Abi Waqas sekali diberitakan,kesan dari doa yang dipanjatkannya ke Hadrat Allah SWT,kumpulan mereka dapat menyeberangi ke seberang daratan dengan berjalan di atas air.Malah Abu Hurairah yang menyertai rombongan itu menceritakan yang bekas wudhuknya jatuh ketika mereka berjalan di atas air dan beliau sempat mengambil bekas wudhuknya itu.Abu Hurairah menceritakan lagi,yang air ketika itu menjadi jeras sehinggakan tapak kuda yang memijak air itu tidak basah.

Mengapa?

Tentu kita berasa pelik.Namun tentu ada yang berfikiran,"Bolehlah,mereka kan sahabat Nabi SAW."

Apa beza mereka dengan kita?

Contoh begini… (p/s : ini bukan perbandingan yang tepat)

Kita memiliki telefon bimbit secanggih iPhone yang mempunyai pelbagai macam aplikasi.Sebut sahaja apa kecanggihan telefon bimbit kala ini,iPphone telah mendahului syarikat pengeluar yang lain.Dari segi fizikalnya,iPhone memang cukup canggih.Tapi apa jadi jika telefon secanggih iPhone 4S tapi tidak mempunyai sim kad di dalamnya.Sudah tentu kita tidak dapat berhubung dengan orang yang kita hajati,walau apa cara sekalipun.

Berbanding dengan Nokia cabuk yang bersim kad di dalamnya,tentunya dengan telefon Nokia tersebut kita dapat berhubung dengan orang yang kita hajati langsung mungkin sahaja hajat kita dapat dicapai.

...begitu juga kita manusia.

Jika kita kuat berdoa,kuat beramal tetapi hati kita tidak terhubung dengan Pemilik kita,Allah SWT,bagaimana mungkin hajat ataupun permohonan kita akan termakbul sepertimana kualiti dan taraf para sahabat r.anhum.

...sebagai peringatan lagi.

Mungkin di hadapan dan sisi kita ada saudara yang kaya raya dan berpangkat.
Mungkin juga kita punya ramai sahabat yang mempunyai projek yang besar-besar.

Tapi,

Ada lagi yang Lebih Besar dari segalanya yakni Allah SWT.

...sedangkan kerajaan sehebat Nabi Sulaiman a.s yang mempunyai jajahan takluk dan kuasa yang tidak pernah dinikmati oleh sesiapapun sebelum mahupun selepas Baginda memerintah sekalipun masih tetap bergantung kepada Allah SWT,ini kan lagi kita.

Sebut sahaja apa yang mustahil di dalam Kekuasaan Allah SWT?

Pokoknya 'sim kad' mesti berfungsi.Cepat atau lambat,ia tertakluk di bawah Kekuasaan Allah SWT.

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Monday, April 23, 2012

:: Seremban Berselawat @ MALAM IHYA MAHABBAH RASULULLAH SAW BERSAMA AL HABIB UMAR BIN HAFIDZ ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bersempena kunjungan Al Habib Umar bin Hafidz ke Malaysia (17~25 April 2012),salah satu tempat persinggahan beliau adalah di Masjid Negeri,Negeri Sembilan (22 April 2012).

Alhamdulillah,berkat Kurnia Dan Rahmat Allah SWT,majlis yang telah di rancang rapi dapat disempurnakan pada malam tersebut.

Ikuti sedikit perkongsian bergambarnya.

Majlis bermula sekitar jam 6 petang.
Di mulakan dengan selawat dan Ustaz Haji Hambali memberikan sedikit tazkirah.
Antara isi kandungan tazkirah adalah Ustaz mengajak semua ummat Islam
agar mencintai Allah dan Rasulullah SAW.
Sesungguhnya sahabat-sahabat Nabi mencintai Rasulullah SAW lebih dari ahli keluarga,
harta dan diri mereka.Mereka tidak betah duduk di dalam rumah sehinggalah mereka
dapat menatap wajah Rasulullah SAW.

Majlis dimeriah dengan kehadiran Syeikh Nuruddin al-Banjari.
Syeikh Nuruddin al-Banjari memberikan tazkirah.
Antara isi tazkirah :
1.Hendaklah memanjatkan kesyukuran kerana dapat mengiktikafkan diri di dalam masjid.
2.Dua mata yang tidak diseksa pada hari akhirat,mata yang berjaga
di jalan ALlah SWT dan mata yang takut kepada ALlah.
3.Di akhirat kelak ada satu mimbar dari cahaya di mana ada sekumpulan manusia yang duduk di dalam mimbar tersebut.Kumpulan itu bukannya golongan Nabi,syuhada ataupun solihin.
Orang yang terdahulu dan orang yang menyusul kemudian akan mencemburui golongan ini.
Mereka adalah golongan yang berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah SWT.
4.Mencintai sesama manusia bukan kerana harta,pangkat atau kedudukan.
Mahabbah kepada manusia adalah kerana kecintaan kepada Allah SWT.

Al Habib Umar.
(ketika ini jemaah baru sahaja selesai solat Maghrib)

Ustaz Shuhada' selaku pengerusi majlis pada malam tersebut
sedang memulakan majlis.

Masjid Negeri sudah padat dengan hadirin yang mencintai majlis ilmu
dan tidak melepaskan peluang untuk bertemu Ahlul Bait.

Masjid Negeri Berselawat.
Al Habib Umar dan jemaah berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Bergema Masjid Negeri dengan
suara jemaah berselawat.
Muslimat di tingkat 2 juga tidak ketinggalan hadir
dan turut sama menadah ilmu.

Acara kemuncak.
Al Habib Umar sedang menyampaikan nasihat kepada hadirin.
Syeikh Nuruddin sebagai penterjemah.
Antara nasihat Al Habib :
1.Ada golongan yang menyesal kerana tidak beriman sedangkan nyawa
sudah sampai ke kerongkong.
2.Isilah masa malam yang ada untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.
3.Sertailah golongan yang menyibukkan diri mengingati Allah dan tinggalkan golongan
yang sibuk melalaikan diri dari mengingati Allah.

Suasana di dataran Masjid Negeri.
Ketika ini majlis bersurai.
Jemaah masih berlegar-legar.
Moga ini bukan pertemuan terakhir.

Masjid Negeri.
Moga ia menjadi saksi di Akhirat kelak.
InsyaAllah.

Moga perkongsian dapat memberi manfaat.

Wak,
TDI.

Friday, April 20, 2012

:: Menuntut Ilmu : Di Mana? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Membaca itu jambatan ilmu.
Bagaimana pula jambatan yang lain?

Teknologi berkait rapat dengan perkembangan ilmu.Ilmu pula tidak dapat tidak hanya akan dapat diperolehi dengan menuntut.Itu sifir mudahnya.

Namun ilmu juga boleh diperolehi melalui jalan dan sumber yang lain.

Contohnya begini :

Belajar dari diperbodohkan.

Tanpa di sangka,setelah sekian lama tidak berjumpa,pada suatu hari saya dan Wak Dani bertemu di Pejabat Tanah Daerah Muar.Seperti tidak percaya,dengan umur yang sudah menjangkau 80 tahun,Wak Dani masih boleh memandu kereta.Malah mengikut cerita Wak Dani sendiri,dia baru sahaja balik menziarahi saudaranya di K Lumpur baru-baru ini.

Lalu bertukar-tukar lah kami berdua dengan pelbagai cerita masing-masing sambil menunggu angka giliran untuk membayar cukai tanah kami tiba.

Tiba-tiba Wak Dani menceritakan kisah silamnya.Agak panjang ceritanya.Namun di akhir penceritaan itu sempat Wak Dani meluahkan perasaannya kepada saya.

"Wak ni tau wak dah tua.Sekolah pun tak tinggi.Sekarang ni pulak ramai orang yang dah jadik pandai.Tapi orang yang dah jadik pandai tu pulak jangan suka bodoh-bodohkan orang yang tak pandai ni.Orang yang tak pandai ni,kalau selalu sangat di bodoh-bodohkan dia nanti akan jadik pandai sendiri jugak."

Sebenarnya saya dan Wak Dani telah kenal lama.Wak Dani adalah orang yang selalu membantu abah untuk pergi ke mana-mana.Setiap kali abah menyewa kereta untuk pergi ke destinasi tertentu,Wak Dani lah yang akan menjadi pemandu kereta sewa tersebut.Entah berapa kali Wak Dani bersama abah menjemput saya di KLIA ketika saya balik bercuti dari Jepun.Begitu juga ketika saya dan keluarga mula-mula berhijrah ke Seremban 7 tahun dahulu.Wak Dani dan abahlah yang menghantar kami sehingga ke rumah sewa kami yang baru di Bukit Chedang.

Belajar dari halangan.

Sejak Ogos 1961,kerajaan komunis Jerman Timur telah membina tembok yang merentangi kawasan Berlin yang dikenali sebagai Tembok Berlin.Tujuannya hanya satu,menghalang penduduk Jerman Timur dari berhijrah ke Jerman Barat.

Apa yang berlaku?

Fahaman komunis di Jerman Timur datang dari pengaruh Soviet.Fahaman komunis ini menerapkan dasar kesama-rataan pada seluruh penduduk negara.Dengan erti kata mudahnya,antara yang bekerja kuat dengan langsung tidak bekerja,mereka mendapat imbuhan yang sama.Lantas disebabkan dasar ini,tidak berlakunya persaingan untuk membangun dan daya saing untuk maju ke hadapan.Lalu terbiarlah rakyat tanpa berubah taraf hidup mereka.

Mengapa mereka perlu berhijrah?

Penduduk di sebelah dinding batu,penduduk Jerman Barat,mereka hidup dengan penuh kemajuan.Mereka dapat mengecapi kejayaan demi kejayaan di atas usaha dan daya saing mereka.Mereka dapat memandu kereta sehebat Mercedes.Maka sudah tentulah,kejayaan ini dicemburui penduduk di sebelah dinding sini,iaitu penduduk Jerman Timur.

Dari mana mereka tahu perkara ini?

Tembuk pemisah sebenarnya tidak dapat menjayakan sepenuhnya matlamat kerajaan Jerman Timur ke atas rakyat mereka.Tembuk hanya dapat memisahkan jarak penglihatan ketika berada di bumi.Namun teknologi telah membawa manusia ke angkasa.Dengan teknologi satelit,manusia dapat berhubung antara satu sama lain tidak kira di mana kita berada.Lalu,apa yang berlaku di Jerman Barat,rakyat di Jerman Timur dapat melihatnya melalui TV satelit.Di sinilah bermulanya segalanya.

Berjayakah mereka?

Melalui desakan dalaman dan tekanan dari luar,akhirnya pada November 1989,Tembok Berlin tidak lagi menjadi pemisah antara Jerman Timur dan Jerman Barat.Dan akhirnya Jerman dan rakyatnya hidup dengan aman dan maju sehingga ke hari ini.

Seorang Professor di tempat saya belajar ketika di Jepun dulu ada berkata,

"Jika rakyat Jepun tidak mengubah cara hidup dan pemikirannya yang ada sekarang,amat mustahil orang Jepun dapat mengalahkan orang Jerman dari segi pemikiran dan teknologi."

Ya,rakyat Jepun belajar dan mendapat ilmu setelah kalah perang.
Rakyat Jerman Timur pula pula mendapat ilmu dan maju selepas dihalang untuk mendapatkannya.

Kita bagaimana pula?

Wak,
TDI.

Wednesday, April 11, 2012

:: Dari mata jatuh ke neraka? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Keperluan hidup.

Setiap manusia mempunyai kemahuan dan keperluan di dalam kehidupan.Tidak kira apa statusnya,seseorang manusia itu bila ia hidup di atas muka bumi ini,pasti kemahuan dan keperluan itu akan menjadi salah satu agenda utama mereka seharian.Namun dalam memenuhi kemahuan dan keperluan yang dicari itu adakah betul-betul ia memberi manfaat.Ataupun adakah ia sekadar memenuhi nafsu?

Kehidupan adalah satu perjalanan.

Lalu apa sebenarnya yang perlu kita cari?

Di dalam kehidupan di atas muka bumi ini,hakikatnya kita hanyalah hamba dan Allah SWT adalah Pemilik kita.Tanpa Rahmat dan Kasih Sayang dari Allah SWT pasti kita tidak akan selamat dunia mahupun akhirat.Dan hakikatnya juga,kejadian kita sebagai makhluk dan hamba-Nya amat memerlukan Rahmat dan Kasih Sayang dari Allah SWT.

Untuk apa?

Lihat sahaja keadaan dunia di sekeliling kita sekarang.Di mana-mana sahaja maksiat dapat kita lihat dan jumpa.Pendek kata dunia sekarang dikelilingi dengan maksiat.Sesungguhnya,melihat maksiat yang dilakukan terasa amat menyedihkan.Mengapalah maksiat itu dilakukan?

Namun yang lebih menyedihkan lagi sekiranya kita dapati si pelaku maksiat itu sendiri tidak tahu yang dia sebenarnya sedang melakukan maksiat.Bayangkan sekiranya si pelaku maksiat itu berterusan dengan gaya hidupnya tanpa ada perubahan.Tentu sahaja dia sehingga mati melakukan maksiat yang dia sendiri tidak sedar akan kemaksiatan yang dilakukannya,sedangkan melakukan maksiat itu adalah suatu dosa.Maka tentulah si pelaku maksiat itu melakukan dosa yang berterusan sehingga ia mati tanpa dapat meminta ampun kepada Allah SWT.

Hidayah.

Sedarlah,bahawasanya tanpa hidayah dan kesedaran yang kita terima dari Allah SWT tentu sahaja hati kita akan terus di dalam kegelapan.Kerana,dengan melakukan maksiat maka secara langsuang hati akan terkesan.Lalu hati yang terkesan dari maksiat itu,akan menjadi gelap dan terus gelap seiring dengan maksiat yang berterusan dilakukan.

Tidak perlulah pergi jauh untuk membuat maksiat.Bila mata kita dibuka setiap hari sahaja,kita akan dapat melihat pelbagai kelakuan yang boleh menyebabkan terjadinya maksiat mata yang menimpa diri kita.Mungkin kita boleh menjaga mata (menundukkan pandangan) ketika di luar rumah,tetapi maksiat mata masih boleh berlaku juga.Lihat sahaja rancangan TV kala ini,lihat pula akhbar harian,malah lebih teruk sekiranya kita langsung tidak dapat menjaga mata ketika melayari internet.

Mata,ia suatu nikmat yang besar.
Dan ia pasti ditanya kelak.

Sesungguhnya,orang yang sihat,bila ia memakan anggur,ia akan dapat merasai kenikmatan dan kemanisan rasa anggur tersebut.Malah dia dapat menghabiskan bergugus-gugus anggur dek kerana kelazatan yang dikecapinya.

Sebaliknya,kerana disebabkan seseorang itu sakit,apabila dia memakan anggur,sudahlah dia merasa anggur itu pahit dan yang pastinya ia hanya dapat memakan anggur itu dengan jumlah yang terhad.
Begitu jugalah dengan hati kita.

Moga perkongsian dapat memberi manfaat.

Wak,
TDI.