Alhamdulillah,segala puji-pujian hanya bagi Allah SWT.
Selawat dan salam kepada Junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW.
...Dan begitulah aturan dan perancangan Yang Maha Agong,walaupun manusia merancang dan berusaha untuk mencari jodoh,namun Yang Maha Kaya lebih Maha Mengetahui apakah yang terbaik buat hambaNya.
Bunga dan hati kerap dikaitkan
dengan lambang sebuah percintaan.
(sekadar gambar hiasan)
Tanggal 29 November 2003 bersamaan 5 Syawal 1424,saya dengan secara rasmi dan sah menjadi suami kepada Cik Zaiton bte Othman setelelah dinikahkan oleh Imam Masjid Pekan Rengit,Ustaz Saiful di Masjid Kampung Sungai Bagan,Rengit.Berkongsi kegembiraan dan kenangan ketika itu adalah sahabat saya Haji Faizul Hilmy dan pasangannya Cik Zahriah bte Othman yang juga di nikahkan dalam majlis yang sama.Haji Faizul Hilmy merupakan sahabat yang sama-sama belajar di PPKTJ dan kemudiannya sama-sama melanjutkan pelajaran ke Jepun.
29 November setiap tahun menjadi saat
untuk mengenang semula ikatan yang
kami mula bina bersama...
Apa lagi yang lebih menggembirakan sebuah pasangan melainkan hubungan itu dihalalkan dengan akad nikah.Dalam melangkah ke gerbang perkhawinan dalam usia yang baru menjangkau 24 tahun dan isteri masih lagi bergelar seorang siswi,tentulah banyak perkara yang perlu didalami dengan lebih teliti.Ditambah dengan selepas sahaja berkhawin,kami terpaksa duduk berasingan.Itu juga menjadi cabaran besar antara kami.
Namun,siapapun pasangan suami isteri,pasti inginkan kelahiran cahaya mata.Ini sebagai mengeratkan lagi hubungan suami isteri.Begitu juga kami,dengan izin Allah SWT,isteri telah di sahkan mengandung setelah isteri membuat pemeriksaan di sebuah klinik panel syarikat di pekan Yong Peng.Tentunya itu berita yang paling menggembirakan kami dan yang paling meriah adalah sambutan rakan-rakan isteri saya.Manakan tidak,mereka yang rata-ratanya masih lagi bujang mempunyai rakan sekuliah yang sudah berkhawin dan ketika itu pula sudah mengandungkan anak kami yang pertama.Tentunya layanan mereka juga amat istemewa kepada isteri saya,dan ketika itu sayalah yang merasa paling bersyukur kerana merekalah yang menjadi pengganti saya sementara isteri menyudahkan semesternya yang terakhir.
Setelah hampir setahun duduk berasingan,tibalah hari yang ditunggu-tunggu,iaitu Majlis Konvokesyen yang menjadi acara kemuncak menandakan sessi pembelajaran isteri saya tamat dengan rasmi dan sempurna.Ketika majlis tersebut,kandungan sudah semakin membesar dan siapa sangka,anak dalam kandungan telah terlebih dahulu menerima ijazahnya walaupun belum lahir ke dunia.Alhamdulillah.
Kini setelah 7 tahun melayar bahtera perkhawinan,Alhamdulillah kami telah dikurniakan 3 orang putera dan 1 orang puteri.Hidup semakin berseri walaupun kadangkala terselit juga duka yang menjadi rencah kehidupan.
anak-anak sebagai pengikat
hati antara suami dan isteri....
Hakikatnya,begitulah perjalanan perkhawinan,bernikah,mempunyai anak,mempunyai menantu,mempunyai cucu dan seterusnya jika usia mengizinkan mempunyai cicit dan mungkin kita sempat melihat generasi yang ke 4.Pusingan yang semua orang akan dapat merasainya jika di beri kesempatan oleh Allah.
Namun alangkah hambarnya pusingan itu bagi saya jika tidak di selang-selikan dengan sesuatu yang boleh menambah erat hubungan yang sedia terjalin.Hubungan suami isteri seperti juga tumbuhan yang kita tanam,tanahnya perlu digembur dan dibaja serta disirami saban masa.
Selain tuntutan zaman yang memerlukan taraf pendidikan anak pada peringkat yang terbaik,pendidikan kepada isteri juga perlu dititik beratkan secara samarata.Isteri perlu dididik untuk taat segala perintah Allah SWT mengikut cara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.Di dalam rumah pula perlu di hidupkan sunnah sebaik mungkin.Anak-anak diajar dengan adab-adab dan doa-doa tertentu bagi membiasakan mereka dengan amalan beragama.Segala kebaikan yang mereka lakukan perlu diberi pujian sewajarnya.Sebaliknya segala kesilapan perlu ditegur dengan penuh hikmah,bagi mendidik dan menyedarkan mereka tentang kesilapan yang telah mereka lakukan.
Cukupkah dengan itu?
Bapa dan suami pula sebagai ketua rumahtangga perlulah pada masa yang sama kreatif memperuntukkan masa sebaik mungkin.Kadangkala keletah dan permintaan anak memang merimaskan,terutama sekali tatkala kita baru pulang dari kerja.Namun jiwa yang sehalus mereka cepat terguris sekiranya kita culas meladeninya.
Ruang singgang yang ada kadangkala diperuntukkan untuk berehat dan bersantai kadangkala perlu disesak dengan pembacaan buku-buku samada yang berbentuk ilmiah mahupun yang berbentuk santai.Tabiat sebegini secara tidak langsung menjadikan ia ikutan kepada anak-anak.
Sibuk sangatkah kita?
Siapa pun di dunia ini kebanyakkannya memperuntukkan sebahagian besar dari masanya dengan bekerja mencari nafkah demi memberi sesuap nasi kepada ahli keluarga.Semakin besar keluarga semakin besarlah tanggungan dan makin sibuklah kita dalam mencari rezeki.Tentulah suami yang menjadi ketua keluarga mempunyai azam dan menginginkan kesenangan dalam kehidupan.Apalagi yang menggembirakan hati bapa dan suami selain melihat ahli keluarganya hidup senang dan bahgia.
Namun,sejauh manakah kesenangan yang ingin kita kecapi?
Adakah ia di ukur dengan BMW atau MERC atau BANGLO atau BANYAK ASET?
Mari kita renung sejenak kisah di bawah ini.
Kisah di bawah merupakan perbualan di antara seorang pelancong (A) dengan seorang nelayan (B) di tepi sebuah pantai di perkampungan Mexico.
...sekadar gambar hiasan.
A : Banyak dapat ikan hari ni pakcik?B : Adalah sikit.
A : Musim tak banyak ikan ke?
B : Memang biasanya tangkapan kami memang banyak ni je.
A : Berapa lama biasanya pakcik pergi ke laut?
B : Biasanya tak lama.
A : Kenapa pakcik tak pergi lama sikit ke laut.Manalah tau,untung-untung dapat ikan lebih lagi.
B : Bukanlah kami tak nak tangkap ikan yang banyak,tapi cukuplah apa yang kami tangkap ini untuk keperluan kami sekeluarga.
A : Kalau macam tu,apa yang pakcik buat selepas balik dari laut? Bukankah banyak lagi masa yang ada.
B : Biasanya bila malam saya tidur agak lewat.Tapi sebelum itu saya banyak peruntukkan masa saya bersama keluarga dan jiran-jiran. Tengahari biasanya saya akan tidur sebentar melepaskan lelah.Selepas itu biasanya saya akan bermain dan bergurau senda bersama isteri dan anak-anak.Kadangkala pula saya pergi melawat jiran sambil berborak dan minum petang.Saya rasa hidup saya penuh diisi.
(pelancong itu tiba-tiba memotong percakapan pakcik tersebut)
A : Macam gini pakcik.Saya adalah seorang graduan MBA lulusan Universiti Harvard.Saya rasa pakcik patut mula pergi lebih lama ke laut setiap hari.Nanti pakcik boleh menjual lebihan tangkapan ikan yang pakcik dapat.Dengan itu pakcik akan mendapat lebihan kutipan hasil jualan dan pakcik boleh beli bot yang lebih besar.
Pakcik nelayan itu mula mendengar penerangan pelancong itu dengan teliti.
B : Lepas itu?
A : Bila bot dah semakin besar,pakcik boleh pergi jauh lagi ke tengah laut dan tangkapan ikan akan menjadi semakin banyak.Dengan tangkapan sebegitu,pakcik boleh membeli bot yang kedua,ketiga dan seterusnya sehinggalah jeti ini boleh dipenuhi dengan bot pakcik sahaja.Lebih dari itu,kalau sebelum ini pakcik menjual ikan kepada peraih,mungkin bila bot dan tangkapan ikan pakcik sudah banyak,pakcik boleh jual terus hasil tangkapan ke tempat penjualan dan pasar.Atau pakcik boleh terus sahaja membuka tempat penjualan dan pemprosesan ikan sendiri.Bila sudah sampai ke tahap itu,pakcik boleh memikirkan untuk berpindah ke bandar yang lebih besar seperti Mexico City,Los Angeles atau terus ke New York.Dari sana pakcik boleh mengurus rangkaian bisnes pakcik yang semakin berkembang luas itu.
B : Berapa lama perlu diperuntukkan untuk sampai ke tahap itu?
A : Emmm….mungkin 10,15 tahun.
B : Dan selepas itu?
A : Selepas itu? Wah….pakcik nampak berminat ni.Bila sudah sampai ke tahap itu,perkembangan bisnes akan menjadi lebih menarik. (pelancong itu menjawab sambil ketawa.) Bila bisnes pakcik sudah berkembang besar,pakcik boleh mula membeli dan menjual saham.Tahu tak pakcik,dari situ pakcik akan mendapat keuntungan yang banyak dan pakcik boleh menjadi seorang jutawan.
B : Jutawan…Ye ke? Dan selepas itu?
A : Kalau duit dah cukup banyak,pakcik boleh serahkan sahaja bisnes pakcik itu kepada anak-anak dan pakcik bolehlah bersara dan hidup senang lenang dengan duit hasil titik peluh pakcik sendiri.Jika waktu pakcik berbisnes,pakcik tinggal di bandar yang serba sibuk,waktu bersara,pakcik bolehlah pilih untuk hidup di mana pakcik suka.Mungkin pakcik boleh membeli sebuah rumah di tepi pantai yang damai.Waktu itu pakcik bolehlah menghabiskan masa dengan bersuka ria dengan keluarga.Berehat-rehat dan bersantai bersama isteri dan kawan-kawan.Waktu petang,pakcik boleh duduk berborak dengan mereka sambil minum dan makan petang.Jika pakcik suka,pakcik bolehlah pergi memancing di tepi pantai itu.Ikan yang pakcik dapat nanti,bolehlah pakcik makan bersama ahli keluarga.Bukankah seronok begitu.
B : Anak muda,pakcik cukup kagum dengan idea dan saranan kamu itu.Tapi apa yang dikisahkan pada pengakhiran cerita itu bukankah apa yang saya sedang lakukan sekarang ini? Jadi,apa perlunya saya membazirkan 10,15 tahun untuk mengecap perkara yang sama?
Moral dari cerita :
"Know where you`re going in life,you may already be there!!"
Buat isteriku yang tercinta,
Selamat hari ulangtahun perkhawinan yang ke VII.
Wak,
Taman Desa Ixora,
Senawang,N9.
No comments:
Post a Comment