Wednesday, November 24, 2010

:: Perginya tidak akan kembali ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Tidur adalah rehat yang sementara,
Mati adalah rehat selamanya.

Tanggal 11 November 2010,jam 5:20 minit pagi,saya menerima 1 panggilan telefon dari pakcik saya,mengkhabarkan akan kematian Nenek saya,Allahyarhamah Hjh Rianah bte Bakri.
Innalillahi wainnailai hiroojiun.
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan jasa.

Selepas selesai solat subuh,kami sekeluarga mula berkemas untuk bertolak ke rumah pakcik saya di Taman Sri Pulai,Johor Bahru,di mana jenazah nenek saya berada.Mereka (pakcik dan makcik saya) telah sepakat ingin mengkebumikan jenazah Nenek di sana walaupun rumah  dan kampung halaman nenek berada di Kampung Parit Haji Zain,Ayer Hitam,Muar,Johor.

Jam 8:00 pagi saya telah berada di tol Senawang dan bersedia untuk bergerak menuju ke destinasi.Setelah singgah sebentar di kampung untuk mengambil kakak dan anaknya,saya teruskan baki perjalanan dan sampai ke destinasi lebih kurang jam 12:20 tengahari.Ketika saya sampai,jenazah sudah siap di kapankan dan telah bersedia untuk di bawa ke Masjid Intan Abu Bakar,Taman Sri Pulai untuk solat jenazah.

Dunia hanya tempat persinggahan sementara.
Akhirat adalah tempat yang kekal selama lamanya.
(Masjid Intan Abu Bakar : Tempat jenazah atok di solatkan)

Setelah solat zohor,para jemaah yang solat berjemaah telah solat jenazah untuk Allahyarhamah Nenek (baca : atok).Dan Jenazah nenek selepas itu di bawa ke tanah perkuburan Islam Kangkar Pulai,kira-kira 15 km dari Taman Sri Pulai.

Jam 3:00 petang,imam telah menyelesaikan bacaan talkin,maka selesailah majlis pengkebumian.

Jam 3:30 petang,para jemaah yang hadir sekali lagi berkumpul di rumah Tn Hj Bajuri untuk membaca tahlil arwah dan selepas tahlil,semua hadirin menjamu selera dengan juadah yang telah dihidangkan.

Jam 4:00 petang,jemaah telah selesai menjamu selera dan mereka mula pulang ke rumah masing masing.

Jam 5:00 petang,atas urusan keluarga,saya meminta diri dari rumah pakcik untuk pulang ke kampung di Muar,Johor.

Sorotan Kisah.
1.Muqaddam itu.

Ketika umur saya 5 tahun,suatu hari atok dalam perjalanan untuk ke Pasar Minggu Parit Sulong,telah singgah ke rumah abah.Kebetulan pula tiada siapa di rumah ketika itu.Dengan spontan saya lari naik ke rumah dan turun semula ke bawah bertemu atok dengan membawa muqaddam saya.Muqaddam yang sedikit koyak itu saya tunjukkan kepada atok dengan harapan mendapat muqaddam yang baru.Alhamdulillah,selepas atok pulang dari Parit Sulong,hajat saya tertunai jua akhirnya.Arwah emak yang sedikit pelik dengan hadiah pemberian atok itu,akhirnya mendapat tahu yang saya yang meng'order'nya terlebih dahulu sebelum itu.

2.Lepat pulut atok.

Lazimnya,tradisi di kampung saya,bila tiba hari lebaran,antara juadah rasmi adalah ketupat/nasi impit,ayam masak kicap,kuah lodeh dan sambal kacang.Tapi di rumah atok,saban tahun akan ada sahaja juadah tambahan yang amat istimewa iaitu lepat pulut.

Sehari sebelum raya pasti atok akan 'nyetuk’'di tepi tangga memilih 'janor' kelapa yang berdaun lebar untuk di jadikan pembungkus lepat.Beras pulut yang telah di rendam dengan santan dan di campur sedikit dengan kelapa dan sedikit garam akan dibungus dan diikat dengan tali raffia.

Apabila sudah di rebus bersama-sama ketupat dan sudah cukup masak,lepat pulut tadi akan di gantung di tepi pintu bagi membolehkan air dari bekas rendaman tos dengan sempurna.Ini bagi membolehkan lepat pulut dapat bertahan dengan lebih lama.
Lepat pulut.
(sekadar gambar hiasan)

Lepat pulut vs sambal kacang atok memang akan dikenang selamanya.

3.Suara kecik.

Walaupun sejak saya kecil atok jarang demam atau sakit yang berat,tapi salah satu cara untuk mengesan atok 'tak sedap badan' adalah bila mendengar suaranya di kecilkan agak lirih.

4.Banjir.

Satu ketika dahulu banjir amat kerap melanda kampung kami.Oleh kerana atok duduk seorang diri di rumah,abah telah membawa atok ke rumah kami.Tatkala banjir hampir surut,abah telah membina titi dari batang paip PVC untuk ke kolam yang terletak di belakang rumah kami.Entah bagaimana ketika atok meniti titi buatan itu,atok telah tergelincir dari atas titi tersebut.Akibat kejadian itu,tulang di bahagian tangan atok patah dan telah disimen oleh salah seorang pakar urut di Parit Jawa.

Oleh kerana tidak mahu merisaukan hati anaknya yang lain,atok tidak menghebahkan kejadian tersebut.Namun apabila salah seorang pakcik saya pulang ke kampung dan menyedari tangan atok sedang di simen,mereka agak terkejut.Itupun mereka dapat tahu secara kebetulan kerana atok sedaya upaya menyembunyikan tangannya yang berbalut itu.

5.Di hujung usia.

Sesungguhnya nikmat di dunia ini hanya sementara.

Di hujung usia atok,jarak penglihatan atok tidak begitu sempurna,namun Alhamdulillah atok masih dapat mengenal tetamunya berdasarkan suara.Kerap ditanyakan kepada saya,apa yang boleh dibuat dalam pada keadaan kesihatan yang semakin lemah itu.Saya hanya mampu menggenggamkan tangan atok dengan erat dengan utasan tasbih yang memang sedia ada di sisi atok saban masa.

Dan pada usia atok 87 tahun,maka ajalnya telah dijemput oleh malaikat maut.

Mungkin banyak lagi kenangan-kenangan yang dapat di cungkil sepanjang saya bersama atok ketika hayatnya.Namun cukuplah sekadar itu yang mampu saya coretkan dengan hati yang berat dan penuh sebak.

Ternyata pemergian atok amat meninggalkan kesan mendalam kepada diri saya.Namun dalam hati saya,saya yakin banyak hikmah baik yang akan muncul di sebalik ketiadaan atok di muka bumi ini.Saya doakan ukhwah anak cucu atok akan bertambah erat dan moga mereka juga dapat sama sama mendoakan moga roh atok dicucuri Rahmat.

Atok telah menyelesaikan perjalanannya di muka bumi ini.Kami yang tinggal,masih ada banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan."Ya Allah,matikanlah kami dalamana keadaan kami bersedia untuk mati."

Khususan illa Allahyarhamah Hjh Rianah binti Bakri,Al Fatihah.
"Allahumma firlaha warhamha waafini wa’fuanha."

Wak,
Senawang,
Negeri Sembilan.

No comments: