Tuesday, September 28, 2010

:: Secangkir kenangan di tanah seberang ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hari Raya yang sinonim dengan tradisi balik kampung bisa menggamit satu nostalgia yang amat indah.

Saya pernah berada di Bekasi,Indonesia (sebuah bandar tidak jauh dari Jakarta) seminggu sebelum Lebaran.Berpuasa di sana memang benar mengajar erti sebuah PUASA yang sebenarnya.Bayangkan sebuah bandar yang tidak jauh dari Jakarta,tetapi sebahagian penghuninya tinggal di tepi-tepi jalan dan di bawah jambatan.Pemandangan waktu pagi amat sibuk dengan manusia yang berpusu pusu ke tempat kerja.Saya yang menyewa sebuah teksi,yang sama berasak dalam kesesakan jalanraya waktu pagi,beberapi kali di kejar dan di bontoti oleh peminta-peminta sedekah.Mereka mengerumuni sekeliling kenderaan tatkala kenderaan semua berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah.Ada yang bertongkat,ada yang kudung,ada yang masih terlalu muda,namun dek kerana ingatan dari pak supir agar tidak menghulurkan wang,saya tahan niat saya untuk berbuat demikian.

Sampai di tempat yang sepatutnya mesyuarat akan di jalankan,di sebuah kawasan pusat perindustrian dan perkilangan,saya perhatikan terlalu ramai manusia berpusu-pusu menuju ke tempat kerja masing masing.Kebanyakan mereka seperti juga di Malaysia menggunakan kenderaan motorsikal untuk ke tempat kerja.Cuma yang berbeza mereka memakai helmet 'full face' tidak seperti kita yang lebih selesa dengan helmet biasa malahan kadang kala langsung tidak memakai helmet.

Kebetulan kilang tempat saya bermesyuarat itu betul betul di hujung kawasan pusat perindustrian,yang saya boleh katakan luasnya seperti sebuah bandar.Betul-betul di tepi penghujung kawasan perindustrian itu sudah kelihatan rumah yang saya kira seperti setinggan,yang kalau di lihat secara zahirnya terlalu dhaif.Kawasan Bekasi yang tanah merahnya mudah menjadi habuk dan debu itu memburukkan lagi keadaan dan pemandangan kawasan perumahan tersebut.Infrastruktur seperti jalan saya kira hanyalah dibuat di antara bumbung-bumbung rumah mereka.Agaknya bagaimanalah penduduknya menjalankan kehidupan di dalam kawasan perumahan itu.

Di simpang simpang jalan menuju ke kawasan kilang yang begitu banyak didirikan itu,terdapat banyak warung-warung kecil yang boleh di tolak ke sana-sini.Mungkin tidak pelik mengapa adanya warung menjual makanan ketika bulan puasa sedang berjalan kerana penduduk Indonesia walaupun paras rupa mereka agak serupa tetapi agamanya berbeza-beza.Tidak seperti di Malaysia,kebelakangan ini saya dapati ada peniaga melayu/Islam yang meniaga warung yang menjual sarapan pagi/makan tengahari.Apakah alasan mereka sebenarnya.Untuk siapa mereka berjual beli? Wallahua`alam.

Masuk ke dalam kawasan kilang,situasinya hampir seperti Malaysia.Kantin kilang di tutup sepenuhnya sempena bulan puasa.Waktu rehat tengahari pula surau kilang di penuhi oleh para pekerja kilang untuk melenakan mata dan berehat meluruskan tulang belakang.Saya salah seorang yang meramaikan 'jemaah' itu.Namun yang meriahnya,bangkit dari tidur,kami beramai ramai solat zuhor secara berjemaah.

Sedang saya menunggu giliran untuk mengambil wudhu',saya di sapa oleh salah seorang pekerja kilang di sana.Setelah bertanyakan serba sedikit perihal saya,lantas saya di tanya bagaimana syiar Islam di Malaysia.Terkejut saya bila di tanyakan sedemikian rupa.Seorang pekerja kilang bisa mengutarakan soalan yang saya kira orang biasa tidak menanyakannya sebarangan.Saya menjawab Islam di Malaysia kian subur namun di Indonesia syiarnya jauh lebih subur.Yang lebih menariknya,kata pekerja tersebut,oleh kerana pekerja lelaki yang ramai,mereka bersolat fardhu Jumaat di dalam kilang sahaja.Satu fenomena yang agak asing jika di tempat kita.Dan lebih menarik,khutbah akan di sampaikan oleh khatib yang di pilih antara mereka juga.Hanya kadangkala khatib jemputan datang bergilir untuk memberi khutbah Jumaat.

Pada sebelah petangnya pula,setelah selesai bermesyuarat,saya di bawa berlegar-legar mengunjungi kawasan kilang berkenaan.Sedang saya di bawa melawat,di satu sudut saya lihat beberapa pekerja sedang sibuk membungkus sesuatu.Dan yang dapat saya perhatikan,bungkusan yang sudah siap di bungkus agak banyak jumlahnya.Bila di tanyakan kepada 'pemandu pelancong' saya,barulah saya tahu bungkusan-bungkusan itu adalah sumbangan pihak kilang yang akan di sampaikan kepada semua pekerja sebelum mereka pulang berhari raya ke kampung halaman masing masing.Malah,yang lebih meriahnya,kilang akan menutup operasinya sepanjang 2 minggu untuk membolehkan para pekerjanya menyambut Lebaran di kampung halaman.Bila di tanya,mengapa begitu lama? Jawab mereka,antara mereka,perlu pulang ke kampung halaman yang jauh perjalanannya memakan masa 3 hari.Bayangkan perjalanan pergi dan balik sahaja sudah memakan masa selama hampir seminggu.Patutlah mereka di peruntukkan cuti yang agak lama.Tambahan pula,pengistiharan cuti itu,adalah dengan kesepakatan antara pihak pemerintah Indonesia dengan pihak pentadbir kilang.Nampak betapa pekanya pihak pemerintah dan pihak pengurusan kilang,walaupun sebenarnya pihak pengurusan kilang adalah pemodal dari luar Negara,mereka tetap meraikan penduduk tempatan.

Pada malam hari,suasana bandar Bekasi yang agak di penuhi dengan pasaraya-pasaraya yang besar,meriah dengan persiapan penduduknya membeli-belah untuk Lebaran.Saya sempat pergi meninjau-ninjau bagaimana agaknya penduduk Indonesia membuat persiapan raya.Di sana-sini gerai banyak menjual pakaian raya.Di Indonesia,baju melayunya di jual tidak sepasang beserta seluar.Hanya baju yang designnya tidak berpoket di hadapan seperti baju melayu kita di sini.Saya tertarik dengan sepasang baju melayu berwarna coklat tetapi sedikit bercorak di bahagian dadanya.Kualiti kainnya juga agak berbeza kerana kebanyakkan fabrik yang di gunakan hampir mirip dengan cotton tetapi dalam gred yang agak sedikit kasar.

Dalam meninjau-ninjau dan mencuci mata,mata saya menangkap objek berupa sebuah congkak yang boleh dilipat dua.Bila di lipat,belakang congkak berkenaan di hias dengan corak yang begitu menarik.Dengan harganya yang tidak keterlaluan,saya bercadang untuk membeli sepasang congkak berkenaan untuk di buat hiasan dinding.Sambil saya berborak dengan jurujual untuk tujuan menawar harga,sempat saya bertanyakan kepadanya beberapa soalan.Cerita jurujual berkenaan,mereka akan bertungkus lumus bekerja setahun di perantauan dan akan hanya pulang ke kampung halaman pada hari Lebaran.Memandangkan Jakarta adalah Ibu Negara Indonesia,maka ramailah anak-anak perantauan yang mencari rezeki di Pusat Bandar itu.Kebanyakkan mereka datang dari jauh dan taraf hidup keluarga mereka jauh jaraknya lagi untuk di katakan dalam keadaan selesa.Duit hasil gaji mereka kebanyakkan di salurkan ke kampung untuk membantu keluarga,dan urusniaga sebelum Lebaran ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengumpul sedikit wang untuk membeli ole-ole yang akan di bawa pulang ke kampung.Agak melas saya mendengar celotehan jurujual itu.Saya tidak pasti samada itu luahan rasa hati yang ikhlas ataupun hanya satu 'selimut yang di hamparkan' untuk meraih simpati saya untuk membeli barang jualannya.Namun bagi saya,apa jua niat jurujual itu,mereka tetap mencari berusaha rezeki secara halal dan tidak salah kiranya saya membantu mereka.

Tiba masa untuk pulang ke tanah air......

Waktu itu kira kira 5 hari sebelum tiba Lebaran.Saya di jadualkan berlepas pulang melalui Lapangan Terbang Soekarno Hatta. (saya pernah ceritakannya di hujan emas ke hujan batu.) Dalam perjalanan pulang,saya di hantar oleh pak supir tempat saya menginap sepanjang di Bekasi.Ketika itu saya memilih untuk duduk di hadapan bagi melihat pemandangan Bekasi dan Jakarta di siang hari.Cuaca petang itu agak terik di tambah lagi apabila melalui jalan lebuhraya bandar Jakarta yang memang kerap macet itu,menjadikan keadaan semakin berbahang.Sampai di suatu kawasan,lebuhraya yang kami lalui mengalami macet yang amat dahsyat.Kenderaan bersimpang siur untuk mencari haluan yang agak selesa di atas lebuhraya 4 lorong itu.Bunyi hon di sana-sini menambah kebingitan.Menambah gawat panorama petang itu adalah bilangan peminta sedekah yang berlegar-legar ke sana ke mari mencari sesisip belas kasihan.Bayangkan di atas lebuhraya yang amat sibuk itu,masih ada peminta sedekah yang memperjuangkan nasib mereka demi sesuap nasi.Dan yang amat syahdu serta merentap simpati diri,bila melihat kanak kanak kecil yang membawa gendongan beg berisi botol air mineral.Mereka bergerak dari sebuah kenderaan ke sebuah kenderaan yang terperangkap dalam macet itu sambil mengacukan botol mineral mereka kepada pemandu kenderaan dengan harapan ada pelanggan yang akan membelinya.Tambahan ketika itu sinaran mentari amat terik walaupun sudah agak condong ke arah barat,tentu sebotol air mineral mampu menarik perhatian ramai.Dengan pakaian yang kelihatan lusuh dan agak compang-camping,malah ada yang tidak beralas kaki,mereka tetap menghayun kaki mereka dari satu kenderaan ke satu kenderaan.Apabila nampak kenderaan bergerak agak laju,kelihatan mereka berlalu ke tepi lebuhraya untuk berteduh di bawah pohon pokok.Dan mereka akan muncul lagi di tengah kesibukan lebuhraya itu bila kenderaan kembali menjadi perlahan.Sungguh cekal hati mereka walau masih muda.

Di sepanjang lebuhraya pula,kelihatan rumah tersusun padat di kiri dan kanan jalan.Suasananya mirip kampung kerana kebanyakkan rumah di bina dari asas tiang kayu.Yang menariknya,bangunan masjid/surau didirikan amat berdekatan.Tiang menara masjid A boleh kelihatan dari masjid B.Mungkin kerana kepadatan penduduk menyebabkan ianya di bina berdekatan antara satu sama lain.Ianya mungkin menjadi bukti bahawa syiar Islam lebih subur di sana berbanding di tempat kita.Wallahua`alam.

Itu cerita beberapa tahun lepas.Pengajaran yang bisa di kutip itu telah membuka rongga/lorong baru di minda saya yang sudah agak lama tertutup tentang satu dimensi baru tentang erti kehidupan.Keselesaan hidup di tanah air kadangkala mengalpakan kita akan nasib sebahagian lagi saudara seIslam kita di muka bumi ini.

Agaknya masih sempatkah kita berbuat sesuatu???

Untuk itu,saya coretkan sedikit catatan yang saya kira boleh di hadamkan demi mendapatkan cara hidup yang selaras dengan ajaran dan tuntutan agama.

"Ust Ghazali Ibrahim (motivasi pagi)-Radio IKIM (28 Sept 2010)


Kata ustaz,biarlah kita belajar dari kehidupan seekor burung yang hidup bebas di muka bumi.Bila muncul matahari di pagi hari,burung berkenaan akan terbang ke merata tempat mencari rezeki bagi mengisi temboloknya.Kecekalan si burung mencari rezeki harian tanpa ada 'gaji bulanan' (yang tetap menunggu) boleh mengajar kita erti mencari rezeki dan erti sebuah ikatan tawakkal kepada Allah."

Wak,
19 Syawal 1431H
Senawang,Negeri Sembilan.

2 comments:

Abi Al-Baihaqi (RKA) said...

Salam Wak Green... semoga wak sekeluarga sihat dan ceria selalu...

Cerita yang menarik dan membibitkan keinsafan di hati. (Tapi kenapa takde gambo...?)

Betapa beruntungnya kita di sini...

kesuwon..

WAK said...

AAB (RKA) : Salam.
Semoga Allah meRahmati keluarga saudara sebaiknya.

Maaf,tiada kenangan gambar yg sempat di abadikan ketika itu.InsyaAllah akan di usahakan/di carikan gambar yg bersesuaian untuk tatapan semua.

Alhamdulillah,duduk di tanah air kita memang amat beruntung.Namun ambillah peluang dan kesempatan untuk membuat pemusafiran di bumi ALlah yang Maha Luas ini,nescaya kita akan lebih rasa beruntung :)

Monggo teko meneh yo!
Jazakallah.