Friday, September 28, 2012

:: Usah pandang ke bawah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Kehidupan kita tidak akan lepas dari cabaran.
Mungkin ada kalanya kecil,mungkin ada kalanya besar.

Ada seorang kelasi kapal yang baru sahaja menamatkan kursus teorinya.Setelah sekian lama memerah otak dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu laut dan perlayaran,akhirnya kelasi berkenaan telah diarahkan untuk menyertai pelayaran pertamanya bersama-sama kelasi yang senior dan seorang kapten yang berpengalaman.Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh kelasi berkenaan.

Sampai di suatu kawasan perairan,salah sebuah layar telah mengalami kerosakan.Lalu kapten kapal mengarahkan kelasi baru tadi untuk membaiki layar kapal terbabit.Dengan semangat berkobar-kobar,si kelasi tadi pun mulalah memanjat tiang layar.Di dalam hatinya,selain untuk mempraktikkan ilmu yang ada di dada,inilah peluang untuk meyakinkan kapten kapalnya.
Sampai dipertengah jalan,kelasi itu mula kepenatan.Lalu dia mengambil keputusan untuk berhenti rehat seketika.Entah bagaimana,kelasi tadi tergerak untuk melihat ke bawah,tempat di mana dia mula-mula memanjat tadi.

Lalu...

Tidak semena-mena 1 fenomena pelik berlaku kepada kelasi tadi.Kakinya seperti terpacak kaku pada tiang layar.Begitu juga tangannya.Semangat yang melonjak-lonjak tadi terus lesu selepas si kelasi tadi melihat ke bawah.

Di sudut yang lain...

Sebagai kapten kapal yang berpengalaman,kapten tadi terus menjerit kepada kelasi barunya tadi.”Jangan pandang ke bawah,teruskan memanjat.Layar itu perlu dibaiki segera!”

Tidak lama kemudian,kelihatan kelasi muda tadi meneruskan usaha memanjat tiang layar untuk membaiki layar yang rosak itu.

Pengajaran.

1.Ada ketika dan situasi,kita tidak boleh memandang ke bawah ketika menuju ke matlamat atau destinasi kita.

2.Untuk menjadi seorang ketua yang bagus,kita mesti mengajar/mencurah ilmu dan peringatan kepada orang bawahan kita agar mereka berjaya menuju objektif dan sasaran.

Moga perkongsian dapat memberi menfaat.

Wak,
TDI.

Thursday, September 27, 2012

:: Rahsia untuk menjadi JUTAWAN ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Ingat lagi rancangan More Jutaria? Pengacaranya adalah Ahmad Tarmimi Siregar (kini Datuk).Ia adalah rancangan kuiz menduga akal yang disiarkan sekitar tahun 80-an.Masih saya ingat lagi Ahmad Samerin Dzulkifli telah berjaya memenangi pusingan terakhir siri kuiz tersebut.Ketika itu dengan memilih huruf S.A.M.E.R.I.N,beliau dapat meneka dengan tepat perkataan SIJIL SIMPANAN PREMIUM.

Dan tentulah disebabkan rancangan More Jutaria hadiahnya adalah wang berjumlah sejuta ringgit.

...dan sekelip mata Ahmad Samerin Dzulkifli telah menjadi jutawan pada tahu 80-an.Jika dinilai wang sejumlah satu juta ringgit yang dimenangi oleh beliau ketika tahun 80-an itu sekarang (tahun 2012),mungkin nilainya berganda-ganda.

Siapa yang tidak mahu menjadi jutawan?

Siapa mahu menjadi jutawan?

Oleh itu,hendak atau tidak saya kongsikan tips mudah untuk menjadi jutawan?

Saya pernah terbaca kisah sedih bagaimana seorang wanita yang hilang penglihatannya disebabkan dia memakai satu krim penjagaan muka.Kesan dari itu,wanita berkenaan mengalami trauma yang amat dahsyat.

Setelah pulih dari trauma berkenaan,wanita itu telah mengambil tindakan menyaman syarikat pengeluar krim berkenaan.Akhirnya,setelah berhempas pulas,mahkamah menetapkan syarikat berkenaan membayar ganti rugi sebanyak 1 juta kepada wanita tersebut.

Dengan sekelip mata wanita berkenaan telah menjadi jutawan.

Adakah anda sanggup menggantikan tempatnya untuk menjadi jutawan dengan mengorbankan penglihatan anda?

Kisah lain,

Seorang lelaki yang cacat anggota disebabkan 1 kemalangan ngeri akhirnya mendapat ganti rugi sebanyak 1 juta dari pihak insurans.

Dengan sekelip mata lelaki berkenaan juga telah menjadi jutawan.

Adakah anda sanggup menggantikan tempatnya untuk menjadi jutawan dengan mengorbankan anggota anda?

Lalu,

Sebenarnya jika dilihat dari sudut yang berlainan,bergelar jutawannya sesorang itu bukan sahaja diukur dengan wang ringgit sahaja,malah jumlah aset juga boleh membuatkan seseorang itu bergelar jutawan.

Maka anda semuanya juga sebenarnya seorang jutawan disebabkan aset (anggota badan dan pancaindera) kurniaan dari Allah SWT.Oleh itu jagalah aset berkenaan sebaik mungkin agar kita tidak M.U.F.L.I.S pula di Akhirat sana.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

:: Tukang Urut Bersalin @ Kuala Pilah ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hari Raya baru-baru ini,rumah saya dikunjungi oleh salah seorang rakan lama saya.Kami sebenarnya sama-sama bersekolah di Tadika Kemas dan SKAH 15 suatu masa dahulu.Bila sekolah menengah,kami membawa haluan masing-masing.Kini beliau berkerja dan menetap di Rawang,Selangor.

Yang menambah kegembiraan selain dikunjungi oleh sahabat lama,turut serta dalam rombongan itu adalah ibu beliau,Mak Siti namanya.

Cerita punya cerita,Mak Siti kini sudah menjadi warga Kuala Pilah rupanya.Anak bongsu Mak Siti,Cikgu Mariam kini mengajar di STJ,Kuala Pilah.Anak menantunya pula seorang pelayar kapal.Oleh kerana tidak mahu anak bongsunya keseorangan,lalu Mak Siti pun tinggal bersama dengan anaknya.Tinggallah rumah di kampung di bawah jagaan anak lelakinya yang seorang lagi.

Sambil-sambil bercerita,rupanya Mak Siti masih meneruskan aktiviti mengurutnya.Untuk pengetahuan semua,Mak Siti adalah salah seorang bidan kampung di tempat kami,Ayer Hitam Muar.Sebut sahaja Wak Siti Urut (panggilan di kampung) pasti mana pelusuk kampung mengenalinya.

Minggu lepas (22 Sept 2012) saya ada menerima jemputan kenduri kahwin di Batu Kikir.Alang-alang melalui pekan Kuala Pilah,saya sekeluarga telah singgah ke rumah Cikgu Mariam di Taman Angkasa Jaya.Bertemulah kami dengan Mak Siti di sana.Sempat juga Mak Siti mengurut anak saya yang bongsu Ainul Huda.Moga Ainul Huda cepat berjalan,InsyaAllah :)

Mak Siti @ Taman Angakasa Jaya,Kuala Pilah.

Mengambil kesempatan ini,saya ingin mewar-warkan,sesiapa yang memerlukan khidmat tukang urut wanita (sakit-sakit badan,pra-natal/post-natal) bolehlah mencuba dengan khidmat Mak Siti.Boleh inbox saya untuk mendapatkan maklumat lanjut : paritzain@yahoo.com.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, September 26, 2012

:: Pilihan ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Bidayatul Hidayah
(Permulaan Jalan Hidayah)

Minggu lepas ketika duduk di dalam kuliah Ustaz di STDI (kuliah membincangkan buku Bidayatul Hidayah),ustaz memulakan kuliah dengan ayat ini :

"Bersyukur kita kepada nikmat Allah SWT yang telah memilih kita untuk berada di sini.Segala puji-pujian kepada Allah SWT yang telah menurunkan Rahmat dan Kasih Sayang-Nya kepada kita lalu kita dapat solat berjemaah Maghrib dan duduk di dalam majlis di mana berlangsungnya pembahagaian harta pusaka Nabi SAW iaitu duduk di dalam majlis ilmu.

Sesungguhnya kita dapat duduk di sini bukan kerana kita ada kenderaan,kerana ada orang lain yang mempunyai kenderaan lebih baik dari kita tetapi mereka tidak ada di sini.

Sesungguhnya kita dapat duduk di sini bukan kerana kita sihat,kerana ada orang lain yang mempunyai kesihatan lebih baik dari kita tetapi mereka tidak ada di sini.

Sesungguhnya kita dapat duduk di sini bukan kerana kita ada kelapangan masa,kerana ada orang lain yang mempunyai lebih kelapangan masa dari kita tetapi mereka tidak ada di sini."

Sesungguhnya bersyukurlah pada insan-insan yang telah dipilih oleh Allah SWT dan mendapat kekuatan untuk berbuat amal kebaikan.

Moga perkongsian memberikan menfaat.

Wak,
TDI.

Wednesday, September 12, 2012

:: Jauh lagikah perjalanan kita? ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Manusia mudah runsing dan risau bila dilanda masalah.

Agaknya sekiranya kita seorang kontraktor,mungkin ini yang bermain di dalam kepala kita :

Bila kita tengok orang dapat projek baru yang berjuta-juta harganya,kita pula berkira-kira sendiri,bilakah agaknya giliran kita untuk mendapat projek yang baru.

Agaknya sekiranya kita seorang yang makan gaji,mungkin ini antara yang merisaukan kita :

Bila kita tengok orang dapat bonus 5,6 bulan/kenaikan gaji yang lumayan,kita pula berkira-kira sendiri,bilakah agaknya giliran kita untuk mendapat durian runtuh seperti itu.

Adakah ini termasuk dalam kerunsingan kita?

Bila kita tengok kawan-kawan rapat kita yang sebaya dengan kita,tiba-tiba kita dengar khabar mereka ada yang sudah meninggal dunia,adakah kita juga berkira-kira bilakah agaknya giliran kita pula...?

Ya Allah,akhirilah saat kehidupanku dengan dapat menyebut kalimah Laa ilaha illallah.

Wak,
TDI.

Tuesday, August 14, 2012

:: 16 - Lagenda Kek Lapis Serawak ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam semasa berbuka puasa di MBBS,sempat saya berbual dengan jiran saya.Isterinya mengusahakan Kek Lapis Serawak semasa bulan Ramadhan ini,jadi saya bertanyakan sambutannya.

Kini sudah tidak perlu ke Serawak
untuk menikmati kek lapisnya.

Sebenarnya,bukan tahun ini sahaja isterinya mengusahakan Kek Lapis berkenaan,tahun-tahun sebelumnya pun begitu.Saya pernah merasa 'sample' kek tersebut ketika moreh di Surau TDI beberapa tahun lepas.Alhamdulillah,rasanya sedap :)

Cerita jiran saya itu,tahun ini permintaan pelanggan amat memberangsangkan berbanding tahun-tahun yang lepas.Walaupun agak hambar pada permulaan Ramadhan ianya meningkat mendadak pesanannya bila tiba di pertengahan Ramadhan.Ada pelanggannya sejauh di KL.Mungkin juga pada peringkat awal,faktor harga membuatkan orang berkira-kira untuk membelinya.Saya juga begitu. (Untuk makluman kek lapis yang dijual oleh isteri jiran saya ini seberat 1kg lebih dan berharga RM75.00).

....Namun rezeki adalah dari Allah.
....Yang menggerakkan hati untuk membeli juga adalah Allah.

Sambil berbual,saya tanyakan kepada jiran saya mengapa tidak di komersialkan sahaja kek lapis berkenaan.Tambahan pula pelanggannya sudah sedia ada.Maknanya pelanggan masih lagi berpeluang untuk membuat order di luar bulan Ramadhan.Rupanya bukan jiran saya itu telah terlepas pandang peluang itu tetapi banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menuju ke arah itu.

Kata jiran saya,membuat kek lapis perlu melalui proses yang rumit.Untuk membuat 2 buku kek sahaja,isterinya perlu menumpukan sepenuh masa selama 5 jam.Ia sesungguhnya tugas yang memerlukan tenaga dan tahap kesabaran yang tinggi.Jika urusan membuat kek sahaja sudah memakan masa dan tenaga,bagaimana pula urusan rumahtangga yang lain seperti memasak,mengemas dll.

Kata jiran saya itu lagi,

Bulan puasa kebiasaan orang kita akan berbelanja lebih.Tidak kira tahap kemampuan,yang penting adalah tahap kepuashatian mereka.Pada hari biasa,mungkin sebuku kek lapis yang berharga RM75 akan dikira cukup mahal untuk dibeli,tetapi bila bulan Ramadhan ia sanggup dibeli untuk persediaan hari raya.

Mengapa?

Lihat sahaja bila tiba musim perayaan.Bermacam-macam barang baru di jual,tidak seperti bulan-bulan biasa.Ia seperti bulan pesta membeli belah.Maka,perabut lama diganti,langsir lusuh diganti malah kereta yang harganya puluhan ribu juga diganti.

Lalu,apa sangat lah dengan sebuku kek yang harganya baru sekitar RM75.

Ya,manusia seronok membeli-belah bila tiba bulan Ramadhan untuk persiapan Hari Raya di bulan Syawal.

Salahkah perilaku mereka?

Nak menyalahkan peniaga? Mana mungkin,mereka hanya berniaga.

Nak menyalahkan pembeli? Mana mungkin,mereka semua mampu adakalanya terlebih dari mampu.

Cuma,

Ingatlah jiran-jiran,sahabat-handai,adik-beradik,saudara-mara yang tidak berkemampuan yang ada di sekeliling kita.Mungkin mereka tidak mengharapkan wang ringgit kita tetapi tanggungjawab dan kesedaran kitalah yang membangkitkan dorongan untuk kita membantu mereka.

Moga Ramadhan 1433H kita lebih baik dari Ramadhan yang lepas-lepas.

Wak,
TDI.

Friday, August 10, 2012

:: 15 - Meraikan anak yatim ::

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam,majlis berbuka puasa di MBBS dimeriahkan oleh kehadiran kumpulan anak yatim yang berbuka puasa bersama kami.

Mereka sedang beratur mengambil juadah berbuka.
Umur mereka rata-rata sekitar sekolah rendah.
Bagaimanakah perasaan mereka berpuasa tanpa ibu/bapa
yang telah pergi untuk selamanya.

Ini wajah berbuka puasa anak
yang masih mempunyai ibu dan bapa di sisi.

Juga begitu...

Jiran rumah saya.
Beliau juga merenung nasib
anak-anak yatim berkenaan.

Mereka kini anak yatim.

Berpuasa selain dari dapat merasai kepayahan serta bersabar bagi menahan lapar dan dahaga (bagi merasai apa yang dirasai oleh golongan fakir dan miskin),ia juga mengajar kita sesungguhnya ada lagi golongan yang perlu kita ambil berat keadaan mereka iaitu,golongan anak yatim.

Moga perkongsian dapat memberikan menfaat.

Wak,
TDI.