Monday, October 8, 2012

:: Orang dulu-dulu..... ::

Bismillah hirrahman nirrahim.


Entah bagaimana secara tiba-tiba minat saya kepada jam dinding lama (baca : antik) terlalu mendalam.Ia bagaikan minat yang tidak dapat ditahan-tahan.

Deretan jam antik.

Seingat saya,dahulu di rumah abah ada sebuah jam antik.Selidik-punya selidik,abah sudah jual rupanya jam berkenaan.Sebelum dijual jam itu sudah rosak katanya.Tidak mengapalah,tidak rezeki saya agaknya.

Balik raya Aidil Fitri tempoh hari,ketika marhaban dan ziarah hari raya,sempat juga saya meninjau-ninjau mana-mana rumah yang ada menyimpan khazanah idaman berkenaan,ternyata masih tiada rezeki saya.

Ketika perjalanan pulang bercuti raya,saya singgah untuk solat maghrib di sebuah kampung berdekatan Ayer Molek,Melaka.Masjidnya agak masuk ke dalam.Selesai solat,entah macamana mata saya menangkap satu objek di dinding hadapan masjid berkenaan.Ya,jam dinding lama yang menjadi idaman saya.Tetapi di dalam hati terdetik,mana mungkin saya memiliki jam berkenaan kerana ianya milik masjid.Mungkin ada orang yang telah mewakafkannya disitu.

Terasa gembira ketika itu walaupun hanya sekadar berjaya menatap jam berkenaan,saya ceritakan kepada isteri ketika meneruskan perjalanan balik ke Senawang.

Sebenarnya saya pernah singgah di sebuah kedai menjual barangan lama di Pekan Rembau.Di sana ada menjual beberapa buah jam dinding lama.Namun bila ditanyakan harganya,paling minima pun berharga RM500,ia di luar jangkauan.

Balik ke Senawang selepas cuti hari raya pula majlis rumah terbuka kunjung tidak berhenti.Saban hujung minggu ada sahaja jemputan,samada yang dekat mahupun yang jauh.Nak dijadikan cerita,ketika menzirahi ke rumah Bilal Masjid Negeri,Encik Nasir,sekali lagi saya melihat sebuah jam dinding lama di rumahnya.Dek kerana perasaan ingin tahu yang mendalam,saya tanyakan kepada En Nasir bagaimana beliau boleh memiliki jam berkenaan.Rupanya ada orang yang menghadiahkan jam itu kepada beliau.Mana mungkin hadiah orang saya mampu memujuk En Nasir untuk menjualnya kepada saya.

....terpendam lagi hajat.

Baru-baru ini,ketika perjalanan pulang dari kampung ke Senawang,saya singgah ke mini Pasar Karat di Muar.Dipendekkan cerita,setelah bertukar-tukar cerita,akhirnya saya dapat memiliki juga sebuah jam lama dari salah seorang peniaga di situ.Walaupun berat untuk melepaskan jam berkenaan,akhirnya jam berkenaan bertukar tangan.Sebelum itu,Abang Razak,pemilik jam berkenaan sempat mengajar saya cara menggunakan jam antik berkenaan.Alangkah gembiranya rasa di hati.

akhirnya.....Ia menjadi milik saya.
Alhamdulillah.

Sempat saya berbual dengan isteri perihal jam dinding berkenaan,

"Tengok orang dulu buat jam,siap ada loceng,tak payah tengok jam pun dah tau pukul berapa."

"Ye lah,tak payah gaduh bateri habis pun kan..",tambah isteri saya lagi.

Orang sekarang?

Jam sekarang walaupun boleh dibeli dengan mudah dan murah,tapi nilai dan kualitinya tidak sama dengan jam lama.

Mungkin pengaruh kapitalisma agaknya-detik hati saya.

Moga perkongsian ada menfaat darinya.

Wak,
TDI.

No comments: